Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah Sultan Kedah berhadapan pemberontakan cucuanda baginda sendiri


Gambar Hiasan

Semasa zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah Kedah ( 1661-1687 ), baginda telah menerima kedatangan Raja Bugis yang meminang Puteri Sapura Negara untuk dikahwinkan dengan anakandanya iaitu Raja Juang Tawa.

Hasil perkahwinan ini mereka memperoleh seorang putera yang diberi nama Tengku Ngah Putra. Semasa Tengku Ngah Putra berumur 17 tahun, ayahandanya Raja Juang Tawa telah mangkat dan telah dimakamkan di-langgar Kota Indera Kayang.

Tidak lama kemudian Raja Muda Kedah pula telah mangkat di Kota Naga sehingga menyebabkan Sultan Dhiauddin menjadi masygul.

Namun tidak lama kemudian, baginda telah mendapat seorang lagi putera dengan isterinya yang bernama Che Sepa Chendra iaitu Tengku Ataullah yang dilahirkan di Bukti Pinang.

Disebabkan Tengku Ataullah masih kecil maka Sultan Dhiauddin bercadang untuk mengangkat cucundanya yang bernama Tengku Ngah Putra itu sebagai pengganti baginda namun Tengku Paduka Maharaja Temenggung Anggota Desa telah bertindak lebih awal dengan menabalkan Tengku Ataullah sebagai “bakalan” tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada sultan kerana bimbang sultan tidak akan perkenan.

Perbuatan para pembesar yang menabalkan Tengku Ataullah itu telah menyebabkan Tengku Ngah Putra tidak berpuas hati. Beliau telah meminta izin sultan untuk ke Negeri Bugis untuk berjumpa dengan keluarganya di sana.

Semasa istana Bugis, Tengku Ngah Putra telah meminta bantuan kerabatnya untuk menyerang Kedah bagi membalas segala dendam yang terbuku di hati selepas beliau tidak diangkat oleh pembesar Kedah sebagai bakal sultan.

Raja Bugis pada waktu itu telah memberi kuasa untuk memimpin tentera kepada Raja Tagok Kurnam yang merupakan panglima handalan Bugis yang tidak pernah tewas dalam sebarang peperangan.

Kedatangan angkatan tentera Bugis itu telah berjaya diketahui oleh Dato’ Seri Paduka Raja Laksamana lantas memaklumkan kepada Sultan Kedah mengenai tindakan cucundanya itu yang datang ingin menyerang Kedah.

Pada 18 Februari 1687, angkatan perang Tengku Ngah Putra akhirnya memasuki Kedah melalui Sungai Merbok. Kemaraan pasukan Bugis itu telah disekat oleh Dato’ Seri Paduka Raja Laksamana bersama-sama dengan orang Langkawi dan juga pahlawan Kedah dari Kuala Bara dan daripada pelbagai tempat lain. Peperangan ini memakan masa yang agak panjang iaitu lebih kurang 60 hari.

Pasukan Bugis akhirnya terpaksa berundur dari Kedah apabila panglimanya iaitu Raja Tagok Kurnam telah terbunuh di pintu Sungai Kechil.



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom