Sekitar 777 tahun Hijrah yang lalu, kota Antioch berjaya ditakluk tentera Mamluk pimpinan Baibars.
Antioch (kini namanya Antakya) merupakan kota metropolis penting Kristian ketika era Perang Salib, menjadi pertahanan utama daripada kemaraan kuasa-kuasa Timur khususnya tentera Islam yang berhasrat untuk menakluk Baitulmaqdis.
Bagaimanapun memasuki Zaman Pertengahan, peranan Antioch itu mula melemah akibat siri peperangan yang banyak dan panjang, bencana gempa bumi serta perubahan laluan perdagangan timur-barat ekoran kebangkitan kuasa Mongol.
Siri peperangan yang menekan itu menyebabkan pemerintah Antioch, Bohemond IV (the One-Eyed) memindahkan pusat pemerintahannya ke kota Tripoli yang lebih makmur dan kaya pada awal kurun ke-13. Pentadbiran di Antioch diuruskan oleh seorang Konstabel.
Keadaan itu mengundang perhatian Sultan Mamluk Mesir dan Syria, Baibars untuk meluaskan jajahannya. Bermula 1260M, Baibars menghantar ancaman ke atas kerajaan Antioch sebelum bersama bala tenteranya mengepung kota itu pada Mei 1268M.
Kota yang dipertahankan dengan lemah dan ditinggalkan oleh sebahagian besar penduduknya itu akhirnya ditakluk Baibars pada 18 Mei 1268M/4 Ramadan 666H dalam tempoh 3 hari. Konstabel Antioch, Simon Mansel ditangkap.
Pemerintah Antioch ketika itu, Bohemond VI (the Fair) hanya mengetahui tentang penaklukan kota itu selepas membaca sepucuk surat yang diutuskan kepadanya, ditulis oleh setiausaha Baibars menceritakan segala butiran yang terjadi sepanjang 3 hari itu.
Dianggarkan 17,000 orang terbunuh sementara sekitar 100,000 lagi dijadikan tawanan termasuk 8,000 tentera yang berlindung di dalam istana sebelum menyerah. Baibars memusnahkan segala binaan di dalam kota itu menjadi runtuhan.
Penaklukan itu menandakan terkuburnya Kerajaan Kristian Antioch yang wujud selama hampir 180 tahun sejak dirampas daripada Empayar Seljuk pada Perang Salib Pertama.
Sumber: Al Arabiya, Bearers of the Cross
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: