5 Mac 2022, sembilan tahun yang lalu, Op Daulat dilancarkan di Lahad Datu, Sabah.
Konflik bermula apabila 235 militan mendarat di Kg. Tanduo, Lahad Datu pada 11 Februari 2013. Mereka digelar Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara, dihantar Jamalul Kiram III untuk menuntut Sabah menjadi wilayah Kesultanan Sulu.
Pihak berkuasa dilaporkan tentang kehadiran mereka dan kepungan dibuat di kawasan terbabit. Rundingan dimulakan dengan anggota militan, yang kemudian turut mendapat kerjasama kerajaan Filipina untuk menyelesaikan konflik secara aman.
Begitupun selepas beberapa minggu, rundingan menuju jalan buntu. Pertempuran tercetus pada 1 Mac apabila anggota militan cuba keluar dari kawasan kepungan, menyebabkan 12 mereka terbunuh namun 2 anggota keselamatan negara gugur dan 3 cedera.
Pada malam 2 Mac, satu lagi pertempuran berlaku di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna yang menyaksikan 6 lagi anggota polis gugur dan 6 militan terkorban. Akhirnya pada 5 Mac, operasi berskala besar dilancarkan kerajaan, diberi nama Op Daulat.
Fasa pertama operasi yang digerakkan oleh Angkatan ATM dan PDRM itu dimulakan dengan serangan udara oleh 3 pesawat F/A-18D Hornet dan 5 pesawat Hawk 208 milik TUDM yang menggugurkan bom panduan laser ke kawasan penceroboh.
Ia disusuli dengan tinjauan menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) terhadap kawasan pengeboman, sebelum fasa pembersihan oleh kira-kira 2,000 anggota digerakkan, melibatkan Unit Komando dari Gerup Gerak Khas (GGK) & VAT 69.
Dalam Op tersebut, 52 orang militan termasuk ketua kumpulan yang berpangkat ‘jeneral’ terbunuh. Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ditubuhkan dan ramai lagi individu terlibat ditahan susulan operasi ketenteraan itu.
Konflik di Lahad Datu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013, selepas 12 perwira negara gugur, 6 orang awam terkorban, 56 anggota militan terbunuh dan 416 individu ditahan.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Astro AWANI, Sinar Harian
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: