Al-Idrisi atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad Al-Idrisi berasal daripada keturunan yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW menerusi cucu sulung baginda, Hasan bin Ali. Dek kerana keturunannya itu, beliau diberi gelaran al-Sharif (orang yang mulia).
Figura hebat berkenaan dilahirkan pada tahun 1100 Masihi di Ceuta, Maghribi. Pendapat paling masyhur menyatakan, Al-Idrisi berjaya menamatkan pendidikan agama di tempat kelahirannya.
Ketika zaman remaja, Al-Idrisi melawat banyak tempat di Afrika Utara dan Andalusia. Pelbagai maklumat yang dikumpulkannya mengenai kedua-dua wilayah berkenaan.
Mengikut riwayat, Al-Idrisi telah memilih untuk tinggal di Cordoba untuk mempelajari pelbagai cabang ilmu. Beliau mula mengkhususkan kepada bidang geografi terlebih dulu.
Setelah tamat pengajian, Al-Idrisi yang ketika itu berusia 16 tahun mengembara lagi ke Eropah, utara Sepanyol, Portugal, pantai Atlantik Perancis, selatan England dan di benua Asia.
Bagi meluaskan langkahnya, ilmuan tersebut melakukan perjalanan mengelilingi dunia. Dalam tempoh tersebut, Al-Idrisi dikatakan telah menulis tentang semua yang dilihat dan didengarinya.
Ternyata kegigihannya itu mendapat perhatian Raja Roger II dari Sicilia, Itali. Baginda dikenali sebagai raja berpengetahuan yang telah membiayai terjemahan karya ilmiah serta falsafah Arab dan Yunani ke bahasa Latin.
Tatkala baginda mendengar perkhabaran tentang Al-Idrisi termasuk karya geografinya yang luar biasa, baginda mengutuskan surat dengan mengajak tokoh Islam tersebut berkunjung dan tinggal di Sicilia. Pelawaan tersebut diterima baik.
Al-Idrisi kemudian telah diarah untuk membuat peta dunia untuk memenuhi satu projek besar yang mahu dilaksanakan oleh Raja Roger II.
Berbekalkan ilmu yang dimilikinya, cendekiawan terbabit berjaya menghasilkan konstruksi bola dunia dan peta berbentuk cakera yang diperbuat menerusi piring besar daripada perak yang padat.
Peta tersebut dibuat oleh Al-Idrisi dan dinukilkan dalam Kitab Nuzhah al-Musytaq fi Ishtiraq al-Afaq yang juga dikenali sebagai Kitab ar-Rujari (Roger's Book), la merupakan sebuah karya geografi deskriptif Al-Idrisi.
Penemuan berkenaan disifatkan sebagai warisan agung agamawan itu yang kemudian dikenali sebagai Peta Idrisi Yang Besar. Beliau mula menyusun peta dan buku geografi seperti dunia yang belum pernah lagi dilihat pada zaman sebelumnya.
Meskipun Raja Roger II telah mangkat, Al-Idrisi meneruskan usaha dengan menghasilkan tiga karya geografi utama selama 15 tahun lamanya.
la termasuklah Planisfera atau peta bebola perak, peta dunia yang terdiri daripada 70 bahagian dibentuk dengan membahagikan bumi di utara khatulistiwa menjadi tujuh zon iklim lebar yang sama dan. ensiklopedia geografi.
Walaupun dikhabarkan Planisfera perak telah hilang, namun begitu, peta dunia dan monumental Roger's Book telah digunakan berabad abad lamanya sebagai rujukan utama ramai sarjana dan penyelidik.
Sesungguhnya, penemuan ilmuan Islam tersebut bukan calang-calang. Bahkan, Al-Idrisi juga berusaha menggabungkan geografi deskriptif dan astronomi.
Sempena memberi penghormatan kepada ahli geografi dan kartografer ulung itu, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas telah mengabadikan nama Al-Idrisi di Pergunungan Sputnik Planum di Pluto dengan nama Al-Idrisi Mountains.
Profil :
Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad Al-Idrisi
Gelaran: Al-Idrisi, al-Sharif dan
Bapa Geografi
Asal: Ceuta, Maghribi Tahun kelahiran: 1100 Masihi
Tahun kematian: 1166 Masihi
Sumbangan :
- Menghasilkan peta bebola perak untuk Raja Roger II lengkap dengan membahagikan dunia kepada tujuh iklim, laluan perdagangan, teluk, tasik, sungai, bandar-bandar besar, bukit dan lembah serta gunung-ganang.
- Mencatatkan jarak dan ketinggian sesuatu tempat dengan tepat.
- Karya agung: Nuzhah al-Musytaq fi Ishtiraq al-Afaq (Roger's Book)
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: