Sejarah mengenai hubungan antara Daulah Uthmaniyah dengan umat Islam di Tanah Melayu begitu jarang sekali diperkatakan. Bahkan hubungan tersebut tidak begitu disentuh dalam pengajaran subjek Sejarah di sekolah-sekolah dan juga di peringkat pengajian tinggi.
Hubungan erat antara Daulah Uthmaniyah dan Tanah Melayu bertitik-tolak atas dasar ikatan aqidah yang mempersaudarakan antara kedua-dua bangsa dan merentas sempadan bahasa serta budaya.
Rekod sejarah mencatat hubungan erat tersebut pernah terjalin tatkala Tanah Melayu sedang berhadapan dengan ancaman kolonialisasi oleh penjajah Barat khasnya British.
Daulah Uthmaniyah bukan sekadar sebuah kuasa dunia yang berpengaruh, bahkan diiktiraf oleh umat Islam di seluruh dunia, termasuklah di Tanah Melayu sebagai pelindung dan pembela umat Islam.
Keadaan itu menimbulkan kegusaran British yang mulai memantau sebarang aktiviti yang dilakukan oleh Daulah Uthmaniyah di rantau ini pada pertengahan abad ke-19 Masihi.
Pada pertengahan abad ke-19 Masihi, Daulah Uthmaniyah telah menghantar seorang Konsulat dan membuka pejabat mereka di Jakarta, Kelantan, Singapura dan Rangoon (Myanmar).
Wakil-wakil Daulah Uthmaniyah itu berperanan membela nasib umat Islam yang dizalimi dan ditindas oleh British dan Belanda di wilayah masing-masing.
Pada 31 Januari 1865, Syed Abdullah bin Omar bin Ali Aljunied telah dilantik sebagai Consul General Of Ottoman yang pertama di Singapura.
Pembukaan pejabat Consul General Of Ottoman di Robinson Road secara tidak langsung membina hubungan yang akrab antara masyarakat Islam Singapura dan Sultan Uthmaniyah.
Apabila Syed Abdullah meninggal dunia pada tahun 1865, adiknya Syed Juneid telah dilantik sebagai Consul General Of Ottoman ke-2 di Singapura sehinggalah tahun 1880.
Pada tahun 1880, Nong Chik atau nama sebenarnya Syed Mohamed bin Ahmad bin Abdul Rahman Alsagoff dilantik pula sebagai Consul General Of Ottoman ke-3 di Singapura.
Perlantikan Nong Chik itu bagaimanapun telah menimbulkan rasa tidak senang pihak British. British mempertikaikan tindakan Daulah Uthmaniyah melantik Nong Chik.
Nong Chik dilihat mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat Islam tempatan. Beliau dilihat boleh menimbulkan ancaman besar kepada British dan Belanda kerana bersifat anti-kolonial. Pihak Belanda di Jakarta langsung menghantar surat bantahan ke England mengenai perlantikan Nong Chik sebagai Consul General Of Ottoman di Singapura.
Robert Gascoyne-Cecil (Prime Minister Of The United Kingdom) juga mencadangkan agar jawatan tersebut diisi oleh pegawai Turki sendiri dan bukannya Nong Chik kerana kebimbangan timbulnya penentangan.
Walaupun mendapat tekanan daripada pihak penjajah, desakan menggantikan Nong Chik tidak diendahkan oleh Sultan Abdul Hamed II ibn Sultan Abdul Mejid I (Sultan Daulah Uthmaniyah).
Jawatan Consul General Of Ottoman kemudiannya digantikan kepada Resident Consulate General Of Ottoman pada 25 Mac 1901.
Maka pada 16 November 1901, Al-Haj Ahmet Ataullah Effendi bin Ebu Bekir Effendi Al-Khushnawi Al-Quraishi Al-Amjadi dilantik sebagai Resident Consulate General Of Ottoman yang petama di Singapura dengan disediakan kediaman rasmi di Balestier Road, manakala Al-Haj Abdul Hamed Effendi sebagai Honorary Chancellery Official dan Al-Haj Jalalodeen Bey sebagai Secretary Of The Resident Consulate General.
Namun tidak lama kemudian, pada 10 November 1903, Al-Haj Ahmet Ataullah terkorban dalam satu kemalangan jalanraya dalam usia 39 tahun.
Jenazahnya telah dibawa ke kediaman Nong Chik di Java Road untuk disolatkan di Masjid Hajjah Fatimah sebelum diusung menuju ke Makam Diraja Johor di Telok Blangah Road.
Upacara pengebumian Al-Haj Ahmet Ataullah yang dihadiri ribuan orang dan para pegawai pemerintah British, Johor dan Turki telah dipimpin oleh Mufti Johor, Haji Abdullah bin Musa.
Seluruh bendera Daulah Uthmaniyah di Singapura, bendera Union Jack (British) dan bendera Johor telah dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung.
Al-Haj Ahmet Ataullah meninggalkan seorang balu, Kulsum dan empat orang anak iaitu Ahmet Fuat Bey, Ebu Bekir Rusti Bey, Hayrunisa dan Hatice Hasanah.
Sejak pemergian Al-Haj Ahmet Ataullah, Resident Consulate General Of Turkey telah dipangku oleh Al-Haj Muhammad Kiamil Bey yang pada ketika itu telah diusir ke Singapura dari Jakarta oleh pihak Belanda.
Namun, Al-Haj Muhammad Kiamil Bey tidak lama menetap di Singapura kerana pejabatnya telah dipindahkan dari Robinson Road ke Liverpool (England). Ini adalah kerana pernikahannya dengan bekas permaisuri Sultan Johor, Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah ibn Tun Daeng Ibrahim iaitu Sultanah Khadijah Hanum telah menimbulkan murka baginda.
Setelah tamatnya Perang Dunia I, masyarakat Islam di Tanah Melayu telah berhimpun di Singapura bagi menubuhkan sebuah organisasi Islam, Anjuman-i-Islam pada tahun 1921 bagi tujuan menunjukkan sokongan teguh kepada pemerintah Daulah Uthmaniyah pada ketika itu, Sultan Mehmet Vahidudin VI ibn Sultan Abdul Mejid I.
Namun pada 1 November 1922, Grand National Assembly Of Turkey yang dipimpin oleh Mustafa Kemal bin Ali Riza telah memansuhkan Daulah Uthmaniyah dengan Sultan Mehmet dilucutkan jawatannya dan diusir ke Malta.
Pada 29 Oktober 1923, dengan perlantikan Mustafa Kemal sebagai Presiden pertama Turki moden dan kejatuhan Daulah Uthmaniyah, maka secara rasminya pengaruh Uthmaniyah di Singapura berakhir.
Atas arahan pihak British, bendera Daulah Uthmaniyah tidak lagi dibenarkan berkibar di serata Singapura.
Nota : Betapa gusarnya kuasa Eropah apabila umatvIslam dipayungi Daulah Uthmniyyah sebagai salah kuasa besar dunia ketika itu.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: