Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

25 Julai 1511 : Perang Salib pertama di Alam Melayu




25 Julai 1511 – Pada tahun 1511, Melaka telah diserang oleh tentera salib Portugis yang diketuai oleh Alfonso De Albuquerque. Serangan pertama Portugis ke atas Melaka ini ekoran daripada tidak ada tolak ansur di antara Sultan Mahmud, dan orang-orang Portugis mengenai orang-orang tahanan Portugis. Selain daripada misi perang salib kerajaan-kerajaan Kristian Eropah yang dilancarkan ke semua kerajaan-kerajaan Islam termasuklah di Nusantara lebih-lebih lagi Melaka menjadi pusat penyebaran Islam di Alam Melayu sehingga digelar " Serambi Mekkah"

Askar-askar Portugis telah melancarkan serangan pada waktu subuh hari ini, iaitu hari St. James, dengan menaiki beberapa buah perahu. Orang-orang Portugis mendarat di bahagian utara dan selatan bandar Melaka. Perahu-perahu yang membawa askar-askar Portugis telah dibedil dengan meriam dari darat oleh orang-orang Melayu.

Tetapi askar-askar Portugis itu dapat juga mendarat, dan satu pertempuran hebat telah berlaku di antara askar-askar Portugis dan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Mahmud dan putera baginda Raja Ahmad. Setelah bertempur beberapa jam lamanya ramai askar-askar kedua belah pihak terbunuh dan orang-orang portugis telah mencapai objektifnya untuk menawan jambatan dekat dengan Kuala Sungai Melaka.

Bagi orang-orang Melayu banyak rumah-rumah dan harta benda telah musnah, dan yang paling penting ialah Istana Sultan Melaka yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Melayu yang telah turut juga musnah. Askar-askar Portugis seramai 70 orang yang mempertahankan jambatan serta membuat kubu-kubu di kedua-dua hujung jambatan itu, telah dihujani dengan tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun dari orang-orang Melayu.

Oleh kerana serangan itu tidak berhenti-henti maka orang-orang Portugis tidak dapat mempertahankan jambatan tersebut dan semuanya telah terbunuh kecuali seorang pegawai bernama Fernao Gomez yang terselamat.

Pada petang itu juga baki askar-askar Portugis yang masih hidup di bandar Melaka telah bertempiaran lari ke kapal mereka. Peperangan tersebut adalah satu detik bersejarah bagi orang-orang Melayu untuk mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis.

Kekalahan Portugis dalam pertempuran tersebut adalah satu kemenangan bagi orang-orang Melayu dalam usaha mempertahankan Melaka daripada kuasa besar Barat yang bertujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan pusat perkembangan Islam.



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom