Bukan selalu negara tukar nama. Kali terakhir adalah Macedonia, yang dituduh merompak terlampau banyak unsur kebudayaan Greece. Sebelum itu pula adalah sebuah negara Afrika, iaitu Swaziland. Katanya untuk elak kekeliruan dengan Switzerland, mereka tukar nama negara ke bahasa tempatan iaitu Eswatini (land of the Swazis). Kali ini giliran Turki pula. Jujurnya untuk orang tempatan, tiada apa yang berubah pun. Dari dulu lagi rakyat Turki guna ‘Turkiye’; macam mana orang Jerman guna “Deutschland”.
Cuma bezanya sekarang, ibaratkan Jerman suruh satu dunia guna Deutschland. Turki sedang berusaha untuk tukar nama negaranya di pentas antarabangsa. Tiada lagi “Turkey”. Tiada lagi “Turki”. Tidak perlu cakap pun mesti semua boleh agak – langkah rebranding ini memang idea Recep Tayyip Erdogan.
Memahami Proses Pertukaran Nama Turki
Usaha Turki memberi kita peluang untuk faham proses pertukaran nama negara. Pertama sekali, sangat jelas – kena ada persetujuan tempatan dulu. Turki sudah ada. Orang tempatan memang panggil Turkiye. Jadi langkah seterusnya? Kena mohon di New York. Kenapa New York? Sebab di sinilah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat ibu pejabat. Turki mohon pada 1 Jun. Dalam masa dua hari, permohonan Turki lulus.
Dan pihak PBB mengisytiharkan pertukaran nama daripada Turki ke Turkiye. Memandangkan semua kehendak dipenuhi, kita sendiri kena hormati niat mereka. Mulai saat ini, panggil mereka Turkiye. Namun itu baru kehendak – soal sekarang: apa keperluannya?
Asbab-Asbab Utama
Langkah Turkiye ini berputik daripada cita-cita global kerajaan mereka. Kerajaan Turkiye membentangkan beberapa sebab yang wajar diberi perhatian. Pertama sekali, Turkiye baru keluar daripada kancah pandemik dengan ekonomi sangat terjejas. Pelan kadar faedah Recep Tayyip Erdogan didapati mengeruhkan keadaan, yang teruk tenggelam dek inflasi. Untuk faham keadaan, tengok Malaysia dulu. Kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini dirasai semua. Tetapi kenaikan ini dinilaikan sebanyak 2.5 peratus sahaja (Bernama, 2022). Inflasi Turki melambung sebanyak 73.5 peratus, mengatasi rekod paling tinggi iaitu 1998 (Pitel, 2022). Buka saja berita pasal matawang lira – mesti cerita tentang kejatuhannya. 10 tahun yang lalu, lira mengekori USD begitu rapat (USD1.00 = LIR1.50±). Sekarang USD1.00 bernilai LIR16.40±.
Graf menunjukkan perbandingan lima tahun. Nampak lonjakannya?
Jadi Turkiye ingin membawa imej baharu pada era pasca-pandemik. Begini ceritanya. Kita beli produk daripada Turki. Di bahagian belakang, mesti ada “Made in Turkey”. Sebab apa? Sebab itu nama rasmi Turki dalam bahasa Inggeris. Jadi sekarang, Turkiye sudah dirasmikan di pentas global. Semua cetakan wajib “Made in Turkiye”… atau “Imported from Turkiye” (Associated Press, 2022).
Permulaan baharu dalam era baharu dengan nama baharu yang membawa azam baharu. Kerana pada mata kerajaan Turkiye, perkataan Turkey tidak menjulang roh kenegaraan. Ibaratkan Jerman mengeksport sesuatu barangan… dan perlu cetak “Made in Nemacka” (bahasa Serbia). Situasi ini membayangkan satu dunia tahu Nemacka adalah Jerman tetapi nama itu tiada nilai tempatan langsung. Meskipun berbunyi dekat-dekat sama (Turki-Turkiye), Erdogan berpendapat langkah ini boleh menjulang sifat identiti.
Dan jangan gelak – Turkiye juga mahu hentikan perkaitan dengan ayam belanda (turkey). Mungkin kelihatan bangang. Tetapi cuba bayang kalau nama Malaysia di persada global ada kena mengena dengan burung yang dipanggang setiap tahun. Sekali dua – boleh buat bodoh. Tetapi kalau kalian google “turkey” dan buka bahagian image nampak ayam belanda dan Erdogan? Mesti naik menyampah juga. Jadi fikir balik, langkah Turkiye tukar nama boleh kata bukan macam Langkah Kajanglah.
RUJUKAN:
Associated Press. (2022, Jun 3). Turkey officially changes name at UN to Turkiye. The Guardian.
Bernama. (2022, Jun 1). Inflation up by 2.5% due to food, fuel price increases. Free Malaysia Today.
Pitel, L. (2022, Mei 5). Turkish inflation hits 23-year high of 73.5%. The Financial Times.
Sumber artikel : thepatriots
#PeristiwaNSejarah
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: