Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kedaulatan Raja Hitam di Sabak Bernam


Makam Raja Hitam di Seberang Kota, Perak

Pada peringkat awal sejarah Sabak Bernam ditulis hanya berdasarkan cerita lisan masyarakat setempat sahaja. Suatu masa dahulu Sabak Bernam pernah menjadi sebahagian daripada wilayah negeri Perak sebelum diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Pemerintah Daerah Sabak Bernam pada awalnya bertaraf raja iaitu, Raja Hitam ibni  Raja Yunus ibni Raja Usoh ibni Sultan Ibrahim. Raja Hitam merupakan sepupu kepada Sultan Abdul Samad dan cicit kepada Sultan Ibrahim.

Pada awal 1860an, banyak kawasan lembangan Sungai ditadbir oleh "anak raja" seperti Sungai Bernam di bawah Raja Hitam, Sungai Selangor di bawah Raja Musa, Sungai Jeram di bawah Raja Ali, Sungai Klang di bawah Raja Abdullah, Sungai Langat di bawah Sultan Abdul Samad, Sungai Lukut di bawah Raja Jumaat dan Sungai Raya di bawah Raja Sulaiman.

Raja Hitam merupakan pembesar Melayu terakhir, yang bertanggungjawab ke atas  Sabak Bernam sebelum diletakkan di bawah penguasaan kerajaan negeri Selangor oleh pihak British setelah British berjaya masuk campur hal ehwal pentadbiran negeri Selangor dengan menempatkan seorang Residen.

Kewujudan pemerintah dalam kalangan orang Melayu menunjukkan bahawa Sabak Bernam sebenarnya telah dibuka dan diteroka pada awalnya oleh orang Melayu. Laporan yang dibuat oleh John Anderson, seorang Pegawai Inggeris di Selangor dalam catatannya yang ditulis pada tahun 1824 ada menyebutkan, penduduk di Sabak Bernam melebihi 1000 orang. Keadaan Sabak Bernam yang mundur pada waktu itu serta dikategorikan sebagai kawasan pedalaman tidak menarik minat orang luar terutamanya orang Cina dan India ke Sabak Bernam. Hal ini menunjukkan bahawa, sekitar awal abad ke 19 orang Melayu merupakan kelompok majoriti yang menduami daerah Sabak Bernam. Oleh sebab itu, hanya selepas kedatangan British barulah keadaan di daerah Sabak Bernam berubah sedikit demi sedikit sama ada dalam soal politik, ekonomi mahu pun sosial.

Pada tahun 1876, Residen British Selangor yang bernama Kapten Bloomfield Douglas telah menulis sepucuk surat kepada Raja Hitam iaitu pemerintah wilayah Sabak Bernam

Berikut merupakan petikan ayat dalam surat tersebut.

"surat daripada Kapten Bloomfield Douglas Residen British Negeri Selangor kepada Raja Hitam Ibni Al-Marhum Raja Yunos di Sabak Bernam bertarikh pada 13 hari hulan Ogos 1876 mengenai peraturun baru untuk mengadakan pegawai orang putih Edward Neubroner memegang jawatan Collectar Of Land Revenue (pemungut hasil Magistrate Police Sabak Bernam.

Dengan penerimaan surat tersebut oleh Raja Hitam maka berakhirlah secara rasmi penguasaan baginda ke atas wilayah Sabak Bernam. Segala urusan berkaitan dengan aktiviti percukaian, undang-undang serta apa-apa perkara yang berkaitan dengan pentadbiran kini adalah di bawah penguasaan dan tanggungjawab pihak British.



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom