Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Janji Mat Kilau kepada Sultan Abdullah




Kemunculan semula Mat Kilau daripada penyamarannya telah menggemparkan negara pada tahun 1969. Mana tidaknya, selama tujuh dekad orang-orang Melayu dikhabarkan pahlawan Melayu itu telah meninggal dunia dalam pembururan penjajah British.


Tempoh lebih tujuh dekad bukan sekejap. Dalam tempoh tersebut, Tanah Melayu sendiri melalui pelbagai peristiwa bersejarah. Dari pemerintahan British, kemasukan tentera Jepun, 14 hari pemerintahan komunis, darurat, penubuhan Malayan Union, kemerdekaan sehingga nama Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia.


Menurut Mat Kilau, selepas diusir Hugh Clifford, beliau merantau sehingga ke Kampung Penar dan Kampung Jambu di Pattani, Thailand, menjadi guru silat di sana. Beliau kemudiannya berpindah ke Kelantan selama tiga tahun dan ke Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu selama tujuh tahun. Di Terengganu, beliau tinggal bersama ayahnya, Imam Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah.


“Ayah meninggal dunia di hadapan mata Aki di Pasir Nering. Aki kemudiannya membuat keputusan untuk ke Pahang,” kata Mat Kilau kepada dua wartawan Utusan Malaysia yang mewawancaranya, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad.



Janji dengan Sultan


Mat Kilau tinggal di Kampung Tanjung Medang, Pekan Pahang sehingga berlakunya banjir besar di negeri itu pada 1926. Kemudian, atas titah Almarhum Sultan Abdullah, beliau berpindah ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran, Kuantan pada 1927. 

Sultan Abdullah al-Mu'tassim Billah Shah


Dalam pertemuannya bersama Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Yahya Mohd. Seh dan beberapa ahli sejarah, tiga hari selepas mendedahkan identiti di Kampung Pulau Tawar, Mat Kilau mendedahkan punca beliau menyembunyikan diri.


Kata beliau, persembunyian itu merupakan janji antara dirinya dengan Sultan Abdullah yang turut menitahkan supaya beliau menukar nama kepada Mat Siam. Ini kerana Mat Kilau telah menjadi buruan British selepas melakukan pemberontakan bersama beberapa rakan yang lain. 


Bilangan isteri dan anak-anak


Di Kampung Batu Lima, Mat Kilau telah berkahwin dengan Che Ajrah Abu Bakar dan mempunyai enam orang anak. Sebelum persembunyiannya, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Shik Daud dan dikurniakan empat orang anak. Dua anak daripada perkahwinan pertamanya, Omar dan Khadijah masih hidup pada 1969.


Pada tahun itu juga, semua adik-beradiknya seramai empat orang telah meninggal dunia. 


Dua wartawan Utusan Malaysia itu juga berjaya menemui dan menemu bual Che Ajrah. Menurut Che Ajrah, dia bertemu dengan Mat Kilau yang ketika itu menggunakan nama Mat Siam di rumah saudaranya di Kampung Batu Lima. Mat Kilau menumpang di sana. 


“Dengan perantaraan saudara-mara sebelah saya, kami telah mendirikan rumah tangga dan mendapat enam orang anak,” kata Che Ajrah.


Anak sendiri tidak tahu Mat Siam itu Mat Kilau


Dalam satu laporan pada 30 Disember 1969, dua orang anak Mat Kilau dalam perkahwinan dengan Che Ajrah berkata mereka terkejut apabila mendapat tahu ayahnya yang dikenali sebagai Mat Siam itu sebenarnya pahlawan terbilang.


Anak sulungnya, Minah dan anak bongsunya, Abu Bakar berkata, ayahnya tidak pernah bercerita bahawa dia sebenarnya Mat Kilau, pahlawan Pahang yang masyhur kerana keberaniannya menentang British.


“Kami tidak pernah percaya cerita-cerita ayah mengenai perjuangan pahlawan-pahlawan zaman dahulu kerana kami menganggap ayah sudah nyanyuk,” kata Abu Bakar.


Dalam laporan berasingan pada 31 Disember 1969, cucu Mat Kilau yang tidak dinamakan berkata, dia mendapat ilham untuk mencari Mat Kilau selepas didatangi moyangnya, Tok Gajah dalam mimpi. Dalam mimpi itu, Tok Gajah yang menyuruhnya mencari Mat Kilau.


Anak Mat Kilau, Omar pula bercerita, sebuah busut timbul di bawah tangga rumahnya sejak 30 tahun sebelum itu. Katanya, dia cuba membuang busut itu sebanyak 20 kali tetapi ia tetap tumbuh kembali.


“Setelah rumah lama diruntuhkan dan dibuat rumah baharu yang bersimen, busut itu tumbuh lagi, bersetentang di bawah tangga naik ke loteng,” katanya. Dia kemudiannya didatangi seorang tua berjubah hijau dalam mimpinya, yang meminta supaya tidak mengusik busut tersebut kerana ia tidak meminta makan dan ia akan membawa rahmat.


Omar juga berkata, dia tidak pernah mengesyaki bahawa Mat Siam yang dia kenali selama ini ialah ayahnya sendiri, iaitu Mat Kilau. 


Sumber asal : relevan.my




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom