Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Manaqib Tuan Guru Haji Daud Keramat


Jejak Ulama Nusantara - Perak

Tuan Guru Haji Daud Keramat ( Wafat pada 1960 )

Oleh : Tengku Yusuff 



Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Daud Bin Abdul Rahman Bin Tok Tama (Tengku Sri Utama Diraja) dan beliau berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Ayahnya, Haji Abdul Rahman yang juga digelar dengan panggilan Tok Penghulu Bongsu tersenarai dalam gerombolan wira Melayu yang menyertai perjuangan Dato' Bahaman dan juga pernah turut serta di dalam Perang Pahang sekitar 1890an.

Tuan Guru Haji Daud Keramat Kampung Gajah adalah adik bongsu kepada Tuan Guru Haji Taib Seberang Pasir Mas.

Beliau mendapat pendidikan agama di Pondok Chaok, Patani berguru dengan wali Allah Tok Chaok selama beberapa tahun sebelum belayar ke Tanah Suci Mekah selama 15 tahun. Ketika di Mekah, beliau bertalaqqi kitab dengan para masyeikh yang mengajar di Masjidil Haram khususnya mereka yang berasal dari Tanah Jawi.

Ketika di Pondok Chaok beliau bersahabat baik dengan :

1. Tuan Guru Haji Abdul Kadir Melor
2. Tok Selehor
3. Tuan Guru Haji Awang Fakir
4. Tuan Guru Haji Husain Che Dol

Tuan Haji Daud Keramat berhijrah ke Perak sekitar tahun 1925 dan memilih Kampung Gajah sebagai tempat menetapnya. Ketika di Perak, beliau menjadi penasihat agama kepada Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Mukhataram Shah Radziallah, Sultan Perak ke-32.

Ketokohan Tuan Guru Haji Daud sering kali menjadi bualan ramai. Beliau bukan sahaja berjasa menyampaikan ilmu kepada masyarakat setempat malah orang-orang bunian pun dikatakan turut menjadi muridnya.

Dua orang menantunya yang terkenal dan menjadi tokoh rujukan masyarakat ialah :

1. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Haji Ibrahim - Pengasas Pondok Pangsanam, Temerloh 
2. Tuan Guru Haji Abdul Mutalib Bin Haji Abdul Hamid, Kubang Semang, Bukit Mertajam

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia pada tahun 1960 di Teluk Intan, Perak. Ada riwayat yang menyebut beliau wafat pada tahun 1958 dan ada juga yang mengatakan pada tahun 1962. Wallahualam.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tuan Daud, Pasir Panjang Ulu, Kampung Gajah.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin



*Sumber - Buku Tokoh Ulamak Semenanjung Melayu Jilid 2


Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom