Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

(Bhg 3, Akhir) ASP Zabri : Liku berdarah melawan pengganas Komunis



ASP Zabri


Cerita asal Khairi Kamil

Berikutan terdapatnya satu maklumat dari pihak Cawangan Khas yang menyatakan bahawa pengganas komunis ingin meletupkan Empangan Temenggor, beberapa lagi platun Komando VAT 69 telah diatur gerak untuk membantu pasukan patrol yang sedia ada beroperasi di kawasan Operasi Bamboo  tersebut.

Untuk peringkat berikutnya , sebelas kumpulan patrol lagi telah diatur gerak ke kawasan operasi bagi tujuan membantu empat pasukan ronda yang sedia ada. 

Pada 7 Julai 1975, kumpulan bantuan platun ronda VAT 69 telah diterbangkan dengan pesawat Nuri ke kawasan berhampiran dengan Fort Tapong. Kekuatan terkini anggota Komando VAT 69 berjumlah sembilan puluh tiga anggota di kawasan Operasi Bamboo tersebut. Dan untuk berfungsi sebagai Pusat Operasi Taktikal (TAC), Pos Tapong yang telah lama ditinggalkan telah digunakan semula tetapi kedudukannya diubah supaya lebih tinggi menghala ke arah Sungai Perak.  

Sebagai persediaan, sebuah landing pad (LP) bagi pendaratan helikopter telah dibina bagi penghantaran ration dan juga bagi  memudahkan proses medevac/casevac membawa anggota pasukan keselamatan keluar jika ada yang mengalami kecederaan nanti. 

Setelah seminggu penjejakan dilakukan, kesan komunis bergerak  ke arah Gunung Ulu Nakar dan menyeberangi sempadan Thailand telah dijumpai, bersama-sama 5 tempat rehat yang boleh memuatkan seramai 25 orang anggota. Tempat-tempat rehat ini kelihatan masih baru dan dipercayai baharu sahaja ditinggalkan oleh pengganas komunis. Seperti yang diketahui, pihak pengganas komunis sering  menggunakan taktik kerap berpindah khemah bagi mengelakkan dikesan dan seterusnya diserang oleh pasukan keselamatan. 

Enam kilometer daripada sempadan Thailand, telah dijumpai satu lagi tempat rehat pengganas komunis yang berada di dalam kedudukan yang amat strategik untuk melancarkan serang hendap terhadap pasukan keselamatan.

Tempat rehat tersebut telah dibina di atas sebuah bukit yang merentas kawasan gaung yang terdapat air terjun di bawahnya. Terdapat satu denai atau laluan yang sempit di kaki bukit dan hanya boleh dilalui secara dalam satu barisan dalam keadaan yang amat sukar.

Melihat strategiknya kawasan itu, Zabri telah mewujudkan satu pusat operasi di situ, di mana beberapa buah claymore mines yang suisnya dipegang anggota VAT69 di pasang di situ. Bagi melalui kawasan itu, VAT69 bertindak mewujudkan satu laluan lain yang berasingan. 

Bagi urusan penghantaran makanan kepada anggota VAT 69 yang bertugas di kawasan itu, laluan sungai terpaksa digunakan dengan menggunakan bot . Untuk urusan ini kebiasaannya anggota polis bantuan dari Balai Polis Gerik akan dipertanggung jawabkan untuk menjalankan tugasan merbahaya tersebut.

Pada  pagi 28 Aug 1975, lebih kurang jam 0800 pagi, seramai empat orang anggota polis bantuan yang bertugas sebagai boatman iaitu MMT 5272 Wan Marzuki bin Wan Hassan, MMT 5247 Yeob bin Omar, MMT 5256 Abdul Manaf bin Akob dan MMT 5261 Mohd Shariff bin Yaakob telah ditugaskan untuk membuat penghantaran bekalan makanan kepada anggota anggota VAT 69 yang bertugas di dalam Operasi Bamboo di kawasan Banding. Mereka dikehendaki menggunakan sebuah bot yang telah tersedia bekalan-bekalan makanan di dalamnya.

Namun pada pagi itu sebelum mereka bertolak, isteri MMT 5256 Abdul Manaf bin Akob yg sedang sarat mengandung telah datang ke balai sambil merayu kepada ketua yang bertugas supaya suaminya tidak dihantar untuk tugasan tersebut dengan alasan dirinya sedang sarat mengandung dan akan bersalin pada bila-bila masa saja. Bagaimanapun MMT 5256 Abdul Manaf bin Akob  tetap bertegas ingin menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. 

Oleh kerana isteri MMT Abdul Manaf terus merayu dan menangis, meraung sambil memeluk erat kedua-dua kaki suaminya tidak membenarkan suaminya pergi, maka ketua yang bertugas tiada pilihan lain selain dari mencari seorang pengganti dan akhirnya tempat MMT Abdul Manaf telah digantikan dengan MMT 5244 Mat Alias bin Mat Daud.

Setelah siap semua peralatan dan kelengkapan, lalu pergilah mereka berempat untuk melaksanakan tugas yang dijangka akan memakan masa selama dua  hingga tiga hari itu. 

Perjalanan dengan bot dari Gerik ke Banding perlu melalui keadaan sungai yang berliku-liku.  Di sesetengah tempat airnya kadang dalam, manakala di bahagian yang lainnya pula kadangkala airnya cetek. Manakala aliran airnya pula ada ketikanya  deras sementara di sebahagian tempat lainnya pula air mengalir perlahan. Perjalanan itu pula pula terpaksa melalui hutan-hutan belantara di kiri dan kanan laluan sungai.

Ini bermakna tugasan mereka amat merbahaya dan berisiko tinggi untuk diserang-hendap oleh pengganas komunis yang sentiasa berkeliaran dalam hutan di kawasan itu.

Selepas beberapa jam perjalanan, mereka telah sampai di suatu tempat di kawasan Banding, di mana keadaan airnya sangat cetek. Bot tidak boleh melepasi sungai tersebut. Maka mereka berempat terpaksa turun dari bot dan menolaknya sekuat hati bagi melepasi kawasan cetek itu. Namun malang bagi mereka kerana pada detik kesulitan itulah tiba-tiba serang hendap yang telah dirancang terlebih dahulu oleh pengganas komunis dilakukan terhadap keempat-empat anggota polis bantuan yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar bekalan makanan kepada anggota-anggota VAT 69 yang sedang membuat operasi di kawasan tersebut.

Sesungguhnya tak siapa yang tahu apa sebenarnya telah berlaku kerana tiada seorang pun dari mereka yang terselamat untuk menceritakannya. Namun anggota-anggota polis dalam sebuah lagi bot yang berada berhampiran tempat kejadian itu menceritakan mereka telah mendengar bunyi tembakan senjata api yang bertalu-talu dari satu gerombolan pengganas komunis yang sangat ramai. 

Yang nyata mereka berempat telah diserang hendap. Keempat-empat mereka gugur di situ juga namun mereka tetap melawan dan membalas tembakan hingga ketitisan darah terakhir. MMT Yeob bin Omar dan MMT Mohd Shariff bin Yaakob ditemui penuh dengan kesan tembakan.  Mayat mereka turut dikerat-kerat dan dimutilasi. Mayat Wan Marzuki pula ditemui agak jauh dari situ dengan kecederaan tembakan di kaki dan badan.

Manakala mayat MMT Mat Alias, ditemui tanpa kesan tembakan. MMT Mat Alias telah disembelih oleh pengganas komunis. Badannya digantung kepada bot. Kemaluannya telah dipotong dan disumbat ke dalam mulutnya.

Kesemua mereka telah disiksa dengan kejam tanpa peri kemanusiaan  sebelum dibunuh. Pengganas komunis juga telah merampas kesemua senjata api mangsa dan juga bekalan makanan di dalam bot tersebut.

Sementara itu, isteri kepada MMT Mat Alias yang bernama Saadiah tidak mengetahui sama sekali pada awalnya bahawa suaminya telah diarahkan untuk menggantikan MMT Abdul Manaf dalam tugasan menghantar bekalan makanan tersebut. Lalu seperti biasa, di rumah dia telah  memasak nasi dan kemudian membungkusnya untuk dihantar kepada suaminya yang disangka sedang bertugas dalam kawasan Balai Polis Gerik.

Saadiah lantas mengayuh basikal ke Balai dalam jarak anggaran empat kilometer untuk menghantar makanan tengahari kepada suami tersayang. Itu adalah rutin beliau setiap hari. Namun apakan daya, pada hari berkenaan suaminya tak sempat menjamah nasi yang dimasaknya.

Kisah mak cik Saadiah sila klik disini
*untuk makluman mak cik Saadiah baru sahaja meninggal dunia - al Fatihah

Hati mana yang tak remuk dan hancur bila di beritahu yang suami tersayang telah mati dibunuh komunis, lehernya disembelih, kemaluannya dikerat dan disumbat ke dalam mulut.

Manakala di pihak pasukan VAT 69 pula, sebaik saja kedengaran satu letupan kuat telah berlaku pada jam 11.30 pagi  28. Aug.1975 itu , ASP Zabri mula mengesyaki sesuatu perkara tidak baik telah menimpa pasukan penghantaran makanan. 

Beliau lantas menghubungi pihak Markas untuk membuat pengesahan. Apabila pihak Markas memberitahu anggota yang menghantar bekalan makanan telah berlepas diawal pagi, sedangkan waktu itu pula telah menghampiri tengahari, tanpa berlengah ASP Zabri telah mengarahkan Inspektor Anuar untuk segera menyiasat bagi mendapatkan kepastian.

Apabila anggota VAT 69 yang diketuai oleh Inspektor Anuar sampai di lokasi berlakunya serang hendap pada jam lebih kurang empat petang, mereka menemui pemandangan yang amat menyedihkan. Tompokan darah kelihatan di merata-rata tempat di tebing sungai. Bukti menunjukkan mangsa telah ditembak di tebing sebelum diseret ke sungai. Serpihan bot terapung-apung di permukaan air. Bot tersebut berkemungkinan besar telah dimusnahkan terlebih dahulu sebelum ditenggelamkan.  

Bunyi letupan yang mereka dengar mungkin datangnya daripada letupan minyak sebanyak  44 gelen yang sepatutnya digunakan untuk untuk menghidupkan generator Pos Tapong. Salah satu mayat anggota polis bantuan  yang sepatutnya menghantar bekalan makanan itu telah didapati terikat pada enjin bot sebaik saja bot itu diangkat. Terdapat kesan mangsa telah disiksa dan dibakar sebelum meninggal dunia sehingga mayatnya tidak dapat dicam lagi.

Operasi penggeledahan terpaksa dihentikan kerana cuaca gelap. Keesokan harinya sewaktu pencarian disambung semula, anggota VAT 69 telah menemukan tiga lagi mayat yang terapung di sungai. Tiga dari mayat mempunyai kesan tembakan yang menembusi badan-badan mereka, serta luka-luka besar akibat dikelar dan ditoreh dengan kejam oleh pengganas komunis. Ada juga yang matanya dicungkil keluar, leher yang dipenggal dan kemaluan yang telah dipotong-potong.

Penjejakan seterusnya menemui sebuah pangkin buluh yang dipenuhi dengan ikan salai, menunjukkan musuh telah berada di kawasan itu hampir seminggu dan melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand selepas serangan itu.

Anggota VAT 69 kemudiannya telah menghubungi Markas Taktikal. Markas Taktikal kemudiannya telah mengarahkan mereka membuat pembersihan kawasan di tepi tebing Sungai Perak untuk dijadikan sebagai LP bagi pendaratan helikopter untuk membawa keluar mayat-mayat anggota polis bantuan tersebut.

Keempat-empat mayat anggota malang itu telah diterbangkan ke Gerik dengan helikopter Nuri pada 29 dan 30 Ogos 1975.

Geram dengan apa yang berlaku, pasukan VAT 69 bertekad untuk menjejak komunis yang melakukan onar itu. Dengan tiga patrol yang masing-masing diketuai oleh Ismail Daud @ Ismail Rantai, Wan Tahir dan Sheikh Ismail telah ditugaskan untuk membuat pemburuan.  

Pada 2 September 1975 akhirnya pasukan VAT 69 berjaya mengesan kedudukan khemah musuh setelah enam hari menjejak mereka. Sebelum itu, anggota VAT 69 telah kehilangan jejak komunis dan ketika tiba di satu kawasan tanjung untuk mendapatkan bekalan air bersih, penjejak laluan ternampak musuh di kawasan sama. Serentak dengan itu, tiga patrol terdiri daripada 18 orang bergabung dalam barisan panjang, di mana kesemua mereka telah berpecah mengambil kedudukan. 

Lalu berlakulah pertempuran hebat dan sengit di antara patrol VAT 69 dengan gerombolan pengganas komunis yang dianggarkan antara 30 hingga 40 orang. Dalam pertempuran selama lebih dari empat puluh lima minit itu, seramai lapan belas pengganas komunis telah berjaya ditembak mati manakala dua anggota VAT 69 mengalami kecederaan parah iaitu Aziz Idris dan ketua patrol, Sheikh Ismail.  

Ketika pertempuran hebat sedang berlaku, operator semboyan anggota VAT 69 telah  menghubungi pasukan ASP Zabri yang sedang mengetuai pasukan lain di kawasan yang agak sedikit jauh untuk mendapatkan bantuan. ASP Zabri yang sedang berada di khemah pusat operasi segera membawa patrolnya untuk memberikan bantuan sebaik sahaja maklumat diterima.

Namun pergerakan mereka tidak sepantas yang diinginkan. Perjalanan terpaksa meredah hutan tebal lagi berbukit-bukau. Keadaan ini telah memaksa mereka bermalam di sebuah bukit kecil apabila malam menjelang tiba. Ditambah pula dengan iringan hujan yang lebat.

Mereka sampai ke lokasi pertempuran pada pagi 3 September 1975, di mana Ismail Daud dan Wan Tahir yang mengetuai dua patrol yang terlibat dalam pertempuran itu menyampaikan maklumat serta taklimat.

Dua anggota cedera parah termasuk  Sheikh Ismail, ketua patrol yang ketiga. Kedua-duanya diusung keluar. Pemburuan tidak dapat diteruskan memandangkan kawasan itu dipenuhi jerangkap samar serta berhampiran pula dengan sempadan Thailand di mana terletaknya kubu kuat komunis. Namun penggeledahan menjumpai pelbagai barangan yang ditinggalkan komunis itu. Antaranya selaras mortar besar, selaras mortar kecil, 60 kg ikan salai, 5 kilogram beras, 4 peket glukos, 15 tin kecil Milo, 2 tin besar Quaker Oats, sejumlah besar ubat-ubatan dari Thailand dan juga dokumen-dokumen bertulisan Cina. 

Turut dijumpai adalah barangan yang dirampas daripada anggota polis bantuan yang terkorban semasa serang hendap pengganas beberapa hari yang lalu. Tiga shotgun dan enam puluh katrij milik anggota serta enam bungkusan bekalan makanan yang sepatutnya dihantar ke Pos Tapong turut ditemui semula .

ASP Zabri kemudiannya telah mengarahkan pasukannya menghala ke tempat pendaratan helikopter yang jaraknya kira-kira sehari perjalanan bagi mengeluarkan anggota tercedera untuk mendapatkan rawatan. 

ASP Zabri telah mengarahkan anak buahnya agar tidak mengejar komunis kerana bimbang terkena perangkap samar dan minta tumpukan kepada misi membawa anggota keluar. Beliau juga telah mengingatkan anggota supaya jangan sesekali tersalah langkah terpijak jerangkap samar yang biasa dipasang di denai binatang.  

Malangnya semasa didalam perjalanan , ASP  Zabri sendiri yang terkena jerangkap samar . Beliau bersama penjejak orang asli Bah Uda yang berada di hadapan manakala penjejak Apot, berada di belakangnya .Ketika ingin melintasi kawasan sungai, ASP Zabri mungkin kerana  terlupa atau sememang ajalnya sudah sampai , telah tidak mengikuti jejak yang ditinggalkan oleh Bah Uda  dimana beliau telah memijak akar kayu yang dipasang perangkap dengan  bom jerangkap samar .

Kawasan itu tiba-tiba digegarkan dengan bunyi letupan. ASP Zabri terlambung ke udara. Selepas asap reda, anak-anak buahnya berlari mendapatkan beliau yang terbaring berlumuran darah. Kaki kanannya hancur sehingga ke paras but. Peha serta testikelnya berkecai.

Meski pun menanggung kesakitan yang teramat, beliau masih meminta peta dari anggota untuk mengenal pasti kedudukan mereka dan juga sebatang rokok. Dalam kesakitan itu juga, beliau masih meminta senjata untuk terus mengejar musuh. Sarjan Abdul Rahman cuba memberi rawatan awal disepanjang perjalanan .

Anggota platun menyiapkan usungan untuk membawa beliau keluar dalam keadaan penuh mencabar. Biarpun dimarahi namun mereka tidak ambil kisah kerana tahu yang beliau berada dalam kesakitan. Sebaik dimaklumkan tentang kejadian, pihak markas segera menghantar sebuah pesawat untuk mengeluarkan beliau tetapi usaha itu terhalang oleh hutan tebal yang tidak membenarkan pendaratan dibuat. 

Pesawat hanya dapat mendarat keesokan harinya iaitu pada 4 September 1975 di sebuah landing pad lama.

ASP Zabri telah menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan menuju ke LP  akibat dari pendarahan yang terlalu banyak. Beliau meninggal sejurus selepas diajar mengucap oleh Inspektor Ishak. 

Sebelum menghembuskan nafas terakhir inilah , terungkapnya kata-kata azimat yang sehingga kini menjadi pembakar semangat kepada anggota-anggota  Komando VAT 69 sehingga ke hari ini . Kata-kata terakhir dari seorang Pejuang Negara Berdarah Perwira.

"Teruskan perjuanganmu... hancurkan petualang negara. Buru dan hancurkan mereka...biarpun diriku tiada lagi!".

Pesawat Nuri yang mulanya dihantar untuk membawa keluar ASP Zabri yang parah akibat terpijak jerangkap samar yang ditanam oleh pihak musuh, kini akibat kelewatan telah bertukar membawa keluar jenazahnya dari kawasan Operasi Bamboo... kawasan yang  sekian lamanya telah menjadi padang permainan baginya. Kawasan di mana nama beliau kini terpahat dengan Tinta Emas dalam sejarah negara di dalam perjuangan menentang komunis.

Anggota VAT 69 kemudiannya telah  mendapat bantuan daripada Rejimen Komando Gerak Khas (RGK) dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat serangan udara di tempat tempat yang disyaki komunis melarikan diri . Anggota keselamatan yang berada dalam hutan dikumpul di tempat selamat dan serangan udara berlaku dua jam tanpa henti. Pasukan RGK kemudian meneruskan operasi darat bagi menghapuskan saki baki komunis di kawasan berkenaan .

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tapah, Perak dengan penuh istiadat penghormatan pasukan polis. Suasana sedih, sebak, tangisan dan titisan air mata menyelubungi di kalangan sanak saudara, keluarga dan sahabat handai serta warga PDRM, khasnya pegawai-pegawai dan anggota-anggota Komando 69 yang amat rapat dengan Allahyarham. Selain itu, Tun Haniff Omar (Ketua Polis Negara ketika itu), Ketua Polis Perak dan pegawai-pegawai polis hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak. Atas sumbangannya kepada negara, Allahyarham telah dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) oleh Sultan Perak (1972),  Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong (1976) dan pangkat  ASP secara post humous. Namanya diabadikan di sebuah kubu telah diabadikan di Fort Zabri di Grik, Perak yang kini sudah dirobohkan dan pada sebuah kenderaan APC Polis Diraja Malaysia.

Pada tahun 2014, selepas empat puluh tahun pemergian ASP Zabri dan selepas diasak oleh pelbagai pihak dan NGO yang perihatin kepada
nasib 'Bunga Bangsa' dan Pahlawan Negara yang telah mengorbankan nyawa demi mencipta sebuah keamanan kepada negara tercinta kita MALAYSIA akhirnya ASP Zabri telah dikurniakan dengan Darjah Tertinggi Seri Pahlawan Gagah Perkasa - SP oleh KDYMM SPB YD Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

TAMAT.








Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom