Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah Syeikh Fadhil al-Banten bersama Sultan Ibrahim ketika penjajahan Jepun




Syeikh Haji Fadhil al-Banten: Mufti Peribadi Sultan Johor di Era Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu

Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten atau lebih dikenali sebagai Haji Fadhil Banten, merupakan seorang tokoh ulama dalam bidang kerohanian di negeri Johor. Beliau merupakan pengasas utama dan telah mengembangkan Wirid Khaujakan iaitu satu daripada amalan Tarekat Naqshabandiyyah disamping Tarekat Tijaniyah.

Beliau berasal dari Banten iaitu sebuah daerah di Jawa Barat. Dilahirkan pada tahun 1870 dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 18 Mac 1950 dan dikebumikan di Batu 28 Lenga, Muar. Setelah memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten, kemudian beliau melanjutkan pendidikan dan menuntut ilmu di Mekah.

Menabur baktinya di Johor

Penghulu Mukim Lenga bernama Haji Daud yang sangat tertarik dengan keperibadian Haji Fadhil Baten, telah berusaha memujuk beliau supaya datang ke Johor. Pada tahun 1915, Haji Fadhil Banten menjejakkan kakinya ke Tanah Melayu. Beliau tinggal dan menetap di Lenga yang terletak kira-kira 48 km dari bandar Muar, Johor.

Sultan Ibrahim


Setibanya di Johor, Haji Fadhil Banten tinggal di Batu 3, Jalan Bakri dan mengajar ilmu agama di Kampung Lenga, Muar disamping mengembangkan Wirid Khaujakan di surau, masjid dan termasuklah disekitar dalam Bandar Maharani, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya.

Perang Dunia Kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Kira-kira pada tahun 1942, semasa Tanah Melayu dalam era pemerintahan Jepun serta ancaman dari Askar Bintang Tiga, dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor ketika itu berasa sangat bimbang terhadap keselamatannya, keluarganya serta seluruh rakyat Johor.



Sultan Johor telah menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu, untuk mencari seorang ulama yang boleh membantunya dalam menghadapi dan mengatasi masalah keselamatan. Datuk Osman telah mencadangkan Haji Fadhil Banten seorang ulama yang sanggup berdoa seperti yang dihajatkan oleh Baginda Sultan.

Dibawa ke Johor Bahru...

Atas persetujuan Haji Fadhil Banten, akhirnya beliau dibawa ke Johor Bahru dan Sultan Ibrahim telah menyediakan sebuah rumah berhampiran dengan Istana di Pasir Pelangi tetapi beliau telah memilih untuk tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Pada waktu malam beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim membaca doa dan wirid untuk menjaga keselamatan Sultan. Walau bagaimanapun, beliau lebih selesa berada di masjid yang lebih banyak berkatnya dan lebih baik baginya untuk beribadah.

Syeikh Fadhil Banten


Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa hasil dari keberkatan doa Haji Fadhil Banten. Sultan Ibrahim telah menganugerahkan pangkat kepada beliau dan dilantik sebagai “Mufti Peribadi Sultan.” Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab terus kepada Sultan untuk memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh Sultan.

Selain dari anugerah yang berupa pangkat dan kedudukan, Sultan Ibrahim juga telah membiayai Haji Fadhil Banten dan isterinya menunaikan ibadah haji dan pelbagai lagi hadiah menarik yang diberikan kepada beliau. Sumbangan yang tidak terhingga adalah apabila Sultan Ibrahim memberi kebebasan seluas-luasnya kepada Haji Fadhil untuk menubuh dan mengembangkan Wirid Khaujakan di seluruh tanah jajahan takluk Johor tanpa sebarang halangan dan rintangan.

Salah seorang murid Haji Fadhil Banten adalah Kiyai Salleh (Panglima Salleh Selempang Merah), yang mana telah berguru dan menuntut ilmu dengan beliau lalu telah membentuk kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat.

Kebijaksanaan Sultan Ibrahim yang memahami keadaan zaman darurat untuk menghadapi huru-hara perang yang sukar diatasi dalam bentuk zahir semata-mata, sehingga Baginda memerlukan insan yang takwa seperti Haji Fadhil Banten, patut dicontohi oleh pemimpin-pemimpin masa kini.

Rujukan:
Pustaka Empayar Melayu
1. Penyebar Wirid Khaujakan di Johor, Utusan Malaysia, 17 Mei 2004.
2. Khazanah Khaujakan, Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor, 2017.
3. Buku Panduan Wirid Khaujakan, Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor, (Cetakan Kelapan) 2018.

Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom