Cerita asal : Khairi Kamil
Pada tahun 1986, pihak kerajaan Filipina melalui Memorandum Order No 427 telah bertindak membatalkan sah taraf Kesultanan Sulu yang sebelum itu dipegang oleh Mahakuttah A. Kiram sebagai Sultan Sulu sejurus selepas kemangkatan beliau dalam tahun yang sama.
Sejak dari kemangkatan Sultan tersebut, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu walaupun pada masa itu terdapat dua pihak utama yang mengaku sebagai Sultan Sulu.
Pihak pertama adalah Muedzul Lail Tan Kiram, anak kepada Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina iaitu Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram. Beliau dilantik sebagai Raja Muda pada hari pertabalan bapa beliau sebagai sultan.
Manakala pihak kedua adalah Jamalul D. Kiram lll abang kepada ketua penceroboh, ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram.
Dalam barisan waris penuntut takhta, pihak yang kedua iaitu Jamalul D. Kiram lll dilihat lebih bersikap aggresif dan konsistan di dalam tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
Jamalul D. Kiram sebelum itu diketahui telah mempunyai hubungan yang agak baik dengan bekas President Gloria Macapagal Arroyo. Jamalul D. Kiram lll juga pernah mencalonkan diri sebagai Senator dari partai Arroyo pada pilihanraya tahun 2007. Bagaimanapun beliau telah tewas di dalam pilihanraya tersebut.
Manakala Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) sememangnya juga diketahui mempunyai hubungan yang baik dengan Jamalul D. Kiram lll. Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) melalui seorang jurucakapnya pernah meluahkan sokongannya kepada Jamalul D. Kiram III dengan menyatakan Kiram mempunyai asas dan hak di atas tuntutannya ke atas Sabah.
Kebangkitan Gerakan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) pada tahun 1968 untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang merdeka di Filipina Selatan telah menyebabkan keadaan di Selatan Filipina tidak stabil dari segi keselamatan. Keadaan yang sama juga telah mewujudkan haluan tidak menentu dalam hubungan di antara Kerajaan Malaysia dan Filipina.
Keadaan keselamatan di Selatan Filipina bertambah rumit apabila berlaku pula perpecahan di dalam MNLF sendiri di mana kemudiannya telah menyaksikan Gerakan Pembebasan Islam Moro (MILF) ditubuhkan pada tahun1977. Selanjutnya beberapa pecahan lain juga berlaku, seperti Kumpulan Abu Sayyaf dan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF).
Di samping itu, masalah ancaman keamanan di Selatan Filipina juga adalah tidak terkawal dengan kewujudan banyak kumpulan yang berpunca daripada perbalahan antara keluarga dan puak.
Pada tempoh 2 hingga 6 Februari 2013, telah meletus satu pertempuran di antara MNLF dan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, di mana penyokong kuat Kesultanan Sulu menetap.
Sehubungan itu, pada 3 Februari 2013, Kerajaan Filipina telah mengambil tindakan melancarkan operasi ketenteraan secara besar-besaran ke atas Jolo.
Tindakan ketenteraan tersebut menyebabkan MNLF, Abu Sayyaf dan MILF telah bergabung semula atas nama Wilayah Otonomi Muslim Mindanao (ARMM) untuk menentang campurtangan Kerajaan Filipina dalam hal ehwal mereka. Keadaan di Selatan Filipina tidak selamat daripada serangan tentera Filipina sehingga menyebabkan gerila ARMM mencari tempat perlindungan ke merata tempat termasuk ke negeri Sabah.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa pencerobohan oleh beberapa puak kumpulan gerila dari Selatan Filipina yang kemudiannya mendakwa sebagai Askar DiRaja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara di beberapa kawasan pantai Timur Sabah pada peringkat awalnya adalah bertujuan untuk mencari tempat perlindungan sementara akibat dari serangan besar-besaran yang telah dilakukan oleh tentera Filipina pada 3 Februari 2013 ke atas Jolo.
Pada 9 Februari 2013, satu kumpulan seramai 18 orang gerila telah mendarat di pantai Tambisan dan mereka berkubu di Kampung Tanduo. Kemudian kumpulan kedua seramai 100 orang gerila telah mendarat di Pulau Simunul dan Pulau Tawi-Tawi.
Manakala pada 11 Februari 2013 pula lebih dari 200 orang lagi yang sebahagian darinya lengkap bersenjata telah mendarat di Kampung Tandou, Lahad Datu, Sabah. Apabila pasukan Polis Diraja Malaysia bertindak mengepung Kampung Tanduo pada 12 Februari 2013, kumpulan gerila mula mendakwa diri mereka sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara.
Apa yang berlaku sebenarnya Jamalul D. Kiram lll telah melihat peluang keemasan terbentang di hadapannya untuk menggunakan kumpulan tersebut untuk kepentingan dirinya. Tindakan itu dilakukan setelah beliau membuat andaian terlebih dahulu bahawa tindakannya itu akan direstui oleh Kerajaan Filipina dan juga akan disokong sepenuhnya oleh MNLF melalui kepimpinan Nur Misuari.
Jamalul D. Kiram lll telah mengambil peluang untuk muncul pada 16 Februari 2013 dengan mengakui sebagai pewaris Sultan Sulu yang sah dan menuntut hak pemilikan ke atas negeri Sabah berasaskan warisan sejarah yang kabur.
Pengakuannya itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan waris yang lain. Mereka selanjutnya mengambil keputusan untuk tidak menyokong tindakan Jamalul D. Kiram lll tersebut.
Hajat kumpulan dari Filipina itu yang pada awalnya hanya untuk mencari tempat perlindungan telah beralih kepada tindakan menceroboh dan seterusnya menakluk Sabah setelah diapi-apikan oleh ketua mereka Agbimuddin Kiram. Hasrat menggunung kumpulan pengganas Sulu untuk menakluk Sabah bukan sahaja mendorong mereka menceroboh Kampung Tanduo dengan menggunakan senjata api dan senjata tajam malah turut menggunakan tangkal kononnya untuk membuatkan diri mereka kebal daripada ditembak dan dicederakan.
Kerajaan Malaysia yang pada peringkat awal pencerobohan lebih banyak menggunakan ruang diplomasi demi mengelakkan terjadinya pertumpahan darah terpaksa mengubah pendirian. Tindakan yang lebih keras terpaksa diambil apabila lapan orang anggota keselamatan telah terkorban di tangan kumpulan pengganas dalam satu serangan di awal bulan Mac 2013. Ops Daulat pun diisytiharkan pada 5 Mac 2013.
Operasi bersama di antara PDRM dan ATM dimulai dengan serangan dari udara dan diikuti pula oleh tembakan artillery telah menyebabkan banyak kemusnahan di pihak kumpulan pengganas Sulu.
Jamalul D. Kiram lll kini telah terperangkap di dalam percaturan bodoh politiknya sendiri di mana akhirnya beliau menyedari bahawa tindakannya itu telah tidak mendapat sokongan jitu dari rakan-rakannya baik dari puak pemisah maupun dari pihak kerajaan Filipina sendiri.
Bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari menyatakan bahawa ahli MNLF tidak mempunyai kaitan atau menyebelahi pihak Askar DiRaja Kesultanan Sulu. Manakala pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Muslimin Sema dalam kenyataan berasingan menyatakan bahawa pihak mereka menghormati keputusan Sabah untuk menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Murad Ibrahim selaku pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang juga merupakan kumpulan pemisah terbesar di Filipina telah menyatakan bahawa MILF tidak terlibat langsung dengan konflik ini. Beliau juga menyebut bahawa isu ini adalah satu perkara yang perlu diselesaikan melalui Kuala Lumpur dan pentadbiran Manila.
Hal ini telah mendorong Jamalul D. Kiram lll merayu kepada Kerajaan Malaysia untuk mengadakan gencatan senjata. Namun segala-galanya telah terlewat. Jamalul D. Kiram lll yang telah memulakan pencerobohan berdarah di Lahad Datu itu harus menerima segala musibah dan akibat yang bakal menimpanya hasil dari tindakan bodohnya itu.
Ada pihak-pihak yang telah mempertikaikan kenapa kerajaan Malaysia tidak bertindak pantas sebaik sahaja kumpulan pengganas itu dilapor telah mendarat di Kampung Tandou pada 11 Mac 2013? Kenapa kerajaan Malaysia tidak mengarahkan pihak Angkatan Tentera Malaysia untuk terus menggempur mereka?
Kenapa Angkatan Tentera Malaysia hanya dikerah selepas Ops Daulat diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia?
Sebenarnya untuk menjawab persoalan ini, banyak perkara sensitif yang perlu diambil kira oleh pihak pasukan keselamatan dan pemimpin kita sebaik sahaja bermulanya hari pertama kumpulan pengganas dilaporkan mendarat di Kampung Tandou, Sabah.
Àntara faktor yang diambil kira adalah terdapat beribu-ribu rakyat negara kita terdedah dalam zon peperangan yang luas. Keselamatan mereka perlu diambil kira terlebih dulu sebelum apa-apa tindakan ketenteraan dilakukan. Kesukaran dalam mobilisasi penduduk dan kerosakan harta benda harus dielakkan. Mereka tidak boleh dijadikan perisai dan mangsa konflik atau dijadikan tebusan oleh pihak musuh.
Di samping itu kerajaan juga sedaya-upaya berusaha untuk mengelakkan pertumpahan darah sesama Islam dan merumitkan lagi permasalahan etnik Sulu di Sabah yang sekian lama menjadi duri dalam daging terhadap keselamatan negara. Sebab itulah strategi "berunding" tanpa kekerasan dimulakan terlebih dulu. Proses ini memakan masa yang agak lama.
Selain dari itu, oleh kerana pencerobohan telah dilakukan oleh mereka yang mendakwa dari Askar DiRaja Kesultanan Sulu yang tidak diiktiraf oleh Manila, maka pada peringkat awalnya pihak PDRM yang bertanggung jawab di atas keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam telah diberi tanggung jawab sepenuhnya untuk membuat tindakan susulan.
Jika berlaku sebarang tangkapan semasa operasi, maka mereka ditakrifkan sebagai “tahanan” polis dan tidak “tawanan” tentera. Sebab itulah polis terpaksa dikerahkan terlebih dulu sebelum bantuan tentera dihantar kemudiannya apabila keadaan telah bertambah buruk.
Satu lagi adalah apabila takrifan “penceroboh” yang akhirnya diklasifikasikan sebagai “pengganas” telah dipersetujui oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert del Rosario yang membuat kenyataan bersama dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman di Kuala Lumpur. Maka jika ada berlakunya kes-kes tangkapan, tuduhan yang akan dikenakan nanti adalah tertakluk kepada kesalahan keganasan dan bukan kesalahan perang di Malaysia.
Apa yang pastinya di dalam keadaan tidak menentu diawal pencerobohan, kerajaan Malaysia telah cuba sedaya upaya untuk mengelakkan konflik bersenjata dengan pihak tentera dari negara jiran sekiranya kumpulan penceroboh turut disertai oleh tentera dari negara tersebut.
Untuk rekod diakhir Operasi, seramai sepuluh anggota dari Pasukan Keselamatan kita telah terbunuh, lapan dari pihak PDRM dan dua dari pihak ATM termasuk Prebet Ahmad Farhan Roslan yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya semasa menjalankan tugas. Kesemua anggota dari Pasukan Keselamatan yang gugur telah dinaikkan ke pangkat yang lebih tinggi sebagai salah satu langkah kerajaan untuk menghargai jasa-jasa mereka.
Sementara itu seramai enam puluh lapan orang dari pengganas Sulu telah terkorban manakala seratus dua belas orang pula telah ditangkap. Dari jumlah tangkapan tersebut, seramai tiga puluh orang telah dituduh di atas pelbagai kesalahan. Sembilan dari mereka dituduh di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Turut didakwa di bawah seksyen ini adalah anak saudara kepada Jamalul Kiram ,Datu Amirbahar Hushin Kiram .
Pada 8 Jun 2018, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan warga Filipina yang terlibat dengan pencerobohan bersenjata Lahad Datu berkenaan.
Pelaku utama pencerobohan Lahad Datu, Jamalul D. Kiram III dilaporkan telah meninggal dunia kerana masalah jantung dan buah pinggang pada 20 Oktober 2013. Manakala adiknya yang mengetuai serangan Agbimuddin Kiram, 74, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Barangay Tubig Indangan di pekan Siminul, Tawi-Tawi pada Januari 2015.
Jasa 10 wira negara yang terkorban dalam Ops Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.
Al-Fatihah kita sedekahkan kepada Bunga Bangsa, perwira-perwira negara kita Malaysia.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: