Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Bermulanya khurafat akhirnya mensyirikkan Allah



1. Sejak zaman Nabi Adam AS sehingga Nabi Nuh, AS, semua manusia beriman kepada Allah sehingga berlaku penyembahan berhala di kalangan kaum Nabi Nuh AS. Perkara  ini disebutkan  dalam riwayat Ibnu Abbas RA yang diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim Al-Naisaburi dalam kitab Al-Mustadrak.

2. Imam Bukhari meriwayatkan hadith mauquf daripada Ibnu Abbas RA yang menyebut tentang permulaan penyembahan berhala semasa zaman kaum Nabi Nuh AS seperti berikut:

صَارَتْ الْأَوْثَانُ الَّتِي فِي قَوْمِ نُوحٍ فِي الْعَرَبِ بَعْدُ أَمَّا وَدٌّ كَانَتْ لِكَلْبٍ بِدَوْمَةِ الْجَنْدَلِ وَأَمَّا سُوَاعٌ كَانَتْ لِهُذَيْلٍ وَأَمَّا يَغُوثُ فَكَانَتْ لِمُرَادٍ ثُمَّ لِبَنِي غُطَيْفٍ بِالْجَوْفِ عِنْدَ سَبَإٍ وَأَمَّا يَعُوقُ فَكَانَتْ لِهَمْدَانَ وَأَمَّا نَسْرٌ فَكَانَتْ لِحِمْيَرَ لِآلِ ذِي الْكَلَاعِ أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ أَنْ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمْ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ فَفَعَلُوا فَلَمْ تُعْبَدْ حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ

"Berhala-berhala yang dahulu diagungkan oleh kaum Nabi Nuh AS. Wadd menjadi berhala untuk kaum Kalb di Daumatul Jandal. Suwa' untuk Bani Huzail. Yaghuth untuk bani Murad dan Bani Ghutaif di Jauf  di sisi Saba'. Ya'uq adalah untuk Bani Hamdan. Nasr untuk Himyar keluarga Zul Kala'."

"Ia adalah nama-nama orang saleh daripada kaum Nabi Nuh. Ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum Nabi Nuh AS untuk mendirikan berhala pada majlis mereka dan
 menamakannya dengan nama-nama orang saleh itu." 

"Maka mereka pun melakukan hal itu. Saat itu berhala-berhala itu belum disembah hingga mereka meninggal dunia, sesudah itu, setelah ilmu tiada, maka berhala-berhala itu pun disembah" (Hadith Riwayat Bukhari).

 3. Nama 5 berhala itu itu dirakam oleh Allah dalam Al-Quran. Apabila Allah memerintah Nabi Nuh AS agar mengajak kaumnya  beriman kepada Allah. Kaum Nabi Nuh berkata kepada kaum mereka, "jangan sekali-kali kamu  tinggalkan 5 berhala yang mereka disembah iaitu Wadd, Suwa',Yaghuth, Ya'uq, dan Nasr". Allah berfirman seperti berikut:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا.

"Dan mereka berkata, "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan jangan pula Suwa', Yagus, Ya'uq dan Nasr." ( Surah Nuh: 23)

4. Syariat setiap nabi berbeza. Mungkin syariat nabi Nuh AS ketika itu membenarkan binaan berhala yang bukan untuk disembah. Itulah yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh AS. Mengikut riwayat lain, berhala itu didirikan supaya mereka ingat kesungguhan lima orang saleh itu beribadat kepada Allah.

5. Pada permulaannya, berhala itu tidak disembah tetapi hanya menjadi peringatan orang saleh. Namun apabila zaman berlalu . Mereka yang mempunyai ilmu meninggal dunia dan tinggal orang jahil. Maka berhala-berhala itu mulai disembah.

6. Harus mengambil tabarruk (mengambil berkat) atau menziarahi kubur orang saleh atau mandi telaga . Namun ia menjadi amalan khurafat jika ia diiringi kepercayaan bahawa amalan atau kubur orang saleh itu memberi manfaat atau mudarat. Lebih malang lagi ialah bukan bertawassul dengan orang saleh tetapi memohon doa kepada mereka. perkara ini jelas menjejaskan akidah. Tiada khilaf perkara ini di kalangan ulama.

7. Mungkin mereka kata kami tidak pernah berkeyakinan begitu. Kami hanya ambil berkat dan ziarah kubur orang saleh sahaja. 

8. Benar, itu zaman kamu. Tetapi bagaimana zaman akan datang? Adakah kamu boleh memberi jaminan masyarakat ketika itu mempunyai pegangan yang sama seperti kamu?

kini masyarakat semakin nipis akidah mereka. Lihat budaya Atheis, LGBT dan tidak hormat  agama di Twitter dan media sosial di kalangan generasi muda.

9. Di bumi Mesir, banyak kubur para sahabat RA,  orang saleh, Ahlul Bait dan Wali Allah. Kubur-kubur ini sentiasa menjadi kunjungan masyarakat Mesir untuk mengambil berkat dan ada sesetengahnya meyakini keajaiban kubur-kubur ini. Apabila ada orang jahil, maka wujud perkara khurafat di kubur-kubur ini. 

10. Perkara yang sama berlaku di Pakistan, kubur-kubur orang saleh dipuja dan diadakan pesta semata-mata mengharapkan keajaiban daripada kubur keramat. Saksikan suasana ini dalam filem "Bajrangi Bhaijaan" lakonan Salman Khan.

11. Senario khurafat dan pemujaan kubur di Mesir dan Pakistan ini sukar dilihat di tempat kita. Ia sudah popular di Indonesia. Adakah kita mahu senario khurafat ini terjadi di tempat kita? Na'uzubillah min zalik. 

12. Sebab itu mencegah amalan khurafat adalah langkah terbaik. Ia bertepatan dengan kaedah "Sadd al- Zara'ie" (menghalang benda yang harus daripada berlaku benda yang dilarang).

13. Malangnya ada ilmuwan anggap amalan khurafat ini sebagai perkara remeh dan sesetengahnya takut menyatakan perkara yang benar dan hak. Tiada guna belajar tinggi tetapi diam membisu.

13. Mungkin mereka tidak pernah berjumpa hadith riwayat Ibnu Abbas RA dan ayat 23 dalam surah Nuh sebagaimana disebutkan di atas.

14. Mungkin mereka juga terlupa bahawa syirik adalah dosa besar yang Allah tidak akan ampunkan. 

15. Kita boleh berbeza pandangan pada perkara khilaf tetapi  tidak sekali-kali pada amalan yang boleh membawa kepada syirik. Moga Allah  menjaga akidah kita mengikut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaaah. Salam hormat.

Dr. Abdél Rahmanov
30 Mei 2022


Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom