"Sejarah Anak Gayong Pertama"
Semenjak Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman (ADMAR) mengenalkan dan menurunkan ilmu gayong kepada anak bangsa dari dulu hingga kini , Jika dijumlahkan keahlian anak-anak gayong kesemuanya sudah pasti mencapai jumlah ratusan ribu murid mungkin juga jutaan. Tapi pernah tak terfikir siapa ahli gayong pertama yang diterima ataupun diambil oleh Mahaguru Gayong Dato Meor Abdul Rahman.? Dan bagaimanakah sejarah silat seni gayong ini bermula sehingga menjadi begitu terkenal sehingga hari ini..?
Selepas Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman mengenalkan Keilmuan Gayong pada awal tahun 1930-an di istana Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak di hadapan Al-Marhum DYMM Sultan Alang Iskandar di mana ketika itu Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki (25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari, badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah serta mengangkat meriam terbesar di istana ketika itu.
Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo Perak" atau "Orang Kuat Perak". Baginda juga berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu tinggallah Dato Meor Abdul Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Dato Meor Abdul Rahman hanya kembali semula ke kampungnya (Kampung Pokok Assam) setelah DYMM Sultan Alang Iskandar mangkat pada 14 Ogos 1938.
Dan pada penghujung tahun 1938, Dato Meor bersama sepupunya,Zainal Abidin telah berangkat ke Singapura dan bekerja di Naval Base yang baru sahaja dibuka ketika itu. Dengan kelulusan yang ada dari Government Trade School, Dato Meor telah diterima bekerja sebagai tukang kimpal manakala Zainal Abidin sebagai mekanik mesin. Setelah 6 bulan bekerja di Naval Base, ADMAR telah mendapat pekerjaan di Royal Signal Corps sebagai seorang mekanik. Dalam masa yg sama di Gillman Barrack, Royal Signal Corps, beliau turut menjadi "Combat Instructor" yang mengajar ahli-ahli Royal Signal Corps Tentera British di mana ketika itu di bawah naungan Pegawai Memerintah Lt. Kol. Pope.
Pada 15 Februari 1942, ketika Jepun dalam misi meluaskan kuasa telah mara ke Singapura dan gagal dihalang oleh pihak British dan kompeni Askar Melayu lalu menyebabkan Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun. ADMAR telah mendapat arahan daripada Lt.Kol. Pope supaya menyelamatkan diri dari pulau Singapura. Dato Meor hanya bertindak meninggalkan pulau Singapura setelah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai atasannya.
Dalam suasana huru-hara dek kerana kekejaman dan keganasan tentera Jepun, Dato Meor sekeluarga telah berpindah dari Raden Mas ke Batu 5 1/2 di Pasir Panjang. Di situ terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Dato Meor menggunakan perahu untuk membawa keluarga beliau mengharungi lautan luas di perairan Singapura yang bergelombang besar dan berapi-api kerana terbakar akibat tumpahan minyak. Lebih mencemaskan, mereka terpaksa pula berhadapan dengan ancaman bom yang digugurkan daripada kapal terbang Jepun.
Selama sehari berdayung perahu akhirnya Allah takdirkan Dato Meor dan keluarga mendarat di sebuah pulau yang kelihatannya agak selamat daripada hujan peluru musuh iaitu Pulau Sudong. Dato Meor telah disambut oleh seorang penduduk pulau yang bernama Naning. Naning telah memaklumkan syarat untuk orang luar yang ingin menumpang di pulau tersebut iaitu bertarung dengan Wak Kusang kerana itu adalah adat di Kampung mereka. Wak Kusang seorang jaguh handalan di Pulau Sudong memiliki kulit yang gelap,bertubuh pendek tetapi tegap. Beliau mempunyai lengan sebesar paha orang dewasa.
Tatkala itu, penduduk Pulau Sudong mula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pertarungan tersebut. Mereka telah memukul gendang sambil bersorak-sorak seolah-olah menyaksikan suatu pesta. Dalam keadaan diri yang sangat keletihan setelah sehari suntuk mendayung mengharungi lautan, Dato Meor terpaksa berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut.
. Wak kusang juga bukan calang-calang orangnya , Dengan berkat ilmu Gayong dan keizinan Allah , Maka di akhir pertarungan, Wak Kusang telah dihempas oleh Dato Meor . Darah mula mengalir daripada kepala Wak Kusang kerana kepala beliau telah terhempas ke batu nisan kubur di situ. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan. Kemenangan Dato Meor membolehkan beliau dan keluarga menumpang di sana.Sebelum pertarungan bermula, Dato Meor terlebih dahulu meminta pandangan dan berbincang dengan ahli keluarga beliau. Pilihan yang beliau ada ketika itu hanyalah menghadapi Wak Kusang. Maka berlakulah pertarungan antara Wak Kusang dengan Dato Meor di kawasan tanah perkuburan pulau sudong. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang danhebat
Pada suatu malam selepas lebih kurang satu minggu beliau berada di Pulau Sudong, Dato Meor telah bermimpi didatangi seseorang yang memberi amaran bahawa bahaya akan menimpa penduduk Pulau Sudong. Di dalam mimpi tersebut menyuruh Dato Meor berusaha menghalang bahaya itu dan melindungi penduduk kampung pulau sudong. Pada keesokan harinya penduduk Pulau Sudong telah mendapat khabar bahawa tentera Jepun akan mendarat. Berita tentang pendaratan tentera Jepun telah membimbangkan penduduk pulau kerana mereka banyak mendengar berita tentang kekejaman tentera Jepun seperti membunuh dan memperkosa gadis yang cantik.
Kebimbangan semakin meningkat apabila seorang nelayan dari pulau berdekatan datang ke Pulau Sudong memberitahu anak dan isterinya telah dirampas oleh tentera Jepun dan di bawa naik ke atas kapal perang mereka. Ketika itu, terdapat ratusan kapal perang Jepun yang berlabuh di hadapan Pulau Bukum. Berita ini telah menggemparkan penduduk Pulau Sudong.
Penduduk Pulau Sudong menjadi begitu khuatir dan bimbang, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis. Penghulu dan penduduk pulau mula berkumpul lalu membincangkan soal keselamatan anak-anak gadis mereka yang berada dalam keadaan bahaya. Berbagai-bagai pandangan dikemukakan. Penghulu Pulau Sudong telah mencadangkan supaya gadis-gadis muda dipindahkan ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai. Cadangan dari orang lain pula supaya gadis-gadis muda disorokkan ke dalam hutan.
Malah ada yang lebih berani menyuruh supaya menentang sahaja orang-orang Jepun yang ingin merosakkan anak-anak gadis pulau itu. Setelah keadaan menjadi semakin buntu, Dato Meor pun memberikan pandangan beliau untuk menggunakan beberapa ilmu yang telah diperturunkan oleh gurunya dengan syarat mereka mesti menjadi murid Gayong terlebih dahulu. Tambahan lagi, orang-orang pulau memang menaruh harapan kepada beliau kerana mereka mengetahui Dato Meor pernah menewaskan jaguh Pulau Sudong.
Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman telah mengarahkan penduduk Pulau Sudong untuk mengisikan air ke dalam tempayan. Mereka bertanyakan Dato Meor di mana mereka boleh mendapatkan air tawar kerana pada kebiasaannya air tawar diperoleh dari Pulau Senang. Dato Meor kemudiannya berdoa memohon supaya diturunkan hujan. Dengan izin Allah SWT, tidak berapa lama kemudian langit pun mendung dan hujan mulai turun. Orang-orang kampung pun mengisikan tempayan dengan air hujan.
Dengan adanya air tawar itu, adat penerimaan murid dapat dijalankan. Air tersebut dibacakan doa dan ayat-ayat Al-Quran sebelum dijiruskan atau diperlimaukan oleh Allahyarham Dato Meor terhadap 7 orang pemuda yang sanggup menentang kemasukan tentera Jepun.Tujuh pemuda tersebut ialah
1. Naning
2. Mat Resad
3. Ahmad Puah
4. Kekeh
5. Mustapa
6. Bendol
7. Wak Kusang
Inilah detik permulaan bersejarah dimana Allahyarham Dato Meor mula memperkenalkan dan mengajarkan ilmu Silat Seni Gayong serta adat istiadatnya kepada orang ramai di Pulau Sudong.
Dipendekkan cerita , Pada waktu itu laut kelihatan dipenuhi api yang menjulang. Dari jauh kelihatan Pulau Bukum telah terbakar. Dato Meor telah meminta penduduk Pulau Sudong untuk mengumpulkan periuk belanga dari tiap-tiap rumah. Buntut periuk tersebut kemudian dikikis untuk diambil arangnya. Selepas itu arang tersebut dicampurkan dengan minyak kelapa dan dibancuh seperti membancuh simen. Dato Meor kemudiannya mengumpulkan semua perempuan yang berada di Pulau Sudong untuk disapukan campuran arang dan minyak kelapa ke muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kaum perempuan. Tepung gandum pula diletak dicelah-celah rambut supaya rambut kelihatan seperti telah beruban. Gadis-gadis muda kemudian disuruh masuk ke dalam rumah Dato Meor . Anggaran ialah seramai 200 orang.
Seterusnya, Dato Meor meminta beras kunyit sebelum dibacakan doa tertentu. Beras kunyit tersebut diserahkan kepada Naning. Naning kemudian mengetuai 6 lagi rakannya pun mula bergerak mengikut gerak hati yang dipimpin oleh semangat beras kunyit tersebut. Apabila sampai di tepi pantai, Dato Meor menyuruh Naning menabur beras kunyit ke laut dan mengarahkan Naning dan rakan-rakannya meraba-raba di dalam air. Hasilnya, sebanyak 7 bilah keris tanpa hulu dan tanpa sarung diperoleh dari dalam air laut di gigi pantai tersebut. Dato Meor mengarahkan Naning dan rakan-rakannya membalut bahagian hulu keris dengan kain layar buruk serta sedikit kain kuning. Keris-keris tersebut telah disorokkan dicelah dinding atap rumah Dato Meor .
Tidak berapa lama kemudian, tentera Jepun pun tibalah dengan kapal pendarat tenteranya. Seperti kebiasaan, mereka melepaskan beberapa das tembakan pistol ke udara untuk memanggil orang-orang kampung agar mengangkat mereka ke darat. Sebaik sahaja mereka mendarat, mereka melihat hanya perempuan-perempuan tua sahaja yang kelihatan. Mulut mereka becok merungut-rungut kerana belum berjumpa wanita muda di pulau tersebut. Tentera Jepun tersebut terus mencari di sekitar pulau. Tidak lama kemudian,tentera Jepun itu sampailah ke rumah Dato Meor . Tindakan pemuda-pemuda kampung yang asyik memandang ke arah rumah Dato Meor telah mencurigakan pihak tentera Jepun. Tentera Jepun terus naik ke atas rumah Dato Meor . Ketika ini Dato Meor sedang berdiri di muka pintu lalu terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan berdoa.
Apabila tentera Jepun menolak pintu rumah Dato Meor , Dengan izin Allah mereka lihat rupa gadis-gadis di dalam rumah tersebut tersangat hodoh hingga menyebabkan tentera Jepun menjadi takut lalu lari meninggalkan rumah Dato Meor .
Tentera Jepun hanya meninggalkan pulau setelah menangkap beberapa gadis cina lalu di bawa naik ke atas kapal perang untuk diperkosa. Selepas tentera Jepun hilang daripada pandangan, maka terselamatlah gadis-gadis di Pulau Sudong. Selepas peristiwa tersebut, Dato Meor telah mengarahkan ketujuh-tujuh bilah keris tanpa hulu tersebut dicampak kembali ke laut. Pada awalnya mereka agak keberatan untuk membuangnya kerana mereka berhasrat untuk menyimpannya kerana percaya keris-keris tersebut membawa tuah. Apabila ditanya oleh Dato Meor sama ada mereka telah mengembalikan semula keris tersebut ke laut, mereka berbohong dan mengatakan telah membuangnya. Tetapi Dato Meor bukanlah seorang yang mudah diperbodohkan., beliau mengetahui pembohongan mereka. Dato Meor mengambil 7 bilah keris tersebut untuk dibuang kembali ke tempatnya diambil. Pada hari ketiga selepas kejadian tersebut berlaku, ada 7 ekor buaya putih timbul di tempat-tempat keris tersebut dicampakkan kembali.
Selepas 2 minggu kedatangan jepun ke pulau sudong itu , Dato Meor dan keluarganya pun meninggalkan Pulau sudong untuk pulang ke kampungnya di Taiping, Perak pada tahun 1942. Penduduk pulau itu dengan sedih telah keluar beramai-ramai mengucapkan selamat jalan kepada beliau sekeluarga. Ketika perahu yang dinaiki oleh beliau perlahan-lahan meluncur , Muridnya yang pertama iaitu Naning mula berpantun :
"Pulau Sudong tanahnya lembah,
Tanam senduduk bercabang dua,
Pulau Sudong tanahnya bertuah,
Dagang menumpang sehari dua."
Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman membalas pantun itu,
"Pulau Sudong tanah sakti,
Sayang ketapang bercabang dua;
Hikmat Gayong meninggalkan bakti,
Memimpin wanita menempuh bahaya."
Pada tahun 1943, Dato Meor Abdul Rahman pernah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Taiping oleh pemerintah Jepun. Beliau telah dituduh mahu menentang pemerintahan Jepun (kerana bertindak melawan askar Jepun yang cuba mengganggu isterinya). Beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau dengan gagahnya telah melawan dan berjaya menumpaskan askar-askar Jepun(lengkap bersenjata) yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa itu, pihak Jepun telah membebaskan Meor Abdul Rahman kerana tidak mahu menanggung kematian Tenteranya yang lebih banyak lagi. Tidak lama kemudian, Pihak jepun cuba memujuk dato meor untuk join mereka dan mengajarkan ilmu persilatan kepada tentera jepun.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Meor Abdul Rahman dan keluarganya sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong. Beliau telah dipelawa menjadi penghulu di situ. Setelah menetap di Pulau Sudong, Dato Meor mula mengajarkan ilmu persilatan kepada 7 murid terawalnya itu dan bermulalah Silat Seni Gayong telah berkembang ke pulau-pulau berhampiran, termasuklah pulau-pulau yang berada di dalam wilayah Indonesia.
Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Pada tahun ini juga, beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British di atas jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara dari jabatan kepolisian, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran mereka.
Sekian saja perkongsian mengenai sejarah Gayong yang dibawa oleh Dato Meor , Sebenarnya kedatangan Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman ke pulau sudong bukanlah satu kebetulan ataupun dirancang , Melainkan Allah lah yang menghantar/Takdirkan Dato Meor sampai ke pulau itu , Naning yang menjadi murid pertama Dato Meor sebenarnya adalah cucu kepada Daeng Ambok Solok , Ayah Naning iaitu Daeng Ahmad sengaja tidak meletakkan gelaran "Daeng" pada anak-anaknya kerana ketika zaman penjajahan belanda Daeng Ahmad menjadi buruan belanda dan terpaksa membuang nama Daeng untuk sembunyikan identitinya. Ayahnya iaitu Daeng Ambok Solok adalah seorang Hulubalang Bugis yang mengajarkan ilmu persilatan kepada atok Dato Meor Abdul Rahman , Iaitu Tuan Syed Zainal Al-Attas ataupun dikenali sebagai Tok Janai/Jenai seorang Hulubalang Pahang.
Dan bukan itu saja pada tahun 1948 Dato Meor bermimpi bertemu dengan datuknya iaitu Tengku Daeng Kuning ataupun lebih dikenali sebagai Panglima Hitam. Di dalam mimpi tersebut Panglima Hitam mengarahkan Dato Meor kembali ke pulau sudong untuk mengambil anak Daeng Naning yang bakal dilahirkan tidak lama lagi tanpa mengira jantinanya , Kerana Anak itulah yang akan menjadi pengikut setia dan bersama membantu Dato Meor mengembangkan Silat Seni Gayong. Lalu Dato Meor pun kembali ke pulau sudong setelah mendapat mimpi tersebut dan mengambil anak kepada daeng naning itu sebagai anak angkat dan dato meor berhasrat untuk menjaganya dan mengajarkan ilmu persilatan , Hajat Dato Meor itu diterima oleh Daeng Naning. Dan anak itulah Ibu Gayong yang bernama Cikgu Kalsom.
Al-Fatihah buat Ruh Dato Meor Abdul Rahman , Tengku Daeng Kuning , Syed Zainal Al-Attas , Daeng Ambok Solok , Daeng Ahmad , Daeng Naning , Cikgu Kalsom dan mereka semua yang telah berjasa kepada Agama bangsa dan tanah air. Semoga Ruh Mereka Dirahmati Allah S.W.T dan ditempatkan bersama hamba-Nya yang soleh. Aamiin Ya Mujib
Kredit : Tengku Daeng Mawelle
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: