Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !


Kisah Sabak Bernam menjadi daerah ketujuh (7) negeri Selangor


IKLAN

Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam


Pada asalnya, Daerah Sabak Bernam hanya meliputi kawasan dari bahagian utara yang bersempadan dengan Kampung Kota (Perak) hingga ke kawasan Sungai Nibung sahaja. Pada masa kini, kawasan yang diliputi ialah sehingga ke Sungai Burong, Sekinchan. Keluasan kawasan Daerah Sabak Bernam ialah 99,714 hektar. Pada masa lalu, Sabak Bernam hanya meliputi empat (4) mukim sahaja tetapi kini telah menjadi lima (5) mukim iaitu Mukim Sabak, Bagan Nakhoda Omar/Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Pancang Bedena dan Pasir Panjang.

Pusat pentadbiran daerah ini sejak tahun 1970 ialah di Sungai Besar. Di peringkat awal, Sabak Bernam merupakan Daerah Kecil kepada Daerah Kuala Selangor dan pusat pentadbirannya adalah bertempat di Mukim Sabak iaitu di kawasan Pekan Sabak Bernam hari ini. Perpindahan ibu pejabat pentadbiran daerah ke Sungai Besar adalah disebabkan kawasan Pekan Sabak Bernam yang lama sering dibanjiri air pasang dari Sungai Bernam. Ini disebabkan oleh kedudukan kawasan pekan yang berhampiran dengan sungai utama kawasan ini.

Semasa Sabak Bernam menjadi Daerah Kecil kepada Kuala Selangor, jarak daerah ini dari Kuala Selangor adalah sejauh 40 batu. Pada masa lalu, tiada kemudahan jalan perhubungan iaitu jalan raya di antara kedua-dua kawasan. Para penduduk hanya menggunakan jalan rentas (pintas) iaitu jalan darat yang dikenali sebagai jalan tanah bakar untuk tujuan perhubungan antara kawasan.

Disebabkan jauhnya ibu pejabat daerah di Kuala Selangor dengan Daerah Sabak Bernam, maka pada tahun 1954, penduduk Sabak Bernam dengan dipimpin oleh Yang Dipertua Persatuan Daerah Sabak Bernam telah mengadakan satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua ketua-ketua kaum bagi membincangkan kesulitan kesulitan yang dialami oleh penduduk daerah ini tertinggal dalam pelbagai lapangan.

Akhirnya, mereka telah bersetuju untuk mengemukakan satu Memorandum dan menyampaikan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, memohon supaya Sabak Bernam dijadikan sebagai Daerah Ketujuh di Negeri Selangor. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Dato' Onn bin Ja'afar yang pada masa itu memegang jawatan berkaitan Hal Ehwal Dalam Negeri, dan turut dihadiri oleh Y.M. Raja Ayub bin Raja Haji Bot dan Mr. K.V. Thaver yang mana kedua- duanya adalah ahli Legislative Council Negeri Selangor. Mesyuarat tersebut bertempat di bangunan Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam dan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam.

Dari segi pembangunan ekonomi, hampir 50 peratus tanah di daerah Sabak Bernam digunakan bagi tujuan pertanian iaitu tanaman kelapa, padi, kelapa sawit, koko, sayur-sayuran dan buah- buahan. Tanaman utama yang menjadi sumber pendapatan ialah padi, kelapa dan koko.

Masyarakat di Sabak Bernam pula adalah terdiri daripada orang Melayu berketurunan suku Jawa, Banjar, Kampar dan Melayu Bugis. Mereka terdiri dari kalangan masyarakat Melayu yang mempunyai loghat dan adat yang berlainan. Jika diteliti, terdapat sedikit pengkhususan kawasan tempat tinggal di kalangan suku-suku yang berbeza. Contohnya seperti di Kampung Batu 40 dan Kampung Sungai Panjang, kebanyakan penduduknya adalah berketurunan Bugis dan Jawa. Pada masa lalu, terdapat kawasan yang dipanggil Kampung Sungai Bugis kerana ramai penduduk di daerah ini berketurunan Bugis.



KONGSIKAN:




Ads Bottom