Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah hidup ulama Tuan Majid Teluk Sareh ( 1919 - 1975 )




Oleh : Tengku Yusuff


Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Abdul Qadir dan beliau dilahirkan pada tahun 1919 di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan, Perak. Ketika hayatnya beliau menetap di Kampung Telok Sareh, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak (bersebelahan Masjid Teluk Sareh).


Beliau mempunyai 8 orang adik beradik iaitu :


1. Che Long


2. Mohd Yusof


3. Mohd Rashid


4. Mensiah


5. Abdul Hamid 


6. Tuan Guru Haji Abdul Majid 


7. Mas'od


8. Amnah


Orangnya kecil-kecil dan gemar mengenakan songkok, kain pelikat terikat dengan tali pinggang serta baju kemeja yang tersisip ke dalam ikatan kainnya, kemudian di sarung baju kot dari luar. 


Zaman kecilnya, Tuan Majid bersama dua orang sahabatnya iaitu Tuan Guru Haji Maarof Bin Abbas Teluk Sareh dan Tuan Guru Haji Mohd Rejab Beseri pergi belajar di Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan. 


Di antara guru-gurunya ialah :


1. Tok Kenali (sempat belajar beberapa tahun sahaja)


2. Tuan Guru Haji Yaakob Legor


3. Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang


4. Tuan Guru Haji Saad Kangkong dan ramai lagi


Ketika Jepun mula datang ke Tanah Melayu, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman namun beliau singgah di Istana Pahang selama beberapa waktu dan menjadi guru istana mengajar anak-anak raja termasuk Almarhum Sultan Ahmad Shah.


Apabila zaman Jepun reda, Tuan Majid pulang ke kampung halaman mengajar agama di masjid surau. Kemudian beliau mendapat tawaran menjadi guru agama kerajaan negeri Perak selepas menduduki beberapa kursus di Ipoh. Di antara sahabatnya pada ketika itu ialah Ustaz Haji Saidon yang berasal dari Teluk Kepayang namun menetap di Teluk Intan.


Kerjaya Tuan Majid sebagai guru sekolah bermula di Sekolah Kebangsaan Teluk Sareh. Kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga dan akhirnya ke Sekolah Agama Darjah Khas Lambor Kanan. 



Dalam masa yang sama beliau turut memegang jawatan Ketua Imam Masjid Teluk Sareh dan beliau juga mempunyai ilmu dalam merawat menggunakan kaedah tradisional. Rumahnya sering dikunjungi penduduk kampung bagi mendapatkan air penawar, nasihat dan sebagainya. Ayat al-Quran yang beliau amalkan ketika berubat ialah 6 Ayat Syifa'.



Tuan Majid alim di dalam 20 cabang ilmu. Masa mengajar beliau tidak membawa kitab, malah beliau akan menyuruh muridnya baca dan Tuan Majid akan menghurai bait kalam satu per satu.



Antara kitab yang beliau karang ialah  Nāfi`ul-Awţān (نافع الأوطان) yang ditashihkan oleh gurunya, Tuan Guru Haji Yaakob Legor dan Tuan Guru Haji Osman Bin Yunus Bukit Besar di Masjid Muhammadi.



Allahyarham Tuan Majid mendirikan rumahtangga dengan Hajah Saedah Binti Haji Mohd Noor ketika Jepun hampir tewas di Tanah Melayu. Hasil perkongsian hidup ini mereka dikurniakan anak seramai 14 orang.



Beliau bersahabat dan bersaudara dengan Tuan Guru Haji Yeop Majlis. Apabila Tuan Guru Haji Yeop Majlis mengajar di Masjid Teluk Sareh, Tuan Majid akan duduk bersebelahan dengan beliau.



Suatu hari Tuan Guru Haji Yeop Majlis terlantar sakit. Tiba-tiba sedang beberapa orang jiran dan ahli keluarga berada di sekeliling tampat pembaringan beliau, mereka semua dikejutkan dengan suara tangisan Tuan Guru yang agak deras. Semua tertanya-tanya dan berenungan sesama sendiri, kenapa tiba-tiba beliau tersedu-sedan menangis dengan beremosi sekali. Dalam sepanjang hidup, inilah kali pertama dan terakhir mereka melihat Tuan Guru Haji Yeop Majlis menangis sebegitu. Beliau mengangkat tangan memberi isyarat dan kedengaran suaranya minta ia didudukkan. 



Rupa-rupanya beliau ternampak seseorang sedang menaiki tangga untuk masuk melawatnya. Yang dimaksudkan itu adalah Tuan Majid.



Setelah Tuan Guru Haji Yeop Majlis didudukkan dan sebaik Tuan Majid berada di hadapannya, beliau merangkulnya dan menangis hingga terkeluar suara sedu-sedannya. Tuan Majid tidak pula kelihatan menangis, cuma menepuk perlahan belakang Tuan Guru Haji Yeop Majlis dengan kata-kata lembutnya minta bersabar. Beberapa minit kemudian Tuan Majid minta diri untuk pulang dan sekali lagi mereka bersalaman dan berpelukan sebelum berpisah.



Pagi besoknya (atau beberapa hari kemudian), datang seorang pelawat dari Teluk Sareh membawa berita bahawa Tuan Majid telah meninggal dunia semasa tidur malam tadi. Tuan Guru Haji Yeop Majlis mendengar berita tersebut dengan tenang dan beliau tidak pula menangis lagi. Hanya kelihatan mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu. 



Tuan Majid meninggal dunia pada 7 Disember 1975 ketika berusia 55 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Sareh, Pulau Tiga, Kampung Gajah.



Moga Allah Taala merahmati roh para auliaNya. Amin



*Sumber - Puan Hajah Norzaerah Norza dan Puan Ala Yaya (anakanda almarhum)





Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom