Tuan Wok atau nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Wan Abdul Rahman Bin Haji Wan Muhammad Bin Haji Hussain dan beliau dilahirkan pada 2 Ogos 1899 di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Ayahnya, Syeikh Wan Muhammad Bin Haji Hussain atau mahsyur dengan panggilan Syeikh Wan Muhammad Merbol adalah ulama' besar negeri Perak yang pernah menyandang jawatan Mufti Perak Pertama dan menjadi penasihat agama kepada 3 Sultan Perak.
Dua adik kandungnya juga merupakan ulama' hebat di negeri Perak iaitu :
1. Tuan Guru Haji Wan Abdullah Zawawi - Qadhi beberapa buah daerah serta Hakim Syariah Perak Utara
2. Tuan Guru Haji Wan Yusof - Guru agama di Perak
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Haji Wok oleh masyarakat setempat mula mendapat pendidikan agama yang lengkap daripada ayahnya.
Selepas selesai menuntut ilmu, Tuan Haji Wok mula mengajar agama kepada anak-anak raja lelaki dan perempuan serta masyarakat Bukit Chandan serta sekitarnya pada hari cuti persekolahan ( Sabtu dan Ahad ). Beliau turut dijemput mengajar di rumah-rumah kerabat diraja antaranya di kediaman Tengku Ampuan Fatimah, Istana Hulu, Mak Tuan Sharifah Asiah, Raja Shahruddin dan Raja Arif Shah.
Tuan Haji Wok turut mengajar di Kampung Bendang Kering, Kampung Ketior, Kampung Lempor dan juga di luar daerah seperti Malim Nawar, Gopeng hingga membawa ke Kuala Lumpur dan Johor.
Dari segi jawatannya pula, Tuan Haji Wok mula menjadi Khatib, kemudiannya Imam di Masjid Ubudiyah pada 1 Jun 1928 hingga 22 Januari 1935. Beliau kemudiannya bertugas di SITC Tanjung Malim dari 1 Julai 1936 hnggalah bersara pada tahun 1954. Namun ketika perang dunia antara tahun 1941-1946, Tuan Haji Wok mengajar di Madrasah Muhammadiah peninggalan ayahnya di Lembah Masjid, Bukit Chandan.
Setelah bersara Tuan Haji Wok membina madrasahnya sendiri berhampiran dengan rumah kediamannya yang diberi nama Madrasah Siratul Mustaqim. Di samping mahir dalam pertukangan, beliau juga boleh menulis khat dengan baik. Hasil kerjanya ada tersimpan di Rumah Malaysia di London.
Tuan Haji Wok mempunyai kelebihan dalam mendekati kanak-kanak dan seorang guru yang sangat berdedikasi. Segala doa dan amalan-amalan akan beliau tulis sendiri dan dibukukan oleh murid-muridnya.
Beliau berkahwin dengan Hajah Non Khadijah Binti Haji Mohammad pada 17 Julai 1924 dan pasangan ini dikurnikan 16 orang cahayamata.
Tuan Guru Tuan Haji Wok meninggal dunia pada 31 Ogos 1966 ketika berusia 67 tahun.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - Ehsan dari Tuan Haji Mohd Shahir Abdullah Zawawi ( Anak saudara Allahyarham )
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: