Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !


Doktor perubatan moden Melayu pertama mulakan alam persekolahan di Sabak Bernam


TAN SRI DATO DR. ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAZAK 

Doktor Perubatan Moden Melayu Pertama


Tan Sri Dato Dr. Abdul Latiff Bin Abdul Razak dilahirkan di Pasir Penambang, Kuala Selangor pada tahun 1888 dan berketurunan Bugis. Beliau merupakan anak kedua daripada 15 orang anak kepada Dato’ Setia Abdul Razak Haji Abdul Ghani.  Abdul Razak merupakan seorang pegawai polis laut lulusan Raflles dan menjadi Majistret pertama di Selangor serta Ahli Lembanga Penasihat Negeri Selangor. 

Dr. Abdul Latiff mempunyai sembilan orang anak hasil perkahwinannya bersama Che Safiah Sulong pada tahun 1910. Hasil didikan beliau, telah melahirkan anak-anak yang berjaya, antaranya Tan Sri Yaacob Latiff (Datuk Bandar Kedua Kuala Lumpur, 1972), Tan Sri Jamal Latiff (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Perancis dan Portugal, 1956) dan Dato’ Mohd Ismail Latiff (Setiausaha ke-2 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, 1959-1969). Dua daripada anak lelakinya menjawat jawatan dalam perkhidmatan polis, sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan (bersara 1976) dan Asisstant Superitendent Polis. Manakala anaknya yang lain berkhidmat sebagai guru dan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Dr. Abdul Latiff mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak Bernam. Seterusnya beliau mendapat Junior Cambridge dan Senior Cambridge dengan kepujian di Victoria Institution High Street, Kuala Lumpur. 

Pada tahun 1905, beliau berjaya menjadi antara 23 pelajar pertama The Straits Settlement and Federated Malay State Government Medical School di Singapura selepas lulus peperiksaan khas. Pada tahun 1911, beliau berjaya mendapatkan Diploma Perubatan dan Pembedahan dan menjadikan beliau sebagai doktor perubatan moden Melayu yang pertama. 
 
Sekembalinya dari Singapura, beliau berkhidmat sebagai pembantu perubatan di Klang, Kajang, Pekan, Kuantan dan Hospital Besar Kuala Lumpur. Selepas berkhidmat selama enam tahun, beliau mendapat pengiktirafan sebagai doktor perubatan setelah British mengiktiraf dan menaik taraf lulusan diploma kepada ijazah perubatan pada tahun 1916.  

Dr. Abdul Latiff bersara pada tahun 1938 ekoran kesihatan yang tidak memuaskan. Walau bagaimanapun beliau telah meneruskan perkhidmatannya sebagai doktor perubatan pada tahun 1939, 1946 dan 1950. Sebelum bersara beliau juga pernah berkhidmat sebagai doktor peribadi kepada Sultan Selangor Keenam, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1938-1942. 
 
Beliau telah dianugerahkan Justice of the Peace (JP) dari Negeri Selangor pada tahun 1950 dan mendapat keahlian ke atas Orde Kerajaan British (OBE) oleh kerajaan British pada tahun1951. Pada tahun 1954, beliau menerima Jubilee Gift Award daripada alma mater,  Victoria Institution. 
 
Bagi memperingati jasa beliau, beberapa perkara telah dinamakan sempena nama Dr. Abdul Latiff. Antaranya ialah Jalan Dr Latiff  yang terletak di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur dan  Perpustakaan Perubatan Dr. Latiff, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur, Jalan Pahang pada 25 November 2005 termasuk juga Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff di Sabak Bernam.




Pada 1971, Asrama Doktor Latiff telah dibina oleh Yayasan Selangor. Asrama ini memberi peluang kepada anak-anak Negeri Selangor untuk belajar di sekolah bandar dan ditempatkan di Asrama Doktor Latiff sebagai idola untuk berusaha dengan gigih dan tekun bagi mencapai kejayaan. Asrama Doktor Latiff terletak di Jalan Persiaran Gurney, Kg Dato’ Keramat dan kini dikenali sebagai Jalan Gurney. Ia merupakan Asrama Yayasan Selangor terulung diwujudkan pada tahun 1971 yang dirasmikan oleh Sultan Selangor. Pada tahun 1995 bangunan Asrama Doktor Latiff telah dirobohkan bagi membangunkan projek lebuhraya dan asrama yang tidak lagi bersesuaian dengan persekitaran di kawasan tersebut.
 
Beliau telah menghembuskan nafas pada tahun 1956, setahun sebelum Malaysia mendapat kemerdekaan. 

Pautan:
Dato Dr. Abdul Latif Bin Abdul Razak: Doktor Perubatan Moden Melayu Pertama
://www.thepatriots.asia/archives/2527

Chapter 1 Dr Abdul Latiff Bin Abdul Razak
https://www.scribd.com/document/36879979/CHAPTER-1-Dr-Abdul-Latiff-Bin-Abdul-Razak-16-July-2009 Dicapai pada 25/7/2017

Dr Abdul Latiff bin Abdul Razak (1889-1956)
http://theearlymalaydoctors.blogspot.my/2011/01/1-dr-abdul-latiff-bin-abdul-razak-1889.html 

Sejarah Asrama Yayasan Selangor
http://www.yayasanselangor.org.my/index.php/korporat/sejarah

Faridah Abdul Rashid  (2012). Biography of the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore. Xlibris Corporation.



KONGSIKAN:




Ads Bottom