Sekitar 1,441 tahun yang lalu, perayaan Aidilfitri disambut umat Islam buat kali pertama.
Masyarakat Arab pra-Islam mengikut tradisi nenek moyang mereka selama beribu tahun menyambut 2 perayaan, pertama yang diterap daripada kepercayaan Majusi iaitu hari tahun baharu Parsi dipanggil Nowruz dan keduanya pesta tahunan dipanggil Mahrajan.
Apabila Nabi Muhammad SAW membawa ajaran Islam, hadir perintah untuk berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah. Tatkala itu juga dituntut umat Islam untuk menggantikan perayaan nenek moyang mereka dengan Aidilfitri dan Aidiladha.
Tahun itu juga, ketika pertama kali berpuasa Ramadan, umat Islam diduga dengan Perang Badar. Maka tepat pada masanya di 1 Syawal tahun 2 Hijrah perayaan Aidilfitri mula disambut sebagai meraikan kemenangan dalam perjuangan melawan dugaan jasmani dan juga rohani.
Diriwayatkan, pada pagi 1 Syawal 2 Hijrah itu, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitiri dengan luka perang yang masih belum sembuh. Mereka juga mendirikan solat Aidilfitri bukan di dalam masjid tetapi di kawasan lapang yang terbuka.
Perkataan ‘Aidilfitri’ bermaksud ‘kembali kepada fitrah’. Pada hari raya ini, umat Islam dituntut untuk pulang kepada sifat asal (fitrah) sebagai manusia - bersih luar dan dalam, menyucikan hati dengan memohon kemaafan antara satu sama lain serta bercantik-cantik seadanya.
Tradisinya, kehadiran Syawal ditentukan dengan cerapan anak bulan dengan mata (rukhyah). Perkembangan teknologi & ilmu membenarkan ketibaan Syawal ditentukan dengan perkiraan matematik (hisab). Di Malaysia, kedua-dua cara diamalkan.
Bagaimanapun, kaedah rukhyah diutamakan mengatasi kaedah hisab, memandangkan peredaran bulan adalah kuasa Allah SWT sementara perkiraan manusia tertakluk kepada kekhilafannya.
Sumber: Astro AWANI, Tzkrh, Nusa Daily
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: