Empat tahun yang lalu, berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan sejarah buat pertama kalinya, pertukaran kerajaan di peringkat pusat.
Tercatit dalam lipatan sejarah politik negara, parti Barisan Nasional (BN) yang tertubuh pada 1 Januari 1973 sebagai kesinambungan kepada parti Perikatan yang diasaskan pada 1952, gagal membentuk kerajaan pasca proses demokrasi itu.
Dari Pilihan Raya Umum (PRU) yang pertama pada 1955, gabungan 3 parti itu mendominasi politik Malaya/Malaysia. Mereka berjaya memenangi setiap edisi PRU & membentuk kerajaan walaupun ada beberapa edisi yang mencatat penurunan prestasi.
Namun kemerosotan mula terlihat pada PRU 12 pada 2008, di mana ketika itu BN di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah (lebih 1/2 tapi tidak sampai 2/3 jumlah kerusi).
Dalam PRU seterusnya pada 2013, BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak berjaya meneruskan penguasaan atas dasar sistem 'first-past-the-post', namun tewas undi popular buat kali pertama dalam sejarah kepada gabungan pembangkang.
BN berdepan pembangkang yang lebih kuat apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentuk gandingan dengan bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin Pakatan Harapan (PH) menuju PRU 14.
Apabila Parlimen dibubarkan dengan rasminya pada 7 April 2018, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 9 Mei itu menjadi tarikh pengundian PRU 14. Pada hari tersebut, 82.32 peratus pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab.
Hanya pada sekitar 4.40 pagi hari berikutnya, SPR mengumumkan secara rasmi bahawa PRU 14 dimenangi oleh PH yang memperoleh 113 daripada 222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah. BN hanya memenangi 79 kerusi, hilang 54 kerusi yang dipegangnya.
Sumber: Astro AWANI, SPR, laman web rasmi BN
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: