Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Pada hari itu Kota Kuala Kedah bermandi darah




Pada tahun 1821 (12 November 1821), Kota Kuala Kedah yang meriah dengan majlis kenduri menikah putera Dato Laksamana Kedah dengan Dato Bendahara Paduka Sri Maharaja, dikejutkan dengan kehadiran gerombolan orang Siam yang diketuai anak Raja Ligor bernama Phya Buri Sakhmuton.

Mulanya rombongan dari Ligor itu memberitahu Dato Bendahara, kehadiran mereka sekadar untuk mendapat bekalan beras setelah mereka kekurangan makanan disebabkan perang yang berlarutan dengan Burma. Lalu Dato Bendahara mengerahkan sekalian rakyat Kedah segera mengumpul beras untuk diberikan kepada Siam. Dalam mereka berbincang, Phya Buri Sakhmuton memberi isyarat kepada orang orangnya untuk menyerang sekalian orang Kedah yang berada di dalam dan luar kota.

Tercetuslah serangan yang dahsyat dalam keadaan orang Kedah tidak bersedia. Hampir kesemua dibunuh. Kuala Kedah bermandi darah. Mayat bergelimpangan di serata ceruk dan hanya sedikit yang sempat bersembunyi menyelamatkan diri. Rupa rupanya angkatan Phya Buri sudah cukup bersedia. Mereka hampir 7,000 orang kesemuanya menyerang dari laut dan darat di sepanjang laluan ke Kuala Kedah. Selain sekitar kota, serangan paling hebat mereka lancarkan adalah di kawasan tebingan Sungai Anak Bukit, di Alor Madi dan Suka Menanti hari ini

Kekejaman mereka tidak terlawan oleh orang Kedah yang sama sekali tidak menyangka akan diserang oleh angkatan Ligor yang pengecut itu. Betapa kejamnya tentera Siam, orang kampung dibakar hidup hidup di dalam perdu pokok mati, kemudian diratah isi mereka oleh tentera Siam. Wanita hamil dibelah perutnya, direntap keluar anak di dalam untuk dijadikan bahan judi, lelaki atau perempuan.

Sejak itu, saki baki orang Kedah yang lari menyelamatkan diri ke Perai, cuba bangkit untuk mendapatkan kembali negeri pusaka nenek moyang ini. Pada 1831, angkatan Tunku Kudin dengan kekuatan 5,000 pahlawan Kedah berjaya menduduki semula Kota Kuala Kedah. Namun setelah terkepung selama lima bulan, kehabisan makanan dan ramai yang syahid, mereka tertewas juga.

Pada 1838, muncul pula Tunku Muhammad Saad untuk menuntut bela. Dengan ribuan tentera dari Rembau, Acheh, Kelantan, Terengganu, Hulu Pahang dan Sulu, mereka berjaya. Kota Kuala Kedah ditawan semula setelah mereka melalui banyak siri pertempuran hebat di darat dan di laut. Tunku Muhammad Saad dengan panglima barisan hadapan beliau diketuai Tok Moh Ris dari Kubur Panjang, Tunku Muhammad Akib, Panglima Muhammad Taib, Dato Wan Muhammad Ali, Syeikh Abdul Samad Al Falimbani berjaya mara hingga ke Singgora.

Mereka bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan tentera Siam, malahan juga British yang telah belot, mengepung mereka di laut, menyekat bekalan makanan, senjata dan ubat ubatan.

Tidak cukup dengan itu, orang Melayu Kedah sendiri yang bacul, ramai memihak kepada Siam. Antara pembelot Melayu yang tersohor ialah Panglima Yu dan Panglima Barim, yang tewas dalam pertempuran dengan pahlawan Kedah di Pulau Songsong.

Dalam serangan untuk mendapatkan kembali Kota Kuala Kedah, orang Siam yang berkawal di situ tidak lebih 70 orang. Hampir 300 orang lagi adalah orang Melayu yang belot.

Semasa di Singgora, Tunku Muhammad Saad melaung kepada perwira perwira Kedah: "Hari ni, kita akan mengamuk sampai ke Bangkok!"

Namun takdir Allah, mereka terhalang oleh ribut monsun. Dan ketika itulah, British yang belot atas kepentingan perang dengan Burma yang bermula pada 1824, menghantar bantuan kepada Siam. Siam yang baru mendapat kekuatan semula, telah menyerang balas angkatan Kedah hingga menyebabkan mereka terpaksa berundur.

Jika orang Palestin mengenang peristiwa Naqbah, orang Kedah patut mengenang tarikh ini sebagai Hari Perjuangan, mengambil ibrah atas semangat kepahlawanan datuk nenek kita dahulu, yang begitu berani dan tabah menentang penjajahan.

Seorang pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn dalam bukunya The Blockade of Kedah 1838 menulis perbandingan pengalaman beliau berperang di India dan Kedah.

Katanya: "Di sepanjang Pantai Coromandel, penduduk pribumi menjilat tangan yang menzalimi mereka seperti anjing. Di Kedah, orang Melayu melawan habis-habisan pihak yang menindas mereka. British sepatutnya menjadi bangsa yang pertama menghormati dan mengiktiraf semangat perjuangan orang Melayu Kedah."

Atas semangat mengenang peristiwa inilah, sebilangan anak anak Kedah menggunakan gambar profil Harimau Melompat di akaun media sosial. Ini adalah bendera Negeri Kedah pada era Sultan Ahmad Tajuddin, ketika Kedah diserang oleh Siam pada 1821.



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom