Naskhah Laut Mati – Skrol purba mengandungi pelan rumah ibadah pertama yang dibina Nabi Daud atas perintah Allah
Ketika seorang penggembala kambing bernama Muhammad Al-Dhib menjejaki haiwan-haiwan ternakannya di sekitar gua di Laut Mati, tanpa disangka beliau telah menemui beberapa naskhah kuno yang tersembunyi di dalam gua tersebut.
Ia merupakan satu penemuan arkeologi terpenting pada abad ke-20, yang mengandungi dokumen-dokumen berharga berusia lebih 2,000 tahun. Dokumen-dokumen kuno yang turut memuatkan kod-kod rahsia agama itu dikenali sebagai ‘Naskhah Laut Mati’.
Penemuan skrol pada tahun 1947 oleh seorang Arab Badwi yang kehilangan kambing di gua Qumran berdekatan Laut Mati dipercayai mengandungi pelbagai maklumat yang sangat signifikan kepada tiga agama iaitu Nasrani, Yahudi dan Islam.
Skrol itu bukan sahaja menjadi rebutan di kalangan ahli arkeologi dalam menilai sejarah kota suci Jerussalem, tetapi ia sangat penting kepada sarjana atau ahli agama yang mahu menilai semula implikasinya kepada kebenaran agama masing-masing. Malah, ia juga penting untuk menghuraikan siapa sebenarnya Nabi Isa, Musa dan Daud itu sendiri.
Menghurai sejarah awal penemuan skrol itu, Muhammad telah menemui skrol tersebut dalam keadaan dibalut dengan kain putih yang telah reput. Menyangka ia tiada sebarang nilai yang tinggi, dia menjual kain itu kepada seorang peniaga Kristian, yang seterusnya menjualkannya pula kepada Athanasius Yeshua Samuel, ketua Gereja Ya’akubiyyah di Jerusalem.
Samuel menjualkan sebahagian skrol itu ke Amerika Syarikat dan sebahagian lagi dibeli oleh Jabatan Arkeologi Universiti Hebrew di Jerusalem. Dalam masa yang sama, berita itu turut diketahui oleh Joseph Saad, Pengarah Rockefeller Muzium Jerusalem pada 1951.
Joseph mengambil inisiatif melakukan usaha mencari skrol dan khazanah lain yang masih terdapat di gua berkenaan secara besar-besaran. Dalam masa lima tahun berikutnya, usaha ini menarik minat banyak ekspedisi di mana mereka telah mengali lebih daripada 300 buah gua.
Bukan sekadar skrol, tetapi ekspedisi itu turut menemui artifak sejarah lain yang berharga dalam runtuhan kota dan kubur di Khirbet Qumran. Berdasarkan ujian karbon, para pengkaji mendapati material yang digunakan sebagai medium penulisan itu dan harta-harta peninggalan lain berusia sekitar 200 tahun sebelum Masihi.
Pada tahun 1953 pihak Rockefeller Muzium telah menubuhkan satu badan bernama International Editing Team untuk mengumpul, menterjemah dan menerbitkan skrol berbahasa Hebrew kuno itu. Badan berkenaan terdiri daripada tiga orang Paderi Peranchis, seorang Paderi dari Amerika dan Poland, seorang pakar kitab Amerika serta seorang ahli falsafah terkenal Britain.
Di antara dokumen terpenting yang dijumpai ialah skrol tembaga yang menunjukkan lokasi kedudukan harta karun yang disembunyikan. Skrol kedua adalah mengenai undang-undang komuniti dan panduan disiplin yang menerangkan hierarki autoriti serta peraturan bagi sebuah masyarakat seperti yang dikehendaki oleh kitab Taurat. Skrol Perang pula menerangkan perihal taktik perang masyarakat dalam menghadapi musuh mereka yang dipanggil Kittim.
Suatu lagi pendedahan hasil dari penemuan skrol ini ialah mengenai kehilangan sebahagian daripada kitab Taurat yang telah dijumpai semula. Ahli sejarah berpendapat bahawa terdapat satu lagi kitab yang telah hilang dan tidak dimasukkan dalam himpunan kitab-kitab yang ada.
Selain itu, skrol terpanjang itu bukan sahaja menjelaskan struktur binaan kompleks ibadat semata-mata, bahkan turut menyatakan undang-undang dan peraturannya sekali.
Skrol tersebut mengandungi pelan lengkap rumah ibadah pertama yang diperintahkan Allah supaya dibina oleh Nabi Daud. Ia mempunyai dua fungsi iaitu sebagai tempat beribadat dan aktiviti keagamaan serta tempat menyimpan Tabut As-Sakinah.
Malangnya, kedua-dua elemen yang disebut di dalam skrol berkenaan sukar dibuktikan secara empirikal kerana tempat ibadah itu telah dimusnahkan oleh Raja Nebuchadnezzar dari Bablyon pada 586 SM.
Tinggalan puing kompleks yang ada hari ini iaitu Masjid Al-Aqsa dan tembok tangisan sukar dijadikan bukti. Manakala Tabut As-Sakinah itu sendiri telah hilang di bawah runtuhan akibat serangan raja berkenaan.
Di sebalik ekskavasi yang telah menemui artifak-artifak berharga itu, para pengkaji mula mempersoalkan siapa sebenarnya orang-orang yang mendiami wilayah Qumran dan menyembunyikan manuskrip-manuskrip misteri di gua-gua Laut Mati itu.
Setelah dikaji dengan lebih mendalam, para ilmuwan bersepakat bahawa naskhah-naskhah kuno tulisan tangan itu adalah milik suku kaum yang menamakan diri mereka sebagai Esenes.
Sekali lagi persoalan timbul, siapakah mereka sebenarnya dan mengapa manuskrip-manuskrip itu perlu disembunyikan di suatu lokasi rahsia?
Persoalan ini sukar untuk dijawab para pengkaji. Namun, berdasarkan kepada penelitian naskhah-naskhah ini, ilmuwan percaya bahawa puak Esenes ini merupakan salah satu pecahan daripada suku Yahudi dan mereka hidup dalam satu tamadun yang tersusun rapi.
Sumber : mastika.online
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: