Tidak ramai generasi hari ini yang mengenali Maarof Zakaria. Beliau merupakan seorang pejuang ekonomi Melayu yang dibunuh oleh musuh yang dengki dan mencemburui perjuangannya.
Anak kelahiran Seri Menanti ini merupakan di antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan di MCKK dan kemudian UK, di bidang guaman pada 1928-30.
Maarof Zakaria dilahirkan pada 1904 dan hidup sezaman dengan pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Zaaba) dan dan penulis Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).
Beliau pernah bekerja sebagai Penolong Pegawai Dawrah di Perak, Penolong Pendakwa Raya dan Majistrit di Kuala Lumpur, Timbalan Pendakwa Raya di Selangor sebelum membuka firma guaman dan menubuhkan bank Melayu yang pertama iaitu Malay National Bank di Jalan Klang Lama.
Allahyarham pernah ditawarkan untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama tetapi menolaknya kerana menginsafi bahawa kekuatan politik sahaja tidak cukup untuk membangunkan orang Melayu tanpa dibantu dari segi modal perniagaan dan pelabiran kewangan.
Namun pemikiran dan hasrat murni tokoh yang hebat ini telah mencemaskan saingannya iaitu dua bank di Tanah Melayu ketika itu, The Chartered Bank milik penjajah Inggeris dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).
Pihak tertentu yang dengki dan cemburu dengan langkah berani Maarof ini dengan bertindak menculiknya pada 4 Disember 1947, dan mayatnya hanya dijumpai dalam keadaan digantung pada sebatang pokok dalam hutan, Jalan Kuala Lumpur – Bentong pada 7 Disember 1947.
Sehingga kini, kes bunuh Allahyarham tidak pernah diselesaikan dan menimbulkan persoalan, siapa yang membunuh, kenapa mangsa dibunuh dan siapakah dalangnya.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: