Asal usul kampung Banting adalah bermula daripada sebuah kawasan hutan belantara yang tebal. Kawasan kampung ini adalah kawasan tanah rata dan bukan kawasan berbukit atau batu pejal. Kampung ini terletak kira-kira tiga (3) kilometer sahaja dari persisiran pantai Selat Melaka.
Kampung Banting dikatakan mula diteroka kira-kira pada tahun 1916 oleh beberapa orang daripada beberapa kampung berdekatan yang diteroka lebih awal seperti kampung-kampung di Kuala Selangor serta dari tempat-tempat lain di Negeri Perak dan Johor.
Mereka berhijrah ke tempat ini dengan tujuan untuk mengubah nasib dan mencari penghidupan yang lebih baik dari tempat lama. Kebanyakan mereka ini adalah berketurunan Orang Seberang dari sekitar Nusantara seperti Sumatera, Pulau Jawa dan Kalimantan (Banjarmasin).
Mereka ini ialah anak-anak muda yang gagah, cekal dan berjiwa waja bersemangat tinggi, berdaya juang serta berani menghadapi cabaran hidup. Mereka sanggup menempuh gelombang samudera yang luas dan dengan hanya kelengkapan kapak, beliung dan parang mereka meredah hutan tebal untuk menebang nibung dan pokok balak dari yang kecil hingga sebesar dua tiga pemeluk. Mereka merupakan generasi awal perintis kawasan hutan belantara yang akhirnya menjadi sebuah perkampungan untuk tempat tinggal dan menjadi pemukiman.
Adapun nama asal kampung ini ialah sempena nama sebatang sungai yang terdapat di kampung ini. Sungai berkenaan terletak di tengah-tengah antara Sungai Pulai dengan Sungai Permatang Perkataan 'Banting pada sungai atau kampung ini dipercayai berasal dari perkataan benteng (bahasa Jawa) yang bermaksud ban atau empangan air.
Sungai yang terdapat di kampung ini alurnya terus ke Selat Melaka. Pada masa dahulu, kawasan kampung ini akan dinaiki air laut terutama apabila air laut pasang. Apabila keadaan ini berlaku dan ditambah pula pada musim tengkujuh, maka banyak tanaman yang diusahakan akan musnah. Ini menimbulkan masalah kepada penduduk. Pada masa dahulu, sistem pengairan yang baik seperti sekarang belum ada. Menyedari keadaan ini, penduduk kampung telah berpakat secara bergotong-royong membina satu benteng merentasi sungai. Dengan menggunakan batang-batang kayu bakau dan tanah liat, penduduk kampung berjaya menyekat air laut dari melimpahi kawasan kampung. Walau bagaimanapun, kekuatan arus air menjadikan benteng ini selalu pecah.
Kekentalan jiwa dan semangat gotong-royong yang menjadi budaya penduduk pada masa lalu menjadikan setiap kali benteng pecah, maka para penduduk akan memperbaikinya semula. Begitulah keadaannya setiap masa.
Benteng sungai yang pecah dan diperbaiki semula sering menjadi sebutan penduduk setempat dan terkenal kepada penduduk luar. Disebabkan oleh 'benteng' yang selalu pecah dan menimbulkan masalah ini serta menjadi sebutan penduduk yang datang dan pergi menjadikan kampung ini diberi gelaran Kampung Benteng.
Perubahan masa turut mengubah keadaan. Kawasan kampung yang dahulunya hutan belantara telah menjadi kawasan perkampungan yang subur. Lama kelamaan, sebutan Kampung Benteng juga telah berubah menjadi Kampung Banting oleh generasi seterusnya.
Seperti juga kampung-kampung yang lain, penduduk Kampung Banting juga mempunyai pemimpin yang silih berganti bermula dengan Haji Sadri bin Shawaluddin. Beliau adalah salah seorang peneroka asal kampung ini. Kepimpinannya sentiasa dipatuhi dan disegani oleh anak buahnya. Beliau terkenal dengan sifat dedikasinya dan telah berkhidmat sehingga awal tahun 1950-an.
Pada tahun 1950-an, Ketua Kampung Banting telah diambil alih oleh Encik Sekak atau Encik Ishak bin Mansur. Perkhidmatan beliau tidak lama dan beliau kemudiannya telah meletak jawatan. Pada awal tahun 1960, Encik Mohd. Salleh bin Haji Sulaiman telah dipersetujui menjadi Ketua Kampung. Pada tahun 1963, Encik Rusdi bin Mansor pula dilantik sebagai Ketua Kampung. Beliau merupakan pemimpin yang dedikasi, sabar dan berwibawa.
Pada masa beliau menjadi Ketua Kampung, banyak perubahan pembangunan telah dilaksanakan di kampung ini. Beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Kampung selama lebih 25 tahun dan bersara pada tahun 1993. Jawatan Ketua Kampung kemudiannya dipegang oleh Tuan Haji Mohd. Ghazali bin Haji Jamal selama satu tahun setengah. Pada pertengahan tahun 1994, Encik Mohd. Jamil bin Haji Shamsuddin pula dilantik sebagai Ketua Kampung.
Sumber rujukan : Koleksi Cerita Rakyat, Asal Usul Tempat
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: