Batu Pahat: Keluarga warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke kebun sawit Rabu lalu berharap wanita itu ditemukan selamat.
Painah Siwan, 79, gagal dikesan selepas dikatakan pergi ke kebun sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang di Senggarang, Batu Pahat kira-kira 3.30 petang.
Anak ke tiga daripada sembilan beradik, Sadiah Mohari, 42, berkata, kebiasaannya ibunya itu pergi ke kebun untuk mencari sisa daun sawit yang sudah dibuang pekebun untuk dijadikan penyapu lidi dan akan pulang selepas itu.
"Sehingga kini kami sekeluarga buntu kerana emak masih tidak ditemui lagi walaupun pelbagai usaha digunakan termasuk bantuan mencari dan menyelamat daripada pihak berkuasa.
"Ada juga pihak yang arif dalam agama datang membantu mencari emak dan menyatakan emak masih berada dalam keadaan selamat di alam ghaib.
"Emak sebenarnya masih ada di sekitar kawasan ini dan dia mahu balik tapi emak tidak mampu untuk menjelmakan dirinya di dunia nyata," katanya ketika ditemui, hari ini.
Sadiah berkata, dia bersama ahli keluarga lain melakukan pelbagai usaha bagi mengesan ibunya dan berharap wanita itu akan pulang dengan keadaan selamat.
"Kami sekeluarga sudah melakukan solat hajat dan semoga ada keajaiban untuk emak kembali pulang dalam keadaan selamat serta reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.
Katanya, semalam pihak berkuasa ada menemui kesan leraian sisa daun sawit yang dicarik-carik di sekitar kawasan pencarian tetapi masih tidak berjaya menemui ibunya sehingga hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada hari kedua dan ketiga dengan 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi tetapi tetap gagal menemui mangsa.
"Hari ini, operasi mencari mangsa akan diperluas melebihi dari tempat mangsa dilaporkan hilang," katanya.
Sumber : Harian Metro
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: