Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kenapa meniup rekorder diajar di sekolah?



Salah satu elemen pendidikan muzik yang masih kekal sehingga ke hari ini dalam sistem persekolahan di negara ini adalah penggunaan alat rekorder sebagai instrumen utama pembelajaran muzik.

Rekorder merupakan satu alat muzik utama yang dimiliki semua pelajar sekolah terutamanya sekolah rendah.

Anda pasti tertanya-tanya kenapa rekorder dijadikan alat muzik utama semasa subjek pendidikan muzik di sekolah dahulu.

Mengenali sejarah rekorder

Nama rekorder diambil daripada perkataan asal ‘recordeur’ yang merupakan istilah bahasa Perancis sekitar awal abad ke-14.

Istilah tersebut merujuk kepada individu penyair dan penyajak yang bertugas sebagai ‘perakam’ kisah-kisah masyarakat pada masa itu.



Mempunyai daya ingatan kuat, seorang recordeur akan bercerita sambil memainkan alat muzik mirip seruling bagi menyedapkan lagi jalan cerita.

Peredaran zaman mengubahkan makna perkataan recordeur. Masyarakat Inggeris sekitar penghujung abad ke 15 mula menggunakan istilah tersebut secara eksklusif untuk merujuk kepada peralatan muzik berbentuk paip yang dimainkan secara tiupan.

Pada abad ke-17, masyarakat Itali mengkategorikan seruling dan rekorder melalui istilah ‘flauto dolce’ untuk rekorder manakala ‘flauto traverso’ untuk merujuk kepada seruling.

Populariti seruling semasa zaman tersebut mula memuncak disebabkan oleh bunyi yang terhasil lebih sesuai untuk persembahan orkestra.



Ia membuatkan rekorder mula mengalami zaman kejatuhan sehinggalah alat muzik tersebut mula diperkenalkan sebagai alat muzik pertama dalam persekolahan oleh sistem pendidikan Jerman pada abad ke-20.

Seorang komposer dan guru dari Jerman bernama Carl Orff diberikan tanggungjawab oleh kerajaan Jerman bagi membangunkan sistem pendidikan muzik pelajar di Jerman.

Selepas menjalankan kajian, beliau mendapati bahawa rekorder adalah salah satu alat muzik yang sesuai untuk kegunaan sekolah.


Berbeza dengan teknik meniup seruling yang memerlukan perubahan kedudukan bibir dan cara meniup semasa dimainkan, rekorder hanya perlu ditiup satu cara.

Teknik jari bagi penghasilan kord atau nota muzik juga lebih terdorong kepada peringkat asas.

Selain itu, Orff turut merasakan rekorder tidak memerlukan penyelenggaraan besar dan mudah dibawa pelajar sekolah kerana saiznya yang kecil dan ringan.

Sistem pembelajaran yang dibangunkan oleh Orff yang dinamakan sebagai ‘Orff Schulwerk’ merupakan panduan terawal sistem pendidikan muzik zaman moden.

Tujuan beliau adalah supaya pelajar mampu memainkan not dan menyanyi nada yang serupa agar pemahaman terhadap muzik menjadi lebih mudah.

Sistem pelajaran Orff itu mula diamalkan di negara-negara Eropah lain seterusnya berkembang ke negara-negara bukan Eropan berikutan keberkesanannya yang mampu membentuk asas muzik yang kukuh dalam kemahiran pelajar.

Kenapa sekolah tak gantikan rekorder dengan seruling?

Rekorder bukanlah alat muzik popular. Jika ditanyakan kepada anda, besar kemungkinan anda akan katakan tiada pemuzik terkenal yang memainkan rekorder.

Seruling yang menjadi alat muzik alternatif kepada rekorder jauh lebih popular. Jadi kenapa seruling tidak dipilih untuk sekolah?

Sebab utama adalah berkait dengan postur badan pemain semasa memainkannya. Seruling memerlukan pemain memegang instrumen tersebut ke sisi dan memiringkan badan sedikit.

Ia dikhuatiri akan mengakibatkan masalah sakit pada bahagian leher, bahu dan belakang pelajar.

Rekorder juga mampu dimainkan secara berdiri atau duduk dengan batang rekorder menghadap guru di mana pergerakan jari pelajar boleh dipantau oleh para guru dengan lebih mudah.

Para pelajar hanya perlu menjaga pernafasan dan tidak perlu risau akan teknik tiupan yang diperlukan apabila memainkan seruling.

Sumber:
Iluminasi



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom