Pada tahun 1947, telah terjadi satu tragedi pembunuhan beramai-ramai di dalam sebuah kereta api di Tanah Melayu (Malaysia) yang menggemparkan masyarakat.
Si pelaku, Mat Taram bin Sa’al atau lebih dikenali sebagai Utoh telah disabitkan kesalahan kerana menikam dan membunuh 11 orang sewaktu berada di dalam sebuah kereta api dan di sebuah Kongsi (bangunan pemilikan bersama bangsa Cina).
Utoh merupakan seorang pesawah yang berasal dari Pulau Tunggal berdekatan Sumatera, Indonesia. Lelaki itu mempunyai sebuah ladang di Parit Enam, Bagan Terap berdekatan Teluk Anson di Perak. Suspek dikatakan telah menjual rumah dan tanah miliknya dengan harga 200 Straits dollar (kira-kira RM35,600 pada hari ini) untuk pulang ke tanah airnya.
Perjalanan dimulakan oleh Utoh, isteri dan tiga orang anak mereka dengan menaiki kereta api dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura. Namun begitu, malang menimpa keluarga terbabit apabila mereka mendapat tahu bahawa wang mereka tidak cukup untuk membeli tiket feri ke Sumatera.
Sejak itu, Utoh dikatakan mengalami kemurungan. Malah, isterinya mendakwa lelaki tersebut tidak tidur langsung selama dua hari berturut-turut.
Pada 9 Oktober, Utoh membuat keputusan untuk kembali ke Perak bersama keluarganya. Mereka menaiki bas ke Labis sebelum menaiki kereta api dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Sepanjang perjalanan itu, Utoh yang berusia 30 tahun dikatakan menjadi sangat pendiam. Namun begitu, lebih kurang jam 6.10 petang ketika kereta api baru sahaja melepasi Bangi, Utoh tiba-tiba meninggalkan tempat duduknya dan pergi ke bahagian restoran. Sebaik sahaja tiba, lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau lipat dan menikam tiga orang pegawai British yang sedang menikmati makanan mereka di sebuah meja.
Akibat serangan tersebut, Sarjan Herbert Victor Marston telah disahkan mati di tempat kejadian akibat tikaman yang tepat pada jantung beliau. Seorang lagi pegawai British, J. Cormack turut mati setelah ditikam pada bahagian abdomen. Pegawai Robert Ralston pula cedera parah. Selain daripada pegawai tersebut, Utoh juga telah menyerang seorang lelaki berbangsa Melayu, Mohamed Eusoff dan seorang lelaki berbangsa India bernama Malimalai yang meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Serangan itu menyebabkan kereta api terpaksa berhenti secara kecemasan. Utoh mengambil peluang ini untuk lari ke dalam sebuah hutan berdekatan. Dia telah menikam seorang gelandangan berbangsa Cina sehingga mati. Beberapa kilometer dari tempat kejadian, Utoh dikatakan telah memasuki sebuah Kongsi dan telah membunuh Cheow Hin, 40, dua orang wanita tua dan tiga orang kanak-kanak selain mencederakan sembilan mangsa yang lain.
Semasa anggota polis sedang mencari Utoh di kawasan hutan di Bangi, Utoh dilaporkan telah berjalan sejauh kira-kira 144 kilometer sebelum sampai ke rumahnya di Parit Enam 36 jam kemudian. Apabila polis menyoal siasat lelaki itu, Utoh berkata dia sudah kehabisan wang untuk pulang ke Sumatera dan sudah terpisah dengan keluarganya.
Namun begitu, Utoh menipu polis dengan berkata dia dihalau oleh pekerja kereta api kerana terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki yang telah menumpahkan minuman ke atasnya. Salah seorang pegawai polis yang terbaca kisah pembunuhan beramai-ramai di dalam kereta api telah mengesyaki Utoh sebagai suspek yang dicari. Oleh itu, Utoh telah ditahan dan dibawa ke Sabak Bernam.
Isteri Utoh sendiri telah mengecam suaminya sebagai lelaki yang telah melakukan pembunuhan dalam sebuah kereta api. Oleh itu, Utoh didapati bersalah dan didakwa di sebuah mahkamah atas tuduhan membunuh seorang pegawai British. Pada 29 Oktober, Utoh telah dihantar ke Hospital Tanjong Rambutan setelah diisytiharkan kurang siuman.
Sumber : World Of Buzz
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: