Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Haji Wan Yusof, ilmuan Bahasa Arab di Tanah Melayu




Jejak Ulama Nusantara  - Perak

Tuan Guru Haji Wan Yusof Bin Haji Wan Muhammad Merbol, Bukit Chandan ( 1908 - 1995 )

Oleh : Tengku Yusuff 

Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Wan Yusof Bin Mufti Haji Wan Muhammad Bin Haji Wan Hussein dan beliau dilahirkan pada tahun 1908 di Kuala Kangsar, Perak. 

Ayahnya tidak lain tidak bukan adalah Mufti Pertama Kerajaan Perak (penasihat diraja) iaitu Syeikh Wan Muhammad Merbol al-Kalantani.

Adik beradik beliau yang juga alim ulama ialah :

1. Tuan Guru Haji Wan Hasan - Murid Tok Kenali & Qadhi Besar Kelantan Pertama
2. Tuan Guru Haji Wan Abdul Rahman @ Tuan Wok - Guru agama Istana mengantikan tugas ayahnya
3. Tuan Guru Haji Wan Sulaiman - Imam Masjid Ubudiah  Kuala Kangsar
4. Tuan Guru Haji Abdullah Zawawi - Qadhi di 7 buah kawasan sekitar Perak & Hakim Syariah Perak Utara

Semasa kanak-kanaknya, beliau sudahpun boleh membaca, menulis dan mengira dengan bimbingan ibu bapanya. Didikan agama diberi keutamaan kepada beliau sehingga boleh membaca al-Quran dengan baik dan berjaya menguasai bahasa Arab.

Apabila meningkat dewasa, beliau mendalami pelajaran agama di sekolah-sekolah pondok di Kelantan, dan seterusnya menyambung pelajaran agama di Mekah selama setahun. Di antara tempat yang beliau pergi bertalaqqi kitab ialah di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Di antara guru-gurunya ialah :

1. Tok Kenali
2. Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang 
3. Tuan Guru Haji Yaakob Legor 
4. Tuan Guru Haji Ahmad Mannan
5. Tuan Guru Haji Saad Kangkong

Sekembalinya dari Mekah, beliau dilantik untuk menjawat jawatan sebagai khatib dan imam besar di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar sehingga bersara.

Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1931. Hasil dari perkahwinan dengan beberapa orang isteri, beliau dikurniakan 33 orang cahayamata. Tuan Guru Haji Wan Yusof juga mempunyai suara yang enak dan lunak.

Selain menjadi imam besar di Masjid Ubudiah, beliau juga dilantik sebagai Naib Qadhi dalam urusan nikah/kahwin dan cerai, mengajar hukum-hukum agama di persekitaran kampung-kampung yang menjemputnya.

Beliau juga memberi khidmat penyembelihan lembu/ kerbau untuk korban dan aqiqah, juga mengajar agama dan dakwah di masjid-masjid di daerah Kuala Kangsar.

Tuan Guru Haji Wan Yusof mahir dalam ilmu alat dan menguasai ilmu nahu, sorof, balangah, bahasa Arab, tajwid dan lain-lain lagi. Beliau juga berjaya menghafaz surah-surah al-Quran dan dapat menulis khat dengan baik, juga memberi syarahan agama dengan mendapat pujian. 

Tuan Guru Haji Wan Yusof memegang tauliah peringkat tinggi pengantar Bahasa Arab yang diakui oleh Jabatan Agama Islam dan adat Istiadat Melayu Perak. Tauliah ini selalunya diberi kepada qadhi-qadhi sahaja, yang membolehkan beliau mengajar agama di masjid dan surau dalam negeri Perak, dengan tidak melanggar syarat-syarat yang ditetepkan. 

Tuan Guru Haji Wan Yusof meninggal dunia pada 8 Jun 1995 ketika berusia 87 tahun. Jenazahnya disemadikan di Kuala Kangsar, Perak.

Tuan Guru Haji Wan Yusof 

Moga Allah Taala merahmati roh para auliaNya. Amin

*Sumber - Tuan Mohd Shahir Wan Abdullah Zawawi 

Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom