Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir : Ulama Perak yang radikal menentang British


Di negeri Perak ini telah lahir ramai para pejuang agama dan bangsa, Dato Maharajalela, Pandak Endut, Puntum antara nama terakam dalam sejarah perlawanan berdarah menentang British. Para ulama juga tak terkecuali menyahut seruan penentangan terhadap British teemasuk juga melalui jalur politik.

Tokoh tersebut tidak lain tidak bukan ialah Syeikh Abu Bakar Al-Baqir. Beliau adalah tokoh ulama yang membawa ajaran Islam yang benar tanpa tokok tambah dan juga terkenal sebagai pengasas HAMIM dan pelopor Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang cukup dikenali sekarang ini.

Tuan Guru Syeikh Abu Bakar Al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di Kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak tidak jauh dari Padang Rengas. Lahir dari keturunan Jawa, datuknya berasal dari daerah Kendal, Jawa Tengah. Datuk beliau yang bernama Haji Abdul Jabbar merupakan antara orang yang terawal yang datang dan menetap di Gunung Semanggol pada tahun 1850.

Bapa beliau yang bernama Mohd Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd Said, Abu Bakar Mohd Said, dan Abdullah Mohd Said dengan didikan agama Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd Said, Saudah Mohd Said, dan Hafsah Mohd Said yang dididik dengan didikan agama Islam.

Syeikh Abu Bakar al-Baqir terkenal sebagai seorang yang sangat bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang beliau lakukan apatah lagi dalam perkara yang melibatkan pembangunan agama Islam.

Beliau dengan sokongan kuat daripada Haji Abd Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan khususnya Tuan Imam Lebai Sirat dan Haji Abdul Manaf iaitu Penghulu Ketua Kampung Gunung Semanggol untuk mendirikan sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru yang diberi nama sebagai Madrasah Al-Ihya Al Shariff pada tahun 1934 untuk menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd Rahman.

Lima jenis mata pelajaran telah diajar di Madrasah itu iaitu Ilmu Teras (Tauhid, Tasawuf, Fiqh, Tafsir, Hadis), Ilmu Alat (Nahu Arab, Saraf, Balaghah), Ilmu Pelengkap (Sejarah Islam, Mantik, Hisab, Geografi, al-Tibb, Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Tatanegara, Sejarah Umum, Pidato Umum, Seni Khat) dan Ilmu Pertukangan (pelajar lelaki sahaja).

Menjelang tahun 1939, Madrasah ini menawarkan kelas Thanawi dan ‘Ali dan namanya telah ditukarkan kepada Maahad al-Ehya As Sharif. Perang Dunia Kedua yang meletus telah membantutkan perjalanan Maahad ini dan selepas perang tersebut berakhir, Syeikh Abu Bakar mula merangka polisi pendidikan kebangsaan dan Maahad ini dengan mula mengajar mata pelajaran akademik seperti di sekolah formal kerajaan. Hasilnya ramai lulusan Maahad ini turut mempunyai kelulusan SPM dan mendapat tempat di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Meskipun Maahad Al Ehya As Sharif telah wujud lebih 50 tahun lalu, namun tidak ramai generasi muda mengenalinya. Syeikh Abu Bakar Al-Baqir yang mengasaskan Madrasah itu pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir.

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir bukan sekadar tokoh pendidikan tempatan tetapi pernah dilantik sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran, Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA).

Bermula dari situlah beliau telah merangka dasar pendidikan nasional. Dalam persidangan di MAEAS 15 November 1947, beliau turut dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al-Tamimi dan berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (Lepir). Di antara tujuan Lepir ditubuhkan adalah untuk menyeragamkan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat di Malaya.

Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan dikelolakan oleh Syeikh Haji Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Al-Rabb.

Dari segi kegiatan ekonomi pula, Syeikh Abu Bakar Al-Baqir telah mengetuai Persatuan Al-Ehya Al-Syarif yang telah didaftarkan di bawah undang-undang Kompeni dan Syarikat pada tahun 1940. Persatuan ini mengusahakan tiga jenis projek, iaitu kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik.

Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu mula memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol dan Kubu Gajah.

Kadar bayaran dikenakan kepada pengguna-pengguna adalah sebanyak RM1.00 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Selepas itu stesen janakuasa elektrik diambil alih oleh Lembaga Letrik Negara (kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad). Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua persatuan itu hingga meninggal dunia pada tahun 1974.

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu Muda pada masa itu seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal dunia pada 25 September 1969).

Melalui Majlis Agama Tertinggi Malaya, satu persidangan telah diadakan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2,000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia. Pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.

Untuk memenuhi hasrat orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5,000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi.

Persidangan ini telah ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu.

Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk.

Dalam waktu yang tidak lama, parti itu mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tomahan-tomahan. Ia juga dituduh sebagai parti “merah” (komunis).

Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara. Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap.

Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abd. Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS).

Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas usahanya kini masih tetap tinggal diusahakan. Ma’ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan.

Mereka mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar.

Mereka juga mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak juga sumber-sumber lain.

Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Namun begitu ianya telah meletakkan asas kepada Tanah Melayu yang merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak.

Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar.

Penahannya selama empat tahun walaupun serba sedikit mencacatkan perjalanan Maahad Ehya Al- Syarif, namun akhirnya dapat disusun semula untuk menjadi institusi pendidikan yang mementingkan pendidikan keagamaan tanpa mengetepikan pendidikan formal.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh Pengasuh. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran.

Guru-guru yang berasal dari dari Indonesia sangat membantu dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Asri Muda.

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir merupakan seorang ulama yang banyak membawa pembaharuan dalam usaha mengembangkan Islam di Tanah Melayu. Beliau berjaya membuka pemikiran, semangat, dan mempengaruhi ramai Umat Islam kepada usaha yang dilakukannya. Oleh sebab itu, beliau merupakan seorang tokoh ulama yang dihormati.

Malahan, beliau turut menjadi Anugerah Tokoh Guru pada tahun 1975. Pada tahun 2016, Paduka Seri Sultan Perak berkenan untuk menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) sebagai mengenang jasa yang beliau telah taburkan kepada agama dan bangsa.








Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom