Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Riwayat hidup Kiyai Haji Khairuddin Bin Haji Marzuki




Kiyai Haji Khairuddin Bin Haji Marzuki (Meninggal dunia pada 1987)

Kiyai Haji Khairuddin Bin Haji Marzuki berasal dari Semarang, Indonesia. Beliau berhijrah bersama keluarganya ke Batu Pahat dalam usia belasan tahun, beberapa ketika sebelum meletus perang Jepun.

Beliau mendapat pendidikan agama di beberapa buah pondok pesantren di Semarang, Indonesia.

Selepas berhijrah ke Batu Pahat bersama bapanya, Haji Marzuki, mereka bersama-sama mengasaskan pembinaan Surau Kampung Parit Lapis Semarang di Jalan Parit Botak.

Di kampung tersebut, beliau terus gigih menimba ilmu pengetahuan, khususnya bersama Kiyai Haji Kusen Parit Lapis Semarang hingga akhirnya beliau dikahwinkan dengan anak tunggal gurunya dan seterusnya menjadi Khalifah pertama kepada Kiyai Haji Kusen setelah Kiyai Kusen meninggal dunia.

Rutin hariannya berulang-alik ke Madrasah Kiyai Kusen, selain menjadi imam di Surau Parit Semarang dan menjaga kebun peninggalan bapanya dengan memantau serta melihat-lihat mereka yang mengusahakan kebunnya.

Beliau penyambung dan penerus usaha yang telah dimulakan bapa mertuanya, Kiyai Haji Kusen dengan mengajar, mentarbiah dan mendidik masyarakat di Madrasah sebagaimana yang pernah dilakukan bapa mertuanya semasa hayatnya. Beliau turut meneruskan segala program dan aktiviti di madrasah, seperti 'sebelasan', khataman dan pelbagai lagi yang pernah dilaksanakan sebelumnya.



Beliau tegas dalam mendidik anak-anak. Dikatakan bahawa anak-anaknya gerun dan takut dengannya. Tiada siapa berani duduk rehat santai bersahaja, ketika dirinya ada di rumah, melainkan mereka akan bergegas lekas membikin apa jua pekerjaan.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya, di Kampung Parit Lapis Semarang pada 8 November 1987.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

Sumber - Ustaz Amli Ilma

Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom