Hj. Mat Lela atau dikenali dengan panggilan Tok Janggut berasal dari Kg. Luit, Maran, Pahang. Ketika Sultan Ahmad Al Muazzam Shah (Sultan Pahang pertama) bersemayam di Pekan, Hj Mat Lela sudah tinggal di Kg. Merchong, Nenasi, Pekan. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lima orang Sultan iaitu daripada Sultan Ahmad Al Muazzam Shah, Sultan Mahmud, Sultan Abdullah Al Mu’tasim Bi’llah, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah dan Sultan Hj. Ahmad Shah.
Tidak diketahui sama ada Hj. Mat Lela pernah mengangkat senjata menentang Inggeris di Pahang. Beliau terlalu banyak menyimpan rahsia. Para pemberita pernah datang untuk mencungkil rahsia tentang hubungan baik beliau dengan Mat Kilau. Apabila diajukan soalan, beliau hanya berkata pernah mendengar nama Mat Kilau sahaja. Sedangkan Mat Kilau kerap datang bertandang ke rumah beliau. Itulah akrabnya seorang sahabat, rahsia sekali-kali tidak akan dibocorkan kerana sumpah telah dilafazkan bagi merahsiakan identiti masing-masing.
Sewaktu Mat Kilau tinggal di Kg. Aur, Rompin beliau seringkali menziarahi Hj. Mat Lela. Pak Andak Aman (allahyarham) anak kepada Hj. Mat Lela pernah melihat seorang tua seringkali datang bertemu ayahnya. Melihatkan kemesraan mereka, beliau ingin mendapatkan kepastian siapakah gerangan sahabat ayahnya itu. Pada peringkat awal, ayahnya tidak mendedahkan identiti sahabatnya itu. Tetapi akhirnya beliau mengakui sahabatnya itu adalah Mat Kilau. Tetapi ayahnya tidak mahu rahsia itu dipecahkan kerana Mat Kilau sendiri menyamar dengan memakai gelaran Mat Din dan Mat Dahan.
Mat Kilau juga pernah menyarankan kepada kaum keluarganya untuk menziarahi Hj. Mat Lela. Jika tiada apa- apa ikatan, masakan Mat Kilau begitu menghormati Hj. Mat Lela. Hj. Abu Bakar bin Awang (allahyarham), anak murid dan menantu kesayangan Mat Kilau juga tidak melepaskan peluang bertemu Hj. Mat Lela.
Mat Kilau pernah bercerita kepada anak muridnya Ishak bin Awang (allahyarham), abang kepada Hj. Abu Bakar bahawa di daerah Pekan terdapat seorang tua yang gagah bernama Hj. Mat Lela. Ketika itu sebuah jambatan besar sedang dibina bagi kemudahan penduduk kampung. Setelah kerja-kerja hampir siap, besi penghentak bagi kerja- kerja tersebut dibiarkan berada di atas jambatan. Ia menjadi penghalang laluan penduduk kampung. Apabila disuarakan kepada kontraktor, kontraktor itu tidak menghiraukannya dan menyuruh penduduk kampung mengalihkannya sendiri. Masakan boleh diangkat begitu saja kerana beratnya hanya layak diangkat dengan kren sahaja.
Penduduk kampung sudah tidak dapat bersabar lagi. Itulah saja jalan penghubung buat mereka mencari rezeki. Macam mana kenderaan hendak lalu jika laluannya terhalang. Akhirnya mereka menemui Hj. Mat Lela bagi meminta bantuan. Hj. Mat Lela mencari kontraktor itu dan akhirnya bertemu di atas jambatan tersebut. Beliau meminta jasa baik kontraktor itu untuk mengalih halangan di atas jambatan itu.
Kontraktor itu dengan angkuhnya berkata,
“Kalau awak nak, awak alihlah sendiri! Awak buat susahkan saya saja!”
Tercalar dengan kata-kata biadap kontraktor itu, Hj. Mat Lela lantas menguis besi penghentak itu dengan kaki kanannya,”Boooom!!!burrrrr……” besi penghentak itu terus terjunam ke dalam sungai. Kontraktor cina itu terpinga- pinga. Beliau dalam keadaan terketar- ketar terus menghulurkan tangan untuk memohon maaf daripada Hj. Mat Lela.
Hj. Mat Lela sebenarnya adalah seorang tokoh yang tidak mahu ditonjolkan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1995 diusia 118 tahun akibat sakit tua dan dikebumikan di pusara Kg. Merchong, Nenasi, Pekan. Alfatihah buat tokoh-tokoh yang pernah berjasa.
Kredit: Che'gu Rosman
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: