Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri





Perang Perak yang bermula sejurus selepas Residen British Pertama Negeri Perak, J.W.W. Birch terkorban pada 2 November 1874 di Pasir Salak akhirnya tiba ke pengakhirannya apabila tentera British yang dibawa masuk dari India dan Hong Kong menang dalam pertempuran terakhir di Kampung Kledang, Enggor dan Prek.

Dalam pertempuran di Prek (sebuah tempat yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari Enggor), pasukan Melayu yang bertahan telah melepaskan tembakan terhadap pasukan British yang menghampiri kubu mereka.

Dengan itu pasukan British di bawah Kapten Barnett dan Kapten Churchill membalas serangan itu. Setelah kampung tersebut diduduki, sebanyak 15 rumah telah dibakar termasuklah rumah milik Seri Lela Paduka dan Kadir yang mengetuai serangan terhadap British.

Selepas serangan terakhir tersebut, pemimpin dan pengikut yang terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak gagal mengatasi kemaraan pasukan tentera British.

Mereka terpaksa berundur dan bersembunyi di kawasan pendalaman. Selain daripada itu ada yang mengambil keputusan untuk menyerah diri. Tindakan itu diambil disebabkan lahirnya tanggapan dikalangan mereka bahawa perjuangan mereka sudah tidak bermakna lagi.

Kemudian gerakan Raja Mahmud dan Raja Indut, keduanya dari Selangor yang mengawal Sungai Dedap atas arahan Swettenham telah menyebabkan bekalan dan jalan keluar bagi pasukan Dato Maharaja Lela tersekat serta menyukarkan lagi usaha beliau untuk menyelamatkan diri.

Penglibatan Maharaja Johor dalam insiden Perang Perak ini bermula apabila Gabenor Sir William Jervois berpendapat adalah lebih baik dan lebih selamat jika Sultan Ismail yang berada dalam buangan di Kedah dihantar ke Johor sebagai tahanan dan dikawal rapi.

Beliau pula mengharapkan Maharaja Abu Bakar akan menyediakan keselesaan yang perlu kepada Sultan Ismail. Dalam usaha ini Gabenor Jervois menghubungi Maharaja Abu Bakar dalam suratnya yang bertarikh 27 Mac 1876, memaklumkan bahawa Sultan Ismail, dua orang putera baginda, Dato Nara, Panglima Perang Semaun dan 13 orang pembantu akan dihantar ke Johor Bahru pada tengah hari 27 Mac 1876 menggunakan kapal perang H.M.S. Ringdove.

Gabenor berharap Maharaja Abu Bakar menerima Sultan Ismail. Oleh kerana Sultan Ismail bersifat sebagai orang tahanan, Gabenor meminta Maharaja Abu Bakar tidak memberi penghormatan kepada baginda.

Dalam pada itu, Gabenor bercadang membawa keluarga Sultan Ismail yang masih berada di Kedah ke Johor. Maharaja Abu Bakar menerima cadangan gabenor ini. Baginda juga memberi jaminan untuk mengawasi Sultan Ismail.

Sultan Ismail tiba di Johor Bahru pada petang 27 Mac 1876 dan sejurus tiba, baginda diletakkan dibawah kawalan Maharaja Abu Bakar sebagai tahanan di Johor.

Dalam gerakan untuk memburu para pemimpin yang terlibat dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan Perak, pihak British telah mengeluarkan pengisytiharan tawaran hadiah.

Pada 13 Januari 1876, tawaran hadiah sebanyak $6,000 dikeluarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Dato Maharaja Lela, dan $3000 tiap-tiap seorang bagi sesiapa yang berjaya menangkap Dato Sagor dan Pandak Indut.

Dato Maharaja Lela selepas pertempuran, beliau bersama pengikutnya telah berundur ke Patani. Disebabkan itu Gabenor Sir William Jervoid telah menulis surat bertarikh 30 Disember 1875 kepada T.G.Knox di Bangkok memohon kerajaan Siam mengarahkan Raja Patani supaya tidak menerima kedatangan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya.

T. G. Knox mengambil tindakan susulan dengan menulis surat kepada Chao Phya Surawongse Way Waddhu Phra Kalahom, Menteri Jajahan Selatan bertarikh 21 Januari 1876, mohon mengarahkan Raja Melayu di Selatan Thailand supaya tidak menerima pelarian Perak.

Beliau juga diminta menangkap pelarian tersebut dan menyerahkannya kepada kerajaan British. Kerajaan Siam melalui Pemangku Raja berjanji akan menghantar kapal perang ke Senggora (Songkhla) di bawah Pesuruhjaya Siam.

Sementara itu Gabenor juga meminta bantuan Sultan Kedah menangkap Dato Maharaja Lela sekiranya beliau datang ke Kedah. Sultan Kedah menyatakan kesanggupan untuk menyerahkan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya sekiranya didapati mereka lari ke Kedah.

W.E.Maxwell dan pasukannya telah ditugaskan untuk menjejaki Dato Maharaja Lela. Setelah berada tidak lama di Kampung Kerni, Reman, Dato Maharaja Lela kembali semula ke Perak.

Beliau tinggal bersama Seri Paduka Lela di sebuah kampung kecil, di antara Kampung Salak dan Kampung Kepayang kira-kira 10 kilometer dari Kota Lama.

Disebabkan tu, Gabenor Jervois cuba untuk mendapatkan khidmat Maharaja Abu Bakar dari Johor untuk menangkap Dato Maharaja Lela. Maharaja Abu Bakar bersetuju dengan kemudian menghantar utusan yang diketuai oleh Orang Kaya Abdul Rahman bagi memulakan rundingan.

Utusan ini diarahkan untuk memaklumkan kepada Dato Maharaja Lela bahawa perbicaraan yang adil akan dijalankan sekiranya beliau menyerah diri. Rombongan ini berangkat ke Perak melalui Kedah dan tiba di Kuala Kangsar pada 16 Jun 1876.

Orang Kaya Abdul Rahman bertemu dan berbincang dengan Dato Maharaja Lela di Hulu Perak. Dalam perbincangan itu, Dato Maharaja Lela menyatakan bahawa beliau sanggup untuk menyerah diri tetapi hendaklah diletakkan di bawah perlindungan Maharaja Abu Bakar.

Pada 26 Jun 1876 Orang Kaya Abdul Rahman kembali ke Kuala Kangsar dengan membawa bersamanya Ngah Jabor. Kesediaan Dato Maharaja Lela berangkat ke Johor dimaklumkan oleh J.G. Davidson kepada Gabenor Jervois.

Dengan itu Gabenor Jervois meminta Maharaja Abu Bakar menghantar kapalnya ke Perak bagi membawa Dato Maharaja Lela dan pengikutnya ke Johor bagi mendapat perlindungan. Beliau seterusnya meminta Davidson untuk memaklumkan kepada Dato Maharaja Lela bahawa Maharaja Abu Bakar akan menghantar kapal baginda, Panti untuk membawa Dato Maharaja Lela dan pengikutnya ke Johor nanti.

Pada 3 Julai 1876 kapal Panti tiba di Pulau Pinang. Rombongan kali ini terdiri daripada saudara kepada Maharaja Johor, William Hole, Setiuasaha Sulit Maharaja dan 20 orang pegawai dari kerajaan Johor.

William Hole membawa surat daripada Sultan Ismail kepada Dato Maharaja Lela yang menyatakan baginda dilayan dengan baik oleh British. William Hole mencadangkan surat ini dibawa oleh saudara Maharaja Abu Bakar sendiri untuk diserahkan kepada Dato Maharaja Lela.

Ngah Jabor disyorkan untuk sama-sama berangkat bagi mempengaruhi Dato Maharaja Lela dan pengikutnya untuk ke Johor menaiki kapal Panti. Gabenor Jervois kemudiannya bersetuju dengan cadangan William Hole ini.

Pada 6 Julai 1876, kapal Panti berlepas ke Larut dan kemudiannya ke Kuala Kangsar. Pada 8 Julai 1876, terdapat laporan bahawa Dato Maharaja Lela berada di Kota Lama.

Dengan itu William Hole, saudara Maharaja Abu Bakar dan Orang Kaya Abdul Rahman berangkat ke Hulu Perak bagi bertemu Dato Maharaja Lela. Di antara yang hadir bersama-sama Dato Maharaja Lela ialah Pandak Indut dan Tok Seri Lela.

Setelah menyerahkan surat Sultan Ismail dan berbincang, utusan William Hole pulang ke Kuala Kangsar. Dato Maharaja Lela pula pulang menemui keluarganya. Selepas beberapa ketika mengambil masa untuk berbincang dan berunding, Dato Maharaja Lela akhirnya mengambil keputusan untuk berangkat ke Johor dengan kapal Panti.

Akhirnya, pada 13 Julai 1876, Dato Maharaja Lela, Pandak Indut dan Ngah Jabor dibawa menaiki kapal Panti dari Larut ke Singapura. Mereka tiba di Singapura pada 20 Julai 1876. Seterusnya Dato Maharaja Lela dan pengikutnya diserahkan di bawah jagaan Maharaja Abu Bakar di Johor.

Setelah menyerahkan Dato Maharajalela dan pengikutnya kepada kerajaan Johor seperti yang disepakati dalam rundingan sebelum ini, Gabenor Jervois kemudiannya memberi tempoh selama lima hari kepada Maharaja Abu Bakar untuk menyerahkan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk menghadapi tindakan undang-undang.

Gabenor Jervois kemudiannya memuji Davidson dan William Hole di atas kejayaan besar membawa Dato Maharaja Lela dan pengikutnya ke Singapura. Di samping itu, beliau turut mengucapkan terima kasi kepada Maharaja Abu Bakar.

Langkah Dato Maharaja Lela menyerah diri ini dikatakan dibuat kerana beliau bimbang dirinya akan terkorban di dalam hutan dibunuh oleh mereka yang tidak mahu beliau memberi keterangan tentang pembunuhan J.W.W. Birch.


Pada 21 Julai 1876, Dato Maharaja Lela telah menyerahkan dokumen yang menyatakan bahawa Sultan Abdullah merupakan pemimpin yang bertanggungjawab memberi arahan kepada Seputum untuk membunuh J.W.W. Birch.

Surat ini ditulis atas kertas kosong dan ditandantangani serta dicap mohor oleh Sultan Abdullah. Dato Maharaja Lela, Ngah Jabor dan Pandak Indut kemudian mengeluarkan kenyataan yang menafikan penglibatan mereka dalam pakatan membunuh J.W.W. Birch.

Dalam pada itu, Gabenor Jervois memaklumkan kepada Maharaja Abu Bakar meminta supaya memanjangkan kepada Dato Maharaja Lela, Ngah Jabor, Pandak Indut, Panjang Bur dan Che Ali supaya menyerah diri terlebih dahulu kepada kerajaan British. Barulah mereka akan dibicarakan dengan adil. Sekiranya mereka didapati tidak bersalah sebagaimana tuduhan yang dikenakan keatas mereka, mereka akan dibebaskan.

Setelah mendapat janji mulut daripada Gabenor dan jaminan oleh Maharaja Abu Bakar bahawa mereka akan diadili di mahkamah dan boleh mendapatkan bantuan guaman, barulah Dato Maharaja Lela dan pengikutnya sanggup menyerah diri.


Dengan itu Maharaja Abu Bakar menulis surat kepada Gabenor pada 29 Julai 1876 menyatakan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya secara sukarela akan menyerah diri dengan jaminan diadili di mahkamah.

Surat itu dibawa oleh Dato Bentara Setiuasaha Kerajaan Johor dan William Hole, Setiausaha Sulit Maharaja Johor kepada Gabenor. Gabenor pula menyatakan bahawa kenyataan Maharaja Johor di dalam suratnya tentang pengadilan di mahkamah adalah tepat dan tindakan yang diambil adalah mengikut undang-undang.

Dato Maharaja Lela dan pengikutnya akhirnya datang menyerah diri kepada kerajaan British di Singapura pada 30 Julai 1876. Perbicaraan yang akan diadakan nanti adalah berdasarkan bidang kuasa negeri Perak. Gabenor Jervois menyatakan bahawa mereka yang ditahan akan diberi layanan yang memuaskan oleh kerajaan British.


Earl of Carnavon bagi pihak kerajaan British meminta Gabenor Sir William Jervois menyampaikan ucapan terima kasih kepada Maharaja Johor yang membantu sehingga tertangkapnya Dato Maharaja Lela dan pengikutnya. Seputum pula ditangkap oleh Mahmin, Odah Pulau, Alang Rupah, Odah Mat Kasim dan Si Kumbang di Lambor.

Sumber: www.orangperak.com & Pasir Salak: Pusat Gerakan menentang British di Perak oleh Prof Madya Dr Abdullah Zakaria Ejam Ghazali

Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom