Rata-rata dikalangan kita mengenali sosok batang tubuh si bedebah J.W.W Birch yang jasadnya terkulai dibantai pejuang-pejuang Melayu Perak. Namun, nama Mat Arshad si pengkhianat bangsa yang berkhidmat dengan penjajah Inggeris semakin luput diperkatakan.
Jejak bertahun lamanya, membawa kepada para aktivis sejarah dari persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (SEMARAK) menemui pusara si tali barut itu pada tanggal 31 Ogos 2018.
Melalui rekod tulisan saudara N.A. Halim pada tahun 1981 dan bantuan kenalan dari Manjung iaitu Ahmad Nizar Kamarudin, serta orang kampung, aktivis SEMARAK telah berjaya mengesan lokasi kubur Mat Arshad yang terletak di Bandar Bharu, Pulau Besar berdekatan dengan makam Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke 19).
Bagi mereka yang tidak kenal siapa itu Mat Arshad, Mat Arshad adalah individu yang ditugaskan sebagai penterjemah bahasa kepada J.W.W. Birch dan beliau juga adalah kerani yang berkhidmat dengan penjajah British berpusat di Bandar Bharu, Pulau Besar berdekatan dengan Kampung Gajah.
Juru bahasa kepada J.W.W. Birch ini berasal dari Sumatera dan beliau dikatakan adalah orang Rawa yang diambil oleh J.W.W. Birch untuk berkhidmat dengannya. Hal ini adalah kerana Mat Arshad punyai kebolehan dalam menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.
Kebolehan yang ada pada Mat Arshad yang mana kemahiran beliau bertutur dan menulis dalam bahasa inggeris amat sukar dicari pada orang melayu lain yang ada di sekitar Tanah Melayu ketika itu melainkan golongan orang-orang kaya dan kerabat diraja serta golongan atasan.
Sebelum berkhidmat dengan J.W.W. Birch, Mat Arshad dikatakan pernah bekerja dengan pemerintah Inggeris di Pulau Pinang. Berkemungkinan, dari pengalaman kerjanya disanalah yang menyebabkan Mat Arshad dipilih untuk berkhidmat dengan J.W.W. Birch.
Kisah dan peristiwa di penghujung hidupnya, Mat Arshad pernah diarahkan oleh J.W.W. Birch untuk memaklumkan tentang hal kedatangan British di Pasir Salak kepada Dato Maharajalela dan beliau juga telah ditugaskan untuk menampal surat pengishtiharaan di Pasir Salak untuk pungutan cukai.
Pada satu pagi bertarikh 2 November 1875 sewaktu orang melayu sedang menyambut hari raya Aildilfitri yang kedua, Mat Arshad pergi menampal surat pengishtiharaan yang telah ditugaskan kepadanya dan itulah antara salah satu faktor utama yang menyebabkan kemarahan dan kebangkitan orang melayu di Pasir Salak.
Tindakan J.W.W. Birch seolah-olah mencabar amaran yang pernah dikeluarkan oleh Dato Maharajalela untuk tidak berbuat demikian dan dengan penuh ego dan sombong, J.W.W. Birch langsung tidak endahkannya. Dato Sagor adalah antara individu pergi berjumpa dengan Mat Arshad dan J.W.W. Birch untuk menunjukkan protes.
Apabila berdepan dengan J.W.W. Birch dengan Mat Arshad, Dato Sagor terus mengoyak sehelai surat pengishtiharaan di hadapan mereka berdua. Tindakan Dato Sagor mengoyakkan surat tersebut diikuti oleh pengikut yang berkumpul dikawasan tebing sungai tempat dimana lokasi Kompleks Pasir Salak sekarang.
Sewaktu J.W.W. Birch ke rumah mandi untuk mandi pagi. Suasana menjadi tegang apabila surat pengishtiharaan yang dikoyakkan, ditampal lagi oleh Mat Arshad sehinggakan Mat Arshad merayu agar jangan dikoyakkan lagi selagi mereka ada di sana dan koyaklah apabila mereka beredar dari sana.
Namun rayuan daripada Mat Arshat tidak dihiraukan oleh orang ramai yang semakin marah dengan kebiadapan J.W.W. Birch. Sementara berlaku pertengkaran antara Mat Arshad dengan orang kampung, Dato Sagor, Dato Maharajalela dan Pandak Indut pun datang untuk mengoyakkan surat-surat yang ditampal. Kemudian, tanpa berbicara Pandak Indut dan seorang lagi terus mengejar Mat Arshad.
Lintang-pukang Mat Arshad lari dalam ketakutan kerana dikejar dengan parang. Dalam masa yang sama, Sepuntum ada di situ dan terus melaung “Kita membawa titah – amuk amuk!”. Lantas ketika mengejar Mat Arshad, Mat Arshad ditikam dalam pergelutan dan terus berlari ke arah perahu naga Birch yang ada di tebing sungai.
Sedang ada di dalam sungai berlari ke arah perahu naga, Sepuntum terus menetak kepala Mat Arshad dengan sekali hayun dan disitulah pengakhiran hidup Mat Arshad di muka bumi ini di tanah Pasir Salak.
Biarpun Mat Arshad dikenali sebagai tali barut orang melayu yang berkhidmat dengan penjajah british, namun sebenarnya nilai sejarah yang kita cari. Cerita sejarah yang ada disebaliknya wajar untuk dikenang dan dihayati agar ia menjadi iktibar tentang apa yang pernah berlaku di negara kita. Ianya cukup berharga dan kajian lanjut harus dijalankan oleh pihak yang lebih professional di lokasi tersebut.
Rujukan : orangperak.com
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: