Seorang lelaki yang sedang asyik menangkap ikan di Sungai Towy di Wales tidak sangka menjumpai sebilah keris yang dikira berusia ratusan tahun apabila artifak itu tersangkut pada jaring menangkap ikan miliknya.
Keris lama yang dijumpai itu dipercayai dibuat pada tahun 1700 dan kajian serta siasatan akan dibuat bagi mengenalpasti bagaimana keris itu boleh berada di Sungai Towy dan sudah berapa lama ia berada di situ.
Andrew Davies, berasal daripada Carmarthen berkata, ketika beliau sedang menangkap ikan pada suatu malam di Sungai Towy dan ketika jaring diangkat, beliau mendapati wujud sebatang besi berupa seperti pedang terlekat pada jaring menangkap ikan.
“Saya pelik dengan bentuk pedang itu kerana tidak pernah lihat senjata seperti itu, namun saya pasti ianya adalah senjata yang digunakan pada zaman dahulu kala.
Pegawai Muzium Carmarthenshire, Gavin Evans berkata, beliau telah menghantar gambar keris itu kepada pihak muzium di London, namun masih belum mendapat maklum balas.
“Saya belum mendapat apa-apa berita dan maklumat daripada pihak di London, namun daripada pemerhatian awal pihak kami senjata itu berasal daripada Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia di rantau Asia.
“Pada mulanya kami menyangkakan ianya berasal daripada zaman pemerintahan Rom, namun ia memiliki ciri-ciri yang lebih eksotik pada bentuk dan bahan yang digunakan untuk membuat keris itu juga menunjukkan ianya daripada sekitar Asia dan pada zaman dahulu ianya dijadikan senjata utama di Malaysia, Brunei, Thailand, Indonesia dan Filipina,” katanya.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: