Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah bangsa terjajah, Filipina "dijual" kepada Amerika Syarikat



Oleh : Amirzayyanid

Tahun 1898 amat penting buat Republik Cuba. Ia tahun ketiga mereka memperjuangkan kemerdekaan, setelah empat kurun dijajah Sepanyol. Tahun itu juga, mereka menerima bantuan dari Amerika Syarikat.

Campur tangan berlaku rentetan USS Maine diletupkan ketika sedang berkawal di Pelabuhan Havana. Ikutkan, tiada siapa tahu punca dan dalangnya. Apa benar ia ‘diletupkan’ pun masih jadi tanda tanya.

Cuma yang nyata, peristiwa pada 15 Februari 1898 itu mendorong AS untuk masuk campur. Aset tentera dikerah. Ini sekali gus mengubah dimensi Perang Kemerdekaan Cuba menjadi Perang Amerika-Sepanyol.

Konflik antara dua adikuasa itu tidak sekadar menghangat di Atlantik, tetapi turut tempias hingga ke hemisfera timur, yakni Pasifik. Dalam perang ini, AS benar-benar berusaha untuk merebut wilayah Sepanyol. Di timur, ada dua negara yang menjadi sasaran – iaitu Guam dan Filipina.

Masing-masing pernah dijejaki Ferdinand Magellan pada tahun 1521. Ramai yang mungkin sudah tahu kisah pengembara itu. Khususnya tentang bagaimana dia mati di tangan Lapu-Lapu ketika berlabuh di Mactan.

Jadi kita lompat sahaja ke tahun 1565, saat dua tempat itu menjadi koloni Sepanyol secara rasmi. Ketika itu, yang memimpin ialah Miguel Lopez de Legazpi. Dia inilah yang mendirikan petempatan kekal (koloni) pertama di Cebu lalu membawa masuk bentuk politik yang baru.

Populasi penjajah kian bertambah pada 1571. Cuma kumpulan ini lebih bertumpu di Manila (pulau Luzon; utara) berbanding Cebu (pulau Visaya; tengah). Di sana, mereka bina Intramuros – bandar berkubu seluas 0.67 km² di Manila. Ia menjadi pusat pentadbiran dan pangkalan pergerakan Sepanyol di Filipina.

Dari situlah pendalaman Luzon ditakluk. Dari situ jugalah Katolik dipeluk. Sekolah-sekolah lantas dibina. Ia menjadi medan pemaksaan budaya, bahasa, dan agama asing ke atas orang asal. Español menggantikan Kapampangan. Bibleisme menggugurkan Bathalisme.

Namun berbanding semua, kesan feudalisme mungkin adalah yang paling ketara. Ini lantaran kelas-kelas sosial yang ketat mula dilaksanakan. Orang Sepanyol mengungguli hierarki sambil orang asal Filipina diinjak sebagai sahaya.

Secara umum, ada enam kelas sosial yang diperkenalkan. Iaitu peninsulares (Sepanyol tulen dan lahir di Sepanyol), criollos (Sepanyol tulen dan lahir di koloni-koloni Sepanyol), insulares (Sepanyol tulen dan lahir di Filipina), mestizos (kacukan), indios (Austronesia tulen; berkulit sawo matang), dan negritos (Aeta tulen; berkulit gelap).

Pada kurun ke-19, muncul satu kelas baru bernama ilustrados. Mereka ini asasnya berkasta indios, tetapi dibezakan oleh tahap pendidikan. Mereka inilah yang membentuk gerakan pencerahan buat orang tempatan.

Salah seorangnya ialah Jose Rizal (1861-1896), pengasas Liga Filipina yang lantang dalam penulisan – baik novel (Noli Me Tangere dan El Filibusterismo) mahupun majalah (La Solidaridad). Karyanya banyak mendedahkan penyelewengan golongan penguasa dan mubaligh, di samping menyeru orang tempatan untuk bangkit dan bersatu.

Propaganda itu disahut. Lalu pada 1892, sebuah gerakan anti-koloni pun ditubuhkan – bernama Katipunan. Ia diasaskan oleh Andres Bonifacio (1863-1897). Dalam tempoh empat tahun, Katipunan menerima seramai 30,000 keanggotaan.

Lalu, tercetuslah Revolusi Filipina (1896-1898) dengan laungan pertama dilontarkan di Balintawak pada 26 Ogos. Hari itu, semua mengoyakkan cedula (semacam kad pengenalan) masing-masing. Dua hari kemudian, pertempuran pertama berlaku di Pasong Tamo.

Ini lantas disusuli beberapa pertempuran lain; misalnya Pertempuran San Juan (30 Ogos; seramai 137 Katipuneros terbunuh) dan Pertempuran Kakarong de Sili (1 Januari 1897; dua hari selepas Jose Rizal dihukum mati).

Katipunan memang berhasil mengasak kedudukan Sepanyol, walaupun sengketa dalaman sempat berlaku sampai ia terpecah dua – faksi Magdalo (dipimpin Andres Bonifacio) dan faksi Magdiwang (dipimpin Emilio Aguinaldo).

Sengketa tersebut hanya diselesaikan menerusi Konvensyen Tejeros pada 22 Mac 1987, di mana Bonifacio kalah undi kepada Aguinaldo. Susulan itu, Katipunan dibubarkan. Keesokan harinya pula, Aguinaldo angkat sumpah sebagai presiden Republik Filipina Pertama.

Disebut ‘pertama’ sebab republik itu sempat digulingkan oleh Amerika Syarikat sebelum muncul Republik Filipina sekarang. Penggulingan ini ada sangkut-paut dengan Perang Amerika-Sepanyol yang diceritakan awal tadi.

Selepas mengisytiharkan perang melawan Sepanyol pada 25 April, Amerika terus sahaja menggerakkan armada George Dewey yang bersauh di Hong Kong untuk menuju Filipina. Mereka sampai di Teluk Manila pada 1 Mei, dan bedilan dimulakan seawal jam 5:40 pagi.

Lebih kurang dua jam sahaja mereka ambil untuk huru-harakan armada Sepanyol. Dewey sampaikan sempat menyuruh pasukannya berhenti seketika untuk bersarapan, sebelum meneruskan bedilan pada tengahari. Armada Sepanyol menyerah, lantas Manila pun dikepung dari laut.

Dewey bagaimana pun tidak terus melancarkan serangan darat. Dia mahu tunggu bala bantuan. Peluang lantas dimanfaatkan oleh Katipunan. Mereka segera menggempur Intramuros. Lalu pada 12 Jun 1898, Aguinaldo mengibarkan bendera Filipina di anjung rumahnya – mengisyaratkan yang Filipina merdeka dari Sepanyol.


Namun, keadaan tidak semudah itu. Penghujung Jun, bala bantuan Amerika tiba. Pada masa sama, mereka menjalinkan hubungan baik dengan Katipunan dan kerajaan yang dibentuk oleh Aguinaldo (Republik Filipina Pertama).

Dengan sokongan sekuat itu, Aguinaldo pun tawarkan syarat-syarat menyerah kalah kepada Basilio Augustin, Gabenor Sepanyol di Filipina. Tawaran itu hampir diterima. Augustin malah bersedia mahu bayar 1 juta peso kepada Aguinaldo. Tetapi aturan itu tidak sempat berlaku. Augustin dilucutkan jawatan dan digantikan oleh Fermin Jaudenes.

Secara diam-diam, Jaudenes adakan rundingan dengan Dewey. Dia bercadang mahu serahkan Intramuros kepada AS kerana mahu jaga air muka. Baginya, lebih bermaruah jika kalah kepada sesama orang berkulit putih.

Jadi, mereka pun merancang satu pertempuran olok-olok. Tarikhnya adalah pada 13 Ogos. Hari itu, Dewey berlakon membedil pinggir bandar Manila dengan teruk, sampai tentera Sepanyol terpaksa berundur dan menyerah.

Ini membuatkan pejuang-pejuang Filipina berasa terhutang budi kepada Amerika. Lebih-lebih lagi bila mereka mendengar yang Cuba berjaya merdeka – hasil Perjanjian Paris.

Ikutkan, memang perjanjian itu memerdekakan Cuba dari penjajahan Sepanyol. Tetapi ia turut memindahkan hak milik ke atas Puerto Rico dan Guam kepada Amerika. Begitu juga dengan Filipina; ia ‘dijual’ kepada Amerika dengan harga $20 juta tanpa seorang pun wakil Filipina dibawa berbincang.

Rentetan itu, orang Filipina naik marah. Lantas, berlakulah Perang Amerika-Filipina yang sekali gus memaksa mereka untuk menanti selama 50 tahun sebelum dapat mengecap kemerdekaan hakiki.

RUJUKAN:

History. (2018, 21 August). Battle of Manila Bay.

Gonzalves, Theodore S. (2018, 18 December). The mock battle that ended the Spanish-American War. American History.

Teng, Jhemmylrut. (2020, 24 October). How the U.S. Bought the Philippines from Spain for $20 Million. Frame of Reference.

Sumber artikel : thepatriots

#PeristiwaNSejarah



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom