Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Seputar sejarah orang Banjar di Sabak Bernam



Setelah berlalunya waktu lebih seratus tahun, dan orang Banjar di Sabak Bernam sekarang sekurang-kurangnya sudah sampai ke generasi kelima, maka tidak dinafikan banyak perubahan telah berlaku dalam kehidupan dan cara hidup orang Banjar di perantauan. Sebahagian daripada perubahan itu jelas merupakan kesan daripada dasar dan rancangan pembangunan kerajaan, manakala sebahagian lagi adalah kesan atau pengaruh dari persekitaran sosial.

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terutamanya antara tahun 1960-an dan 1980-an, kerajaan telah melancarkan rancangan pembangunan desa yang sangat pesat. 

Antara unsur utama rancangan itu adalah penyampaian pelbagai kemudahan asas (infrastruktur) fizikal dan sosial kepada penduduk desa. Di samping jalan raya yang menghubungkan kawasan bandar dengan kawasan desa, kemudahan asas seperti balai raya atau dewan orang ramai, klinik kesihatan, sekolah, bekalan air bersih (air paip) dan api elektrik telah disampaikan ke seluruh negara, termasuk ke kampung-kampung orang Banjar. Dengan itu, kampung-kampung orang Banjar di Sabak Bernam yang dahulunya “mundur” dan terpencil telah menjadi kawasan yang “maju” dan terbuka dan mempunyai perhubungan yang mudah dengan kawasan bandar.

Keluarga Banjar di Peket 60 Sungai Nipah


Dalam rangka pembangunan desa itu juga, kerajaan telah melancarkan rancangan pemodenan pertanian dengan menyampaikan pelbagai bantuan dan kemudahan. Di bawah rancangan itu para petani padi dianjurkan menanam padi dua kali setahun dengan menggunakan benih baru, racun rumput dan racun serangga. Penanaman padi tidak lagi bergantung kepada air hujan, kerana sudah ada sistem tali air dan perparitan yang disediakan oleh kerajaan.  

Para petani tidak lagi bergantung kepada tajak dan cangkul, kerana sejak tahun 1950-an sudah ada mesen pembajak kecil yang terkenal dengan nama Kobuta untuk membajak sawah. Dalam beberapa tahun terakhir, proses penanaman padi, dari menabur benih hingga menuai, di Sabak Bernam semuanya dilakukan dengan menggunakan jentera. Jadi untuk menanam padi tidak perlu lagi bergotong royong dan sudah kurang sekali bergantung kepada tenaga manusia. Di samping itu, ada pula Persatuan Peladang, iaitu satu organisasi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada para petani, seperti menjual baja dengan harga subsidi.

Kesenian Hadrah di kalangan masyarakat Banjar
   
Bagi petani yang mengusahakan tanaman getah di daerah Kuala Langat pula, mereka digalakkan menanam semula dengan bantuan kerajaan, jika getah mereka telah tua. egitu juga ada bantuan daripada kerajaan, biasanya dalam bentuk subsidi, untuk petani yang ingin menanam kelapa sawit dan koko.

Jadi, di bawah rancangan pemodenan pertanian yang dianjurkan oleh kerajaan, orang Banjar di Selangor yang masih berada di sektor pertanian, sudah berubah dari petani tradisional menjadi petani moden. Mereka umumnya sudah menikmati kehidupan yang lebih baik, walaupun barangkali belum sepenuhnya mengorientasikan pertanian mereka sebagai perniagaan.

Oleh kerana di daerah Sabak Bernam pekerjaan menanam padi sudah dilakukan sepenuhnya dengan menggunakan jentera, maka para petani padi umumnya boleh hidup santai dengan mengupahkan seluruh pekerjaan itu kepada pemilik jentera. Ini tidak bererti mereka telah berhenti bekerja atau malas. Akan tetapi urusan pertanian mereka telah dipermudahkan dengan adanya teknologi pertanian yang baru. Sebahagian daripada mereka kini boleh pula menceburi bidang perniagaan atau bidang usaha yang lain, seperti membuka kolam ikan dan menanam pokok buah-buahan.

Perkembangan Pendidikan Moden

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, pendidikan moden di negara ini telah berkembang pesat. Sekolah aliran Melayu sebagai “aliran kebangsaan” tidak lagi berakhir pada peringkat rendah seperti pada zaman penjajahan. Sekolah Menengah Kebangsaan telah muncul dan berkembang mulai awal tahun 1960-an dan Universiti Kebangsaan pula, yang merupakan kemuncak persekolahan aliran Melayu atau kebangsaan telah ditubuhkan pada tahun 1970. Sekolah Menengah Kebangsan bukan saja didirikan di bandar besar, tapi juga di pekan kecil dan kemudiannya di kampung yang agak besar.

Dalam hal ini orang Banjar memahami bahawa pendidikan moden mempunyai nilai ekonomi. Maknanya mereka yang mendapat pendidikan moden mudah mendapat kerja yang mempunyai status yang agak tinggi (khasnya dengan kerajaan), dan mudah mendapat pandapatan yang agak lumayan.

Oleh itu, seperti anak kaum lain, menjelang kemerdekaan, dan apalagi selepas kemerdekaan, sebilangan besar anak orang Banjar di Sabak Bernam sudah menceburkan diri dalam pendidikan moden, sekurang-kurangnya hingga ke peringkat menengah. Mereka yang pandai dan terpilih melanjutkan pelajaran pula hingga ke peringkat universiti.

Selepas tahun 1970, khasnya pada tahun 1970-an dan 1980-an, di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerajaan telah menghantar ribuan anak-anak Melayu (termasuk anak Banjar) belajar ke luar negara dengan biasiswa atau pinjaman daripada kerajaan. Tidak ada data tentang jumlah anak Banjar dari Sabak Bernam, tapi dipercayai jumlah mereka yang mendapat faedah dari dasar kerajaan ini adalah agak besar.

Dalam keadaan demikian, minat orang Banjar di daerah Sabak Bernam terhadap pendidikan tradisional jelaslah telah merosot. Apatah lagi di Malaysia pendidikan tradisional dalam bentuk sekolah pondok memang telah merosot, dan hanya tinggal saki baiknya di negeri-negeri utara dan timur Semenanjung Malaysia, seperti Kedah dan Kelantan.

Sementara itu, dengan bantuan dan kemudahan kerajaan, memang ada usaha untuk memodenkan sekolah aliran agama Islam.  Kerajaan telah mendirikan banyak juga sekolah menengah agama yang moden, termasuk di daerah Sabak Bernam, yang membolehkan lepasan sekolah itu melanjutkan pelajaran di Fakulti Pengajian Islam di universiti tempatan atau di universiti di Timur Tengah, seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Madinah.  Sekolah aliran agama ini juga diminati oleh anak-anak Banjar.

Oleh yang demikian, dengan perkembangan pendidikan moden, anak-anak Banjar dari daerah Sabak Bernam kini lebih memilih pendidikan moden, yang merupakan pendidikan arus perdana, sama ada aliran kebangsaan atau agama, dan sama ada di dalam negara atau di luar negara. Pendidikan tradisional, walaupun masih ada, tidak lagi menjadi pilihan majoriti anak Banjar.

Penghijrahan ke Kawasan Pembangunan Tanah (FELDA)

Mulai tahun 1956 hingga 1970-an kerajaan telah membuka rancangan pembangunan tanah untuk menempatkan semula petani miskin yang tidak bertanah di beberapa negeri bahagian. Rancangan itu diwujudkan di kawasan hutan yang baru dibuka dan dikendalikan oleh sebuah agensi kerajaan yang diberi nama Federal Land Development Authority (FELDA).

Di bawah rancangan itu setiap peserta diberi tanah yang ditanami dengan getah atau kelapa sawit, yang keluasannya antara 4 hingga 4.9 hektar dan sebuah rumah secara percuma. Akan tetapi, pekerjaaan membuka hutan dan menanam tanaman itu, yang dilakukan oleh kontraktor, dikira sebagai hutang yang perlu dibayar dalam masa 15 tahun.

Oleh kerana ketika itu petani Banjar di daerah Sabak Bernam dan daerah lain di Selangor ramai juga yang masih miskin, maka sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke kawasan pembangunan tanah itu, yang kebanyakannya terletak di negeri Pahang, dan sebahagian lagi di negeri bahagian Johor, Perak dan Selangor. Mereka mengerjakan sendiri tanah yang telah mengeluarkan hasil, yang diperuntukan kepada mereka, tetapi pemasaran hasil pertanian mereka dikendalikan oleh pihak FELDA.

Sebagai petani yang memiliki kebun getah atau kelapa sawit, pendapatan mereka memang tidak stabil, kerana dipengaruhi oleh turun naik harga di pasaran dunia. Bagaimanapun, ketika harga getah dan kelapa sawit berada di paras yang tinggi, pendapatan mereka agak lumayan sehingga mereka mampu membesarkan rumah, membeli kereta, dan pelbagai peralatan rumah.  Ketika pendapatan mereka terlalu merosot biasanya kerajaan akan memberi mereka pinjaman bagi menampung kehidupan mereka.

Kini setelah lebih 50 tahun berlalu, orang-orang Banjar dari Selangor yang menyertai rancangan pembangunan tanah FELDA itu telah berubah daripada petani miskin menjadi petani moden yang hidupnya lebih senang dan makmur. Apatah lagi pada tahun-tahun tertentu harga getah dan kelapa sawit   memang pernah berada di paras yang tinggi. Pada setiap tahun pula, pihak FELDA biasanya ada memberi wang bonus kepada mereka, misalnya ketika menjelang hari raya.  Sebahagian daripada mereka telah bertukar pekerjaan, misalnya menjadi peniaga atau pengusaha. Sebahagian lagi, khasnya yang telah tua, boleh hidup santai dengan mengupah buruh dari Indonesia untuk mengerjakan tanah mereka.

Penghijrahan ke Bandar

Di Malaysia kebanyakan sekolah menengah yang baik, termasuk yang mempunyai asrama penuh, terdapat di bandar, sama ada di ibu negara atau di ibu negeri bahagian. Hampir semua universiti juga terletak di bandar, termasuk di “bandar baru” (kawasan desa yang cepat berkembang menjadi bandar).

Oleh itu, kebanyakan anak Banjar dari daerah Sabak Bernam  yang pandai dan mahu belajar di sekolah menengah yang baik, mesti meninggalkan kampung dan berpindah ke bandar. Mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti pula memang tidak ada pilihan, kecuali meninggalkan kampung dan berpindah ke bandar. Setelah tamat belajar pula, mereka perlu terus tinggal di bandar, kerana kebanyakan peluang pekerjaan terdapat di bandar.

Dengan demikian, kebanyakan anak orang Banjar dari Sabak Bernam, dari generasi ketiga hingga kelima kini tinggal di bandar dan telah menjadi orang bandar, sama ada mereka bekerja di sektor awam (kerajaan), swasta ataupun bekerja sendiri sebagai pengusaha. Yang tinggal di kampung majoritinya ialah orang tua, saki-baki generasi kedua, dan sebahagian generasi ketiga, yang bekerja di sektor pertanian atau perniagaan kecil.

Orang Banjar yang berhijrah ke bandar umumnya tinggal di kawasan  perumahan yang disebut “taman” (garden), iaitu sebuah komuniti baru, yang mempunyai pelbagai kemudahan:  masjid (paling kurang surau), sekolah, pusat komersal (paling kurang kedai dan pasaraya), klinik dan sebagainya. “Taman perumahan” merupakan tempat tinggal utama penduduk bandar di Selangor masa kini, sama ada di bandar besar atau di bandar kecil. Di situ orang Banjar tinggal bersama, malah berjiran dengan kumpulan suku Melayu yang lain dan dengan bangsa Malaysia yang lain (Cina dan India).  Mereka sudah keluar dari kampung Banjar dan tinggal dalam komuniti baru yang dihuni oleh pelbagai suku dan bangsa.

Bermobiliti ke Kelas Menengah dan Menjadi “Banjar Baru”

Sejak awal tahun 1970-an telah berlaku mobiliti sosial yang sangat pesat di kalangan anak-anak Banjar dari daerah Sabak Bernam khasnya, seperti di kalangan anak-anak “suku Melayu” yang lain.  Anak-anak Banjar yang belajar setakat sekolah menengah umumnya telah bermobiiti ke kelas “menengah rendah”, apabila mereka dapat bekerja di sektor awam sebagai kerani, guru, jururawat, askar dan polis pangkat rendah dan sebagainya. Mereka yang berkelulusan universiti pula bermobliti ke kelas “menengah tengah” apabila mereka dapat bekerja sebagai guru siswazah, doktor, peguam, arkitek, pengurus, pegawai tadbir, pensyarah universiti dan sebagainya, sama ada di sektor awam atau swasta.

Kini sudah banyak orang Banjar dari Sabak Bernam dan daerah lain yang berpangkat besar, iaitu memegang jawatan tinggi dalam pelbagai bidang pekerjaan, yang boleh pula dianggap sudah bermobiliti ke ke kelas menengah atas. Misalnya, ramai anak Banjar dari Sabak Bernam yang memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran awam, dan yang menjadi profesor di universiti awam dan swasta. Sementara itu orang Banjar yang menjadi pengusaha yang berjaya, yang juga termasuk dalam kelas menengah, juga sudah ramai bilangannya.

Dengan bermobiliti ke kelas menengah, gaya hidup mereka juga tentu berbeza daripada gaya hidup datuk nenek mereka, orang Banjar generasi pertama dan kedua dahulu. Perbezaan gaya hidup itu sekurang-kurangnya boleh dilihat dari segi pemilikan rumah dan barang-barang material dan interaksi sosial yang lebih luas.  Berasaskan perbezaan dari segi gaya hidup itu, mungkin ada asas untuk kita menyatakan bahawa mereka sekarang sudah menjadi “Banjar baru”, bukan lagi “Banjar lama” seperti datuk nenek mereka.

Kemunculan atau Pembentukan Komuniti Pengusaha Banjar

Serentak dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang mempunyai matlamat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, kerajaan juga   mempunyai program khusus untuk mewujudkan ‘komuniti usahawan bumiputera”. Di bawah program itu, kerajaan antara lain memberi latihan, modal dan kontrak (mengerjakan projek pembangunan kerajaan) kepada orang-orang yang berminat menyertainya.Anak-anak orang Banjar yang terpelajar dari daerah Sabak Benam, misalnya yang mendapat pendidikan di Institut Teknologi MARA (sekarang Universiti Teknologi MARA) dan di institusi pengajian tinggi yang lain, di dalam dan di luar negara, banyak yang menyertai projek itu. Apatah lagi sejak itu hingga kini anak-anak Melayu (termasuk anak Banjar) memang digalakkan menjadi pengusaha, dan tidak lagi menjadi pegawai kerajaan semata-mata.

Kini setelah lebih 30 tahun berlalu telah muncul   satu komuniti pengusaha Banjar yang berjaya, sama ada sebagai pengusaha menengah atau pengusaha besar. Antara mereka termasuklah anak Banjar dari daerah Sabak Bernam dan daerah lain di Selangor.

Restoran milik orang Banjar di 
Sungai Besar




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom