Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Coelacanth : Ikan zaman Dinasour ditemui semula setelah didakwa pupus lebih 60 juta tahun




Pada 23 Disember 1938, coelacanth, sejenis ikan purba yang disangka pupus telah ditemukan semula.

Pada hari itu, Marjonie Courtenay-Latimer, kurator Muzium East London, Afrika Selatan berada di limbungan menjalankan pemeriksaan terhadap tangkapan nelayan, salah satu tugas berjadualnya untuk mencari 'sebarang objek luar biasa'. 

Daripada timbunan tangkapan nelayan Hendrick Goosen, dia menemukan seekor ikan aneh. Lalu dibawa ikan seberat sekitar 58 kg itu pulang ke muzium, dirujuk segala buku berkaitan namun tidak ditemukan maklumat tentangnya. 


Lantas dia menghubungi seorang pakar ikan di Universiti Rhodes bernama J.L.B. Smith, tetapi tidak berjawab. Esoknya, Courtenay-Latimer menulis surat kepada Smith, menjelaskan tentang penemuannya itu bersama lakaran spesimen. 

Surat itu dibalas Smith pada 9 Januari 1939 & dia sampai ke muzium itu pada 16 Februari. Selepas diperiksa, Smith mengesahkan ia adalah coelacanth (disebut ‘silakanth’), spesis ikan purba yang disangka pupus 66 juta tahun yang lalu, pada zaman Cretaceous. 

Spesis itu dinamakan Latimeria chalumnae, sempena insan yang menemukannya, Courtenay-Latimer. Selama berpuluh tahun, coelacanth diketahui hanya hidup di barat Lautan Hindi, khususnya di perairan Kepulauan Comoros. 

Sehinggalah pada September 1997 dan sekali lagi pada Julai 1998, coelacanth ditangkap di perairan utara Sulawesi, Indonesia. Ia dikelaskan sebagai spesis baharu & diberi nama Latimeria menadoensis. Dua spesis itu dipercayai terpisah beberapa juta tahun yang lalu. 

Coelacanth adalah dari keturunan purba Sarcopterygii, spesis transisi evolusi antara ikan dengan haiwan berkaki empat yang wujud sejak sekitar 400 juta tahun dahulu. Ia boleh membesar sepanjang 6 kaki, berat mencecah 90 kg & hidup sehingga 60 tahun.

Sumber: Smithsonian Magazine



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom