Maut paling ramai yang pernah direkodkan sewaktu pendudukan Jepun adalah di Borneo Utara, Sabah. Peristiwa ini dikenali sebagai tragedi kawat maut dan ianya terjadi di Sandakan, Sabah. Dalam kejadian ini, telah direkodkan seramai kira-kira 6,000 orang awam maut yang mana mereka kebanyakannya adalah merupakan hamba kerahan Indonesia dan juga tahanan perang.
Dalam pada tahun 1942, orang awam Indonesia bersama tahanan perang Australia serta British telah dihantar ke Borneo Utara melalui jalan laut. Orang awam kerahan yang di ambil dari Pulau Jawa ini bertujuan untuk dijadikan buruh paksaan untuk membina padang terbang di Sandakan, Sabah yang menjadi milik Jepun pada ketika itu. Tahanan kerahan buruh paksa ini dipaksa untuk bekerja, dipukul dan tidak mendapat makanan serta ubatan yang cukup. Kebanyakan daripada mereka akhirnya maut kerana tidak mampu untuk bertahan disebabkan oleh penyakit berjangkit dan kebuluran.
Komandan kem iaitu Kapten Hoshijima Susumi memindahkan saki baki tahanan yang masih hidup pada tahun 1945 kerana pihak Berikat yang semakin hampir dan saki baki tahanan ini telah dipindahkan ke kawasan pedalaman Ranau, Sabah kira-kira 250 kilometer dari tempat asal mereka ditahan. Kapten Hoshijima Susumi hanya menurut arahan komander Pemerintahan ke 37 dalam Tentera Jepun iaitu Leftenan Gen Masao Baba. Tahanan Australia dan Indonesia ini telah dikerah oleh tentera Jepun untuk berjalan dari Sandakan sehingga ke Ranau, Sabah.
Malangnya tidak terbela nasib mereka yang dikerah ini secara paksa pada waktu itu, dalam perjalanan tersebut lebih 1,000 orang telah maut akibat daripada keletihan, kebuluran dan penyakit. Kekejaman tentera Jepun tidak berakhir disitu, tentera Jepun kemudian memilih 470 banduan untuk mengangkut bagasi dan bekalan makanan yang difikirkan cukup cergas untuk mengiringi batalion tentera Jepun di penempatan baru di bahagian pantai barat Sabah.
Tahanan ini kemudian akhirnya memulakan perjalanan mereka ke Ranau dengan penuh siksa dan derita kerana kekurangan zat makanan dan jangkitan penyakit serta keletihan yang teramat. Perjalanan masa yang diambil untuk sampai di Ranau dari Sandakan, Sabah dengan berjalan kaki mengambil masa selama sembilan hari. Malangnya, pihak Jepun hanya memberi bekalan makanan kepada tahanan cukup untuk empat hari sahaja.
Ramai tahanan tidak mampu untuk bertahan dan akhirnya mereka mati dalam perjalanan. Tahanan yang tidak mampu meneruskan perjalanan akan ditinggalkan begitu sahaja dibiarkan mati dan ada juga daripada mereka yang ditembak mati oleh tentera Jepun. Lima orang askar Australia termasuk seorang tentera British berjaya melarikan diri setelah mendapat bantuan dari penduduk tempatan yang memberikan mereka makanan dan menyembunyikan mereka sehingga perang berakhir.
Daripada 6 orang yang terselamat, hanya 3 orang sahaja yang berada dalam keadaan baik dan terselamat daripada sebarang penyiksaan oleh tentera Jepun. Mereka inilah yang menjadi saksi utama dan menceritakan segala kekejaman tentera Jepun untuk tatapan seluruh dunia.
sumber:sejarah.my
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: