Idea pembinaannya tercetus semasa mesyuarat Majlis Eksekutif Persekutuan pada 30 Julai 1957 sebagai mercu tanda kemerdekaan negara yang diisytiharkan pada Ogos tahun itu. Ia termasuk di bawah pelan besar pertama pembangunan negara pasca pentadbiran British.
Kemudian dalam satu lagi mesyuarat pada 5 Mac 1958, Majlis mencadangkan supaya masjid itu dinamakan sempena Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Namun beliau menolak & mencadangkan supaya ia dipanggil Masjid Negara.
Proses reka bentuknya mengambil masa 3 tahun oleh arkitek dari Jabatan Kerja Raya (JKR); Baharuddin Abu Kassim (Datuk), Ikmal Hisham Albakri & Howard Ashley dari UK. Inspirasinya adalah seni bina tamadun Islam di seluruh dunia.
Pada 27 Februari 1963, Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra ibni Syed Hassan Jamalullail berkenan meletakkan batu asas Masjid Negara, menandakan bermulanya secara rasmi pembinaan projek itu yang dikendalikan oleh jurutera Antony Morris.
Selepas 2 tahun, pembinaan masjid di tanah seluas 13 ekar di sebelah Jalan Kinabalu dekat dengan Stesen Keretapi Kuala Lumpur itu siap & Tuanku Syed Putra Jamalullail sekali lagi berkenan mencemar duli membuka Masjid Negara secara rasmi pada 27 Ogos 1965.
Rekabentuknya unik, dengan bumbung bangunan utama berbentuk payung yang dibuka, sementara menaranya yang setinggi 73 m itu berupa payung yang dikuncup. Masjid itu mampu memuatkan sehingga 15,000 jemaah pada satu-satu masa.
Di bahagian barat kompleks Masjid Negara, terletak Makam Pahlawan yang menjadi tempat persemadian para negarawan & negarawati.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Masjid Malaysia, Lemis/Greg
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: