Rahman B
TOKOH Seniman Negara, Rahman B atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Abu Bakar meninggal dunia pada 2 Mac 2022 akibat pendarahan beku di paru-paru.
Terkenal dalam seni pementasan bangsawan tanah air, Allahyarham Rahman B mewarisi darah seni ibu bapanya yang juga penggiat bangsawan iaitu Abu Bakar Saleh dan Kasminah Taib.
Beliau juga merupakan Adiguru bangsawan di Aswara sejak tahun 1996.
Tan Sri Dr Ali Hamsa
TAN Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Negara ke-13 dari tahun 2012 hingga 2018 meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada 21 April 2022 ketika berusia 66 tahun.
Beliau pernah bertugas di Unit Perancang Ekonomi, JPM bermula 1997 hingga 2009 dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Ekonomi Wilayah sejak 2003.
Selain itu, Allahyarham turut pernah dipilih sebagai Ikon Membaca Kebangsaan pada 21 September 2014.
Tan Sri Mustapha Kamal
TOKOH korporat ternama, Tan Sri Mustapha Kamal, meninggal dunia akibat sakit tua pada 25 Julai 2022 di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 73 tahun.
Beliau yang juga pengasas syarikat hartanah MK Land meninggalkan isteri, Puan Seri Wan Nong Wan Ibrahim, tiga anak perempuan serta seorang anak lelaki, Ahmad Khalif dan 15 cucu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dan antara hadir memberi penghormatan terakhir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada 31 Julai 2022 setelah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan pada injap jantung.
Pernah menjadi Menteri Besar Selangor ke-14 dari tahun 2008 hingga 2014, Abdul Khalid, 76, meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.
Jenazah tokoh politik dan ekonomi itu disemadikan di Makam Diraja Shah Alam atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Pak Su Mid
ULAMA tersohor Kedah, Pak Su Mid atau nama sebenar beliau Abdul Hamid Ismail, 96, meninggal dunia pada 11 November 2022 akibat sakit tua.
Terkenal dengan kata-kata hikmah dan kiasan mendalam, Allahyarham pernah dikunjungi ramai kenamaan; antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Lebih 3,000 orang hadir ke tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Pak Su Mid sebelum dikebumikan.
Datuk Dr Sidek Baba
DATUK Dr Sidek Baba, 76, yang juga mantan Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar) pada tahun 1994 hingga 2002 menghembuskan nafas terakhir pada 25 November 2022.
Beliau dilaporkan mengalami sakit jantung dan komplikasi buah pinggang.
Selain dikenali sebagai tokoh pendidikan yang banyak berbakti dalam bidang akademik, Sidek juga adalah rakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada tahun 2009.
Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh
BEKAS Menteri Besar Perlis keempat dari tahun 1986 sehingga 1995, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh meninggal dunia di sisi ahli keluarganya pada 1 Disember 2022.
Allahyarham Abdul Hamid, 78, difahamkan menghidap sakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara Ke-14 bermula tahun- 2003 sehingga 2009.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: