The Pengerang Coastal Battery sebuah kubu tentera yang menjadi saksi bisu berlakunya peperangan antara Tentera British menentang kemaraan tentera empayar Jepun dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Sejarah pembinaan kubu ini bermula sejak tahun 1927 lagi yang mana Lt. Gen. Sir Webb Gillman bersama-sama dua orang pegawai jurutera telah melakukan tinjauan untuk membina kubu pertahanan untuk mempertahankan pulau Singapura. Setelah menghadapi pelbagai tentangan tentang pembinaan kubu ini, ia berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun 1939.
Pada Ogos 1941 Pengerang Battery telah beroperasi sepenuhnya dan menjadi pertahanan kekal Singapura. Kubu ini dilengkapi dengan dua buah meriam yang berukuran enam inci yang mana ianya berupaya menghadapi serangan dari arah laut dan meriam ringan sebagai penangkis serangan udara. Kemudahan yang terdapat di kubu ini termasuk tempat simpanan peluru, wisma pegawai, hospital dan bilik jentera bawah tanah.
Tentera British beranggapan Tentera Jepun akan memulakan serangan ke atas Tanah Melayu melalui jalan laut dan mula menguatkan pertahanan kubu ini, namun ternyata anggapan tersebut salah. Kubu ini akhirnya telah di tawan pada Disember 1942. Berdasarkan catatan daripada Tentera British, kubu ini turut dilengkapi dengan laluan bawah tanah yang menghubungkan semua tempat di sekeliling kubu termasuk laluan ke Bukit Johor atau dikenali dengan Bukit Pengerang.
Akibat terlalu lama ditinggalkan, kubu ini semakin dimamah usia. Walaupun bangunan tinggalan masih lagi tersergam megah, namun kesemua laluan bawah tanah ke Bukit pengerang telah ditutupi oleh tanah dan masih menjadi misteri sehingga hari ini.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: