Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tersungkurnya empayar Portugis di tangan Umat Islam


Portugis diiktiraf sebagai kuasa dunia pada awal abad ke-16. Penjelajahan juga kejayaan mereka mendarat di dunia baru Amerika dan dunia lain di Timur, seperti di India dan Nusantara. Saya dah lupa banyak sejarah, dulu pernah baca.

Hanya separuh abad Portugis menikmati kejayaannya, sehinggalah tragedi di Afrika Utara pada tahun 1578 yang terus membawa kelemahan Portugis, sampai hari ini gagal untuk bangun sebagai kuasa dunia. Nasib baik ada Cristiano Ronaldo. Orang masih kenal Portugal.

Peristiwa Perang Wadil Makhazin atau Perang Istana Besar atau dikenal pula sebagai Perang Tiga Raja (Battle of Three Kings), menjadi kenangan terpahit dalam sejarah Portugis yang cuba menjajah Morocco. Bahkan dalam ensiklopedia Wikipedia mengenai sejarah Empayer Portugis (Portuguese Empire), peristiwa besar ini amat memalukan Kerajaan Portugis.

Geopolitik Laut Tengah pada tahun 1578, Empayar Turki Osmaniah berada di puncak kejayaannya di bawah pimpinan Sultan Sulaiman Qonuni. Wilayah kekuasaannya meliputi wilayah Turki hingga di sempadan Hungary di sebelah Barat, Timur Tengah (Syria hingga Hijazz), Mesir dan seluruh Wilayah Afrika Utara termasuk Maghrib (Maroko). Laut Timur Tengah berada dalam penguasaan Osmaniah. 

Persaingan dalam mencari dunia baru berlangsung begitu cepat dan dipenuhi pertumpahan darah. Kapal-kapal Portugis, Sepanyol, Inggeris, Perancis, Itali telah menjelajah ke serata benua sejak tersebarnya berita penemuan Amerika oleh Columbus pada tahun 1492M. Sehingga semakin menambah semangat Portugis dan negara Eropah lainnya untuk melakukan penjajahan.

Pada tahun 1578, di Morocco terjadi krisis pemerintahan antara Abu Abdullah Muhammad Mutawakkil as-Sa’di dengan bapa saudaranya , Abdul Malik. Setelah tewas di tangan bapa saudaranya, as-Sa’di lantas meminta bantuan daripada Raja Portugis yang bernama Sebastian untuk mengalahkan Abdul Malik yang bernaung di bawah Kerajaan Turki Osmani yang ketika itu dipimpin Sultan Sulaiman al-Qonuni.

Permintaan as-Sa’di dengan senang hati diterima oleh Sebastian yang juga memiliki misi untuk menaklukkan negeri Muslim di Afrika Utara. Didorong oleh fanatik Katolik, perluasan wilayah dan misi perang salib untuk menjatuhkan Kerajaan Osmaniah, datanglah Sebastian bersama sukarelawan dari Sepanyol, tentera upahan dari Jerman, Itali serta tokoh Inggeris berpengaruh, Thomas Stukley. 

Sejumlah 500 kapal dipergunakan untuk menyerang Marocco dengan jumlah pasukan seramai 23,000 orang, di mana ahli sejarah Muslim menyebutkan pasukan musuh seramai 125,000 orang.

Manakala tentera Islam seramai 40,000 orang, yang terdiri dari 35,000 dari pasukan Abdul Malik dan 15,000 pasukan bantuan Kerajaan Osmaniah.

Pasukan Portugis mendarat pada 24 Jun 1578 di Arzila, Morocco. Seruan jihad segera berkumandang di seluruh penjuru Morocco, “Pergilah kalian ke Wadil Makhazin untuk berjihad di jalan Allah!”

Berdatanganlah dari berbagai pelosok Morocco para Mujahidin di bawah pimpinan Abdul Malik al-Mu’tashim Billah. 

Amir Abdul Malik juga mengirimkan surat kepada Sebastian,

“Sesungguhnya pengaruhmu telah nampak sejak engkau pertama kali keluar dari negerimu, sedangkan engkau membawa permusuhan. Maka janganlah engkau bergerak dulu sebelum kami datang kepadamu. Jika itu yang engkau lakukan, maka engkau benar-benar seorang Kristian yang berani dan jika tidak, maka engkau tak lebih dari anak anjing. Bukanlah sikap pemberani dan bukan pula pahlawan jika seseorang datang kepada penduduk yang tidak terlindungi dan dia tidak menanti orang-orang yang siap berperang.”

Surat ini membuatkan Sebastian marah namun berhasil membuatnya memutuskan untuk menunggu meskipun penasihat dan komandan perangnya meminta untuk segera melakukan serangan. Strategi Abdul Malik berhasil.

Bertemulah 125,000 pasukan Portugis dan 40,000 pasukan Muslimin di sebuah daerah yang bernama Istana Besar (Ksar al-Kabir), lebih 100km di sebelah Selatan Tangier dan 20 km jauhnya dari pantai. Kebijaksanaan strategi Abdul Malik berhasil memancing dan memisahkan pasukan Sebastian dari pasukan artileri armada kapalnya di pantai. 

Pasukan Kavaleri juga dikirimkan untuk menghancurkan jambatan di belakang Sebastian sehingga memutus jalur bantuan dan pelarian musuh.

Abdul Malik mengatur meriam artileri di bahagian depan kemudian pasukan infantri dan pemanah di tengah memanjang serta Kavaleri kudanya di sayap kanan dan kiri. Sebenarnya Abdul Malik dalam keadaan menderita sakit, namun semangat jihadnya yang menggelora membuatnya tegar.

“Sejak bila seseorang yang sakit mendapat pengecualian dalam jihad di jalan Allah?” Jawabnya ketika diminta untuk tidak terlibat di medan perang.

Hari bersejarah

Isnin pada 30 Jumadil Akhir 986H atau 4 Ogos 1578M menjadi hari bersejarah, baik bagi Portugis mahupun Morocco dan khususnya Dunia Islam. Pagi itu Sultan Abdul Malik berdiri di depan pasukannya menyampaikan khutbah jihad menjelang perang.

Ia membacakan ayat-ayat Allah yang menggelorakan jihad yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” 

(al-Hajj : 40).

“Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

 (al-Anfal : 10).

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur).” 

(al-Anfal : 15).

Sultan Abdul Malik terus membakar semangat Muslimin untuk mati syahid. Di seberang mereka, pemimpin Portugis pun melakukan hal yang sama, membakar semangat pasukannya yang dipimpin Sebastian. Pasukan Portugis menjadikan perang ini sebagai sebahagian dari Perang Salib.

Perang ditandai dengan 10 letusan meriam dari kedua belah pihak. Takbir menggema dari Muslimin menggetarkan siapa pun yang mendengarnya. Majulah kedua pasukan saling mengasak. Sultan Abdul Malik maju di barisan depan menyerang pasukan tengah musuh. 

Namun penyakitnya yang parah membuatnya perlu dibawa kembali ke pusat perlindungan. Di sini beliau hanya ditemani saudaranya Ahmad al-Manshur serta pengawalnya Ridwan al-Alaj, Sultan memberikan instruksi perang dan meminta kematiannya disembunyikan dari Mujahidin hingga akhirnya Sultan Abdul Malik pun wafat.

Gelora jihad yang besar disertai taktik perang yang jitu berhasil menekan pasukan Sebastian baik di barisan tengah mahupun sayapnya. Muslimin yang dibantu tentera elit Osmaniah yang merupakan momok menakutkan bagi Eropah, berhasil memusnahkan pasukan sayap Portugis. Seluruh pasukan Portugis lari berundur dari jambatan Sungai Wadil Makhazin. 

Sayangnya jambatan harapan itu telah dihancurkan, aroma kematian menghinggapi pasukan Kristian Portugis. Ramai yang mati terjatuh ke sungai, termasuk as-Sa’di dan Sebastian yang mayatnya tidak pernah ditemukan. Tentera yang berbaki tertawan dan terbunuh oleh pedang tombak tentera Allah. Selama 4 jam 20 minit, Allah menunjukkan pertolongan-Nya dengan menghinakan pasukan Portugis di negeri Muslimin.

Selepas perang Istana Besar ini, naiklah Ahmad al-Manshur sebagai Sultan di Morocco. Berita kemenangan segera tersebar di seluruh negeri Muslimin dan disambut dengan suka cita. Wibawa Muslimin khususnya Morocco meningkat sehingga datanglah utusan-utusan dari berbagai negeri Eropah mengirimkan hadiah dan hubungan perdagangan.

Di sisi lain, Portugis mengalami era kegelapan, di mana empayernya di beberapa penjuru dunia runtuh dan dijajah oleh negara-negara Eropah lainnya, hanya tersisa Timor Leste yang kekal hingga abad ke-20. 

Kerajaan Portugis sendiri dikuasai dan berada dalam genggaman Sepanyol berabad-abad lamanya.

Moga Islam terus maju di Morocco melalui inspirasi sejarah silam.

USTAZ MOHD ZAHIR GHAZALI 

Penasihat Aafiyat Group – HARAKAHDAILY 11/12/2022




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom