Pada tanggal 23 Julai tahun 1587, satu armada perang tentera salib Portugis menyerang Johor. Pasukan Portugis yang diketuai oleh Antonia de Noronda telah menyerang serta membedil Kota Batu dan Johor Lama, lantas berlakulah pertempuran tembak menembak antara kedua belah pihak. Peperangan ini adalah ekoran daripada serangan-serangan Portugis dalam tahun-tahun 1576 dan 1578 di mana serangan-serangan itu tidak dapat mengalahkan Johor dan orang-orang Portugis terpaksa berundur ke Melaka.
Sebagai tindak-balas, satu angkatan perang Johor pula telah menyerang melalui laut dan darat pada 6 Januari 1587. Dalam serangan ini Kota Melaka hampir dapat dirampas oleh orang-orang Johor. Pada 21 Julai 1587, satu angkatan perang Portugis telah mudik ke sungai Johor. Dua hari kemudian, iaitu pada 23 Julai 1587, satu peperangan besar telah berlaku di antara orang-orang Johor dan orang-orang Portugis.
Semua serangan-serangan Portugis pada hari itu telah dapat dipatahkan oleh orang-orang Melayu. Sungguhpun orang-orang Portugis kalah, mereka masih meneruskan bedilan-bedilan meriam serta menggunakan taktik-taktik peperangan dengan mengepong Johor Lama dan Kota Batu. Kejadian ini telah berlarutan hingga beberapa hari.
Pada 10 Ogos, satu lagi angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Paulo de Lima Pereira daripada Goa telah tiba di Johor dan pada pagi 15 Ogos, askar-askar Portugis telah melancarkan serangan. Askar-askar yang mendarat telah dibahagikan kepada tiga buah pasukan; satu pasukan diketuai oleh Antonia de Noronda dan dibantu oleh Joao Pereira; satu pasukan lain diketuai oleh Matheus Pereira Sampaio, dan satu lagi diketuai oleh Paulo de Lima Pereira sendiri.
Kota Batu pula dipertahankan oleh orang-orang Minangkabau, Jawa, Terengganu, Indragiri dan Kampar berjumlah 10,000 hingga 12,000 orang yang diketuai oleh seorang Panglima bernama Raja Mahkota. Dalam peperangan tersebut, askar-askar Portugis yang diketuai oleh Matheus Sampaio berjaya menawan Kota Batu walaupun ramai askar-askarnya terkorban. Dari Kota Batu askar-askar Portugis telah menggunakan meriam-meriam untuk menembak askar-askar Johor.
Askar-askar Portugis yang menyerang bandar Johor Lama pula telah membakar semua rumah-rumah dan juga memusnahkan kubu-kubu pertahanan orang-orang Melayu Johor termasuk sebuah kubu kecil yang bernama Kubu Budak atau Kota Budak, di Kuala Sungai Johor. Di akhir peperangan tersebut, pihak Johor telah kalah, dan Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil II serta orang-orang besar dan rakyat yang terselamat telah melarikan diri ke Hulu Sungai Johor dan menubuhkan pusat pemerintahan baginda yang baru di Batu Sawar.
Peperangan tersebut adalah satu detik bersejarah bagi orang-orang Melayu yang menunjukkan keberanian dan kepahlawanan untuk mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan harta benda dan tidak kurang sepuluh orang-orang besar dan pahlawan-pahlawan Melayu termasuk Seri Nara Diraja telah terkorban.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: