Ops Bamboo adalah satu operasi terpenting dan yang paling lama dilancarkan oleh pihak pasukan keselamatan bagi menentang dan menghapuskan pengganas komunis bermula dari zaman darurat pada tahun 1959 sehinggalah tamatnya ancaman komunis berikutan dari Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989.
Ops Bamboo ini adalah satu-satunya operasi memburu pengganas komunis di hutan belantara yang telah diserahkan sepenuhnya di bawah perintah dan kawalan pihak PDRM sejak ianya dilancarkan pada tahun 1959. Pada ketika itu, Pasukan Senoi Praaq dan Batalion-Batalion Pasukan Polis Hutan telah ditugaskan untuk menjalankan operasi-operasi memburu komunis dengan dibantu oleh pihak Cawangan Khas.
Ops Bamboo meliputi kawasan hutan belantara yang amat luas sehingga melibatkan dua buah negeri iaitu negeri Perak dan Kelantan di samping bersempadanan dengan negara Thailand.
Kewujudan Banjaran Titiwangsa di dalam kawasan Ops Bamboo ini telah menambah tahap kesukaran bagi anggota keselamatan untuk mengesan dan memburu pengganas komunis.
Terdapat juga beberapa kubu atau fort yang telah dibina untuk penempatan orang-orang asli di dalam kawasan Ops Bamboo ini di negeri Perak dan Kelantan antaranya Fort Cabai, Fort Kemar, Fort Legap, Ford Gob, Fort Terhong à ntara yang terkenal di samping beberapa lagi penempatan atau Fort yang kewujudannya hanya diketahui oleh anggota-anggota pasukan keselamatan khususnya anggota PPH, Senoi Praaq dan unit elit Komando VAT 69.
Ops Bamboo ini agak sinonim dengan pasukan Senoi Praaq dan anggota VAT 69. Tugas-tugas operasi biasa lazimnya dijalankan oleh anggota dari Pasukan Senoi Praaq dan Batalion-Batalion dari PPH. Manakala untuk tugas-tugas khas yang melibatkan maklumat berkelas tinggi kebiasaannya akan diserahkan kepada anggota-anggota dari unit Komando VAT 69 untuk tinjauan dan memburu pengganas komunis di kawasan operasi ini.
Pasukan Senoi Praaq diketahui mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang amat tinggi mengenai selok belok hutan belantara terutamanya ilmu mengesan jejak. Dengan kebolehan semula jadi itulah pihak komunis telah cuba berbuat baik dengan mereka dengan harapan mereka boleh di rekrut untuk
menyertai gerombolan pengganas atau setidak-tidaknya akan menjadi tali barut yang akan membekalkan makanan atau memberi maklumat mengenai kehadiran pasukan keselamatan di sesuatu kawasan.
Jadinya penugasan Senoi Praaq di kawasan Ops Bamboo ini adalah merupakan penugasan serampang dua mata. Dari satu segi adalah untuk memburu pengganas komunis manakala satunya lagi adalah untuk memujuk atau mencegah orang-orang asli dari terjebak atau termakan hasutan dari pihak pengganas.
Oleh kerana kemahiran mereka di dalam menjejak kesan musuh di dalam hutan, terdapat sebahagian dari anggota Senoi Praaq telah diserap masuk ke dalam unit elit Komando VAT 69. Salah seorang daripada mereka yang amat terkenal serta banyak meninggalkan jasa adalah SM Apot anak Saat yang telah dianugerahkan Pingat PGB pada tahun 2015.
Bagi ASP Zabri yang telah beberapa kali ditugaskan di dalam Ops Bamboo ini, di mana setiap tugasan akan memakan masa selama dua bulan, kawasan hutan belantara di dalam Operasi Bamboo ini seolah-olah sebuah padang permainan baginya. Beliau amat cekap dalam selok belok hutan ini dan mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam ilmu pandu arah dalam hutan.
Tidak seperti anggota PPH yang menjalankan operasi di hutan dengan kekuatan satu platun yang mengandungi seramai empat puluh dua anggota, anggota dari unit Komando VAT 69 kelazimannya akan bergerak dalam hutan dengan kekuatan seramai enam orang bagi satu patrol. Mereka amat terkenal dengan kebolehan 'six man patrol'. Saya pernah belajar kawad ini secara asasnya sahaja sewaktu menghadiri kursus asas pertempuran di hutan anjuran SLPPH dahulu.
Keadaan sebegini ditambah pula dengan disiplin hutan yang amat tinggi telah membolehkan mereka bergerak dan kadangkalanya menyusup ke dalam khemah-khemah pengganas tanpa disedari oleh pihak musuh. Kebolehan dan kemahiran ini jugalah yang telah menyebabkan pengganas komunis berasa amat gerun dengan anggota VAT 69 dan juga yang telah memberikan banyak kejayaan kepada Pasukan Komando VAT 69.
Banyak kejayaan yang telah diraih oleh ASP Zabri bersama pasukannya sewaktu menjalankan misi mengesan dan memusnahkan musuh di sepanjang hampir tiga tahun beliau terlibat dalam Operasi Bamboo ini. Dari sekecil kejayaan mengesan dan memusnahkan khemah-khemah pengganas komunis dan food dumb sehinggalah kepada kejayaannya membunuh beberapa orang pengganas komunis yang kini kekal terpahat didalam sejarah perjuangan menentang komunis di negara kita.
Dalam satu tugasan Operasi Bamboo yang dijalankan pada 8 Mei 1973, ASP Zabri dan pasukannya telah ditugaskan untuk memeriksa dan mengesahkan maklumat berkelas tinggi dari pihak Cawangan Khas yang menyatakan bahawa pengganas komunis kini cuba untuk membina semula rangkaian penyokong dan operasi mereka di negeri Pahang.
Perjalanan dari Ulu Kinta meredah hutan belantara merentasi Banjaran Titiwangsa yang berbukit bukau dan bergunung-ganang telah memakan masa selama tujuh hari sebelum mereka menjumpai jejak pertama pengganas komunis yang terputus-putus. Walaupun mereka terpaksa mencatu makanan akibat bekalan makanan yang hampir kehabisan, mereka tetap meneruskan penjejakan selama hampir sepuluh hari sebelum akhirnya bekalan makanan sampai melalui penghantaran udara.
Penjejakan itu akhirnya berhasil menemukan dua puluh enam khemah kecil pengganas komunis yang telah ditinggalkan di mana khemah-khemah tersebut dimusnahkan kemudiannya. Penemuan khemah-khemah kecil tinggalan pengganas komunis ini telah membuktikan bahawa komunis sedang giat menjadikan Pahang sebagai pusat gerakan mereka yang baru.
Siri berikut Operasi Bamboo yang telah dijalankan oleh ASP Zabri bersama pasukannya bermula pada 11 Februari 1974. Operasi ini dijalankan sebagai tindak balas terhadap tindakan komunis yang telah menculik dan membawa seluruh penduduk Orang Asli di Pos Gob berjumlah dua ratus lima puluh orang ke kawasan pusat kegiatan mereka di Ulu Puian, Sungai Singor dan Sungai Bertak .
Tindakan drastik pengganas komunis ini berjaya dilakukan selepas mereka berjaya mempengaruhi penghulu orang-orang asli di Pos Gob tersebut. Dari jumlah itu, seramai dua puluh lima orang asli terus ditahan setelah dipilih atas kelayakan bagi dimasukkan ke dalam pasukan mereka, manakala yang selebihnya dihantar pulang ke Pos Gob.
Lima daripada yang ditahan itu adalah anggota Senoi Praaq yang telah berkahwin dengan wanita daripada pos tersebut. ASP Zabri dan pasukannya telah ditugaskan menjejak dan mendapatkan kembali kesemua anggota Senoi Praaq yang telah ditahan tersebut.
Pusat Operasi Taktikal (TAC) telah di buka di Kuala Tiang, Sungai Perak pada 11 Mac 1974 dan 3 patrol (18 anggota) ditugaskan memulakan penjejakan di Lembah Singor. Keesokannya, pasukan telah menemui kesan komunis iaitu 8 tempat rehat berkemampuan memuatkan antara 6 hingga 8 anggota terletak berjarak 1000 meter antara setiap satu yang baru saja ditinggalkan.
Dalam penjejakan seterusnya pada 22 Mac 1974 , sembilan belas lagi tempat rehat telah dijumpai bersama-sama 3 bekas senjata dan 3 tempat simpanan makanan, yang menyimpan daging dan lemak gajah, serta peralatan lain seperti petrol dan minyak enjin (untuk menghidupkan generator), uniform hijau, dettol, pita kaset, alat menggali dan perangkap binatang. Keesokannya, ASP Zabri terdengar suara orang bercakap semasa membuat penjejakan dan terus mengarahkan dua anggotanya, Tracker Apot dan Jantan untuk mengesan suara tersebut.
Tiga puluh meter di hadapan mereka, kedua-duanya telah terjumpa jejak daun-daun kering yang digunakan untuk menutup laluan yang digunakan oleh komunis. Laluan itu membawa kepada penemuan sebuah tebing yang membawa kepada satu kawasan lapang dipenuhi batu-batu yang sederhana besar di mana tiga pengganas komunis sedang menyediakan bekalan makanan untuk tujuan simpanan.
ASP Zabri segera menyusun perancangan. Satu patrol akan maju menyerang musuh manakala satu lagi akan melakukan back stop bagi menyekat pergerakan musuh seterusnya. Ketika mengambil kedudukan untuk serangan, patrol back stop terdengar bunyi di bahagian belakang mereka, disusuli kehadiran mengejut seorang komunis yang membawa ayam hutan dan buah-buahan bersamanya. Terkejut dengan kehadiran anggota patrol VAT 69 di hadapannya, pengganas komunis tersebut cuba melepaskan tembakan tetapi tindakan pantas anggota patrol telah melepaskan tembakan pertama terlebih dulu.
Mendengar bunyi dentuman yang menumbangkan rakan mereka, empat lagi anggota musuh muncul dari bahagian belakang. Lalu berlaku pertempuran sengit yang menyaksikan kedua-dua patrol penyerang dan back stop kini telah terperangkap di tengah-tengah kedudukan musuh. Tiga orang musuh di bahagian hadapan dan empat orang lagi di bahagian belakang mereka. Mujurlah kedudukan rapat rumpun buluh yang ada berjaya menghalang tembakan daripada musuh mengenai mereka. Walaubagaimanapun, pertarungan selama setengah jam itu menyaksikan seorang anggota komunis cedera manakala Koperal Aziz cedera ditembak di bahagian perut.
Penggeledahan berikutnya menemukan 6 periuk aluminium, 13 botol air, 2 tin berisikan beras, 4 tin quaker oats, 4 tin susu cair cap junjung, 5 kati tepung gandum, 10 kilogram gula, satu tin ubat-ubatan dan hampir 400 kilogram daging gajah salai selepas musuh melarikan diri.
Pertempuran ini mendedahkan hakikat bahwa kedudukan tersebut yang terletak jauh ke dalam belantara dan menjadi laluan strategik pergerakan bantuan makanan yang meliputi selatan Thailand, Kelantan dan ke Ulu Perak membolehkan komunis menggunakan selatan Thailand sebagai pusat operasi dan perkampungannya selepas tahun 1968.
Untuk Operasi Bamboo berikutnya yang bermula pada 18 Mei 1974, pihak VAT 69 telah berjaya mengesan dan menemui empat buah khemah dan tiga puluh lima tempat rehat sementara serta tiga tempat simpanan makanan (food dumb) pengganas komunis. Untuk Operasi Bamboo kali ini sebanyak empat patrol anggota VAT 69 telah dilibatkan dalam operasi yang berterusan.
Manakala pada 21 Jun 1974, ASP Zabri dengan kekuatan empat patrol (24) anggota VAT 69 telah ditugaskan kembali ke Lembah Singor.
Selepas diturunkan daripada pesawat di Fort Gob, perjalanan kaki diteruskan selama dua hari dengan menyeberangi sempadan Kelantan dan Perak ke Point Bravo, terus ke titik pertemuan Sungai Singor dan Sungai Rambutan yang dipanggil Point Charlie.
Tinjauan ke satu pondok yang dijumpai mendapati pondok tersebut telah ditinggalkan oleh pengganas komunis. ASP Zabri seterusnya telah mengarahkan satu pos OP diwujudkan bagi memantau pondok itu. Lokasinya juga sesuai untuk digunakan sebagai penampan daripada serangan musuh serta melancarkan serangan hendap terhadap pengganas komunis.
Bagi menjaga kerahsiaan pergerakan, anggota patrol terpaksa menggunakan laluan belakang pondok itu yang dipenuhi dengan tahi gajah. Sebarang perbualan tidak dibenarkan samasekali melainkan dengan cara berbisik untuk menyampaikan perkara-perkara yang penting sahaja. Tugasan kawalan digilirkan setiap 6 jam, dan claymore mine sebagai perangkap diaktifkan antara jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam pada setiap hari di kawasan berdekatan pondok itu.
Selama empat puluh satu hari operasi berjalan, tiada berlaku sebarang pergerakan maupun pertempuran dengan pihak musuh. Namun pada hari yang ke empat puluh dua, ASP Zabri telah terdengar bunyi letupan dan tembakan. Tinjauan mendapati letupan itu telah menyebabkan seorang komunis wanita terbaring berlumuran darah tidak berapa jauh daripada pos kawalan anggota VAT 69. Laporan daripada anggota yang berkawal menyatakan bahawa mereka ternampak 3 komunis telah muncul di kaki bukit tersebut. Seorang daripadanya telah merangkak ke arah pondok itu dan mengambil segulung kertas kecil yg terselit di celah atap pondok itu, sementara 2 lagi rakannya berlindung di belakang pokok.
Tembakan telah dilepaskan oleh anggota VAT 69 yang berkawal apabila komunis itu cuba bergerak meninggalkan pondok tersebut.
Tembakan pertama dari anggota VAT 69 seterusnya telah mencetuskan berbalas tembakan daripada kedua-dua pihak. Anggota yang merangkak itu telah terbunuh manakala kedua-dua rakannya berjaya melarikan diri. Penjejakan yang dilakukan kemudiannya gagal menemukan mereka semula.
Terjemahan tulisan cina pada nota kecil itu mendedahkan arahan untuk dua kumpulan komunis bertemu di satu titik pertemuan dua sungai yang tidak tercatat di dalam peta rujukan dan gerakan yang dibekalkan kepada pihak komando. Malah nama sungai itu juga menggunakan nama orang asli yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya yang turut menjadi pembekal makanan dan jurupandu arah. Pengganas orang asli itu juga sangat cekap mengelirukan maklumat supaya tidak mudah difahami oleh pihak keselamatan.
Sepatutnya perjumpaan itu berlaku pada hari itu, tetapi penjejakan keesokannya mendapati tempat pertemuan telah ditinggalkan selepas kegagalan pasukan kedua untuk tiba dalam tempoh 48 jam seperti yang ditetapkan.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: