YM Dato' Orang Kaya Laksamana Syeikh Haji Ahmad bin YM Dato' Qari Raja Haji Muhamad al-Baqir (1876-1942) adalah Khalifah Tarekat Naqsyabadiah Kholidiah ke-36, iaitu khalifah terawal Tarekat Naqsyabadiah di Negeri Sembilan. Beliau memainkan peranan penting dalam sejarah perkembangan aliran tarekat di Negeri Sembilan dan Tanah Melayu. YM Dato' Orang Kaya Laksamana Syeikh Haji Ahmad hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Said al-Linggi yang mengasaskan tarekat Ahmadiah di Negeri Sembilan.
Dicatatkan YM Dato' Orang Kaya Laksamana Syeikh Haji Ahmad pernah menuntut dan bermukim di bumi Makkah al-Mukarramah. Di sanalah beliau menerima ijazah khalifah tarekat daripada Syeikh Ali Redha yang menetap di Jabal Qubais. Syeikh Ali Redha pula adalah pewaris ke-35 tarekat berkenaan. YM Dato' Orang Kaya Laksamana Haji Ahmad adalah Waris Klana di-Hilir Luak Sungei Ujung yang bertanggungjawab membuka surau suluk di Pantai, Seremban sejak awal 1900 lagi.
Zaman mudanya beliau dilantik sebagai YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Luak Sungei Ujong dan mendapat didikan agama hingga ke Makkah al-Mukarramah dalam usianya 20-an. Beliau dilahirkan dalam tahun 1876 dan mengenali Syeikh Muhamad Said al-Linggi, ulama terkenal yang membawa Tareqat Ahmadiah yang dominan di Negeri Sembilan. Dalam tempoh tersebut ramai anak watan bermukim di kota suci Makkah untuk belajar agama.
Menariknya, kepulangan Syeikh Muhamad Said ke tanah air seakan sekapal pula dengan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Syeikh Haji Ahmad. Kedua anak watan yang alim ini terus membuka pusat pengajian di kampung masing-masing dalam Luak Sungei Ujong ini. Pusat pengajian masing-masing hanya berada pada jarak sekadar 10 kilometer sahaja dan pondok mereka menjadi tumpuan ratusan murid-murid yang datang dari pelbagai tempat untuk menimba ilmu agama daripada dua orang alim ini.
Dua bahtera besar inilah yang mengibarkan panji-panji kesufian Ahmadiah dan Naqsyabandiah terawal di Negeri Sembilan. Sejak kehadiran YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Syeikh Haji Ahmad inilah, penduduk Negeri Sembilan mula mengenali tuwajjuh dan bersuluk.
Melalui didikan dan pengawasan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Syeikh Haji Ahmad, ramai murid berjaya menjalani program tawajuh dan bersuluk. Haji Maarof Yaakob adalah antara anak murid bongsunya yang sempat menerima ijazah pada 1942.
Dikatakan semasa mengadakan program bersuluk terakhir dalam 1942, Syeikh Haji Ahmad telah begitu uzur namun beliau masih menggagahkan diri untuk menaiki tangga surau bagi menyertai majlis. Surau suluknya kira-kira 10 kaki dari pintu rumahnya di Pantai. Adakalanya beliau akan diusung di atas kerusi oleh anak muridnya untuk naik ke surau.
Pada Jumaat penghulu segala hari, sesudah maghrib, 1 Syaaban 1362H bersamaan 30 Julai 1942. YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Haji Ahmad yang soleh ini kembali ke rahmatullah. Jenazahnya dikebumikan pada Sabtu hari berikutnya di tanah perkuburan Pantai, tidak jauh dari suraunya.
Sumber penceritaan daripada:
1) Artikel Allahyarham Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad Haji Muhamad al-Baqir (1876-1942), laman web rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan 22 April 2019.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: