Cerita asal oleh Khairi Kamil
Saya mula mendengar nama ASP Zabri sewaktu mengikuti kursus asas peperangan di hutan yang diadakan di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta (SLPPH) pada awal tahun 1979. Kursus asas ini adalah kursus wajib yang perlu dihadiri oleh pegawai-pegawai yang telah ditukarkan ke Pasukan Polis Hutan sebelum mereka layak memegang platun ataupun bergelar Platun Komander.
Nama ASP Zabri disebut berkali-kali dari mulut para jurulatih untuk menaikkan semula semangat kami para pelatih apabila didapati kami mula keletihan dan kurang bersemangat untuk meneruskan sesi latihan yang amat memeritkan ketika itu.
Pada ketika itu nama ASP Zabri telah begitu terkenal dalam Pasukan Polis Hutan khususnya dalam unit elit Komando 69.
Tidak keterlaluan jika dikatakan ASP Zabri memang menjadi idola bagi pegawai-pegawai baru maupun pegawai lama di dalam PPH.
Di mess pegawai SLPPH pada masa itu terdapat satu objek yang merupakan kepala seekor Seladang. Kepala itu diletakkan di penjuru mess tersebut berserta ukiran ayat-ayat penghargaan kepada ASP Zabri. Bagi kami pelatih-pelatih baru, walaupun baru sahaja mendengar nama beliau, namun sudah cukup terkesan di hati kami semua. Nama tersebut secara tidak langsung telah menaikkan keazaman dan semangat kami untuk berbakti dan berkorban demi negara tercinta.
Nama ASP Zabri bagaikan telah bersatu dengan nama pasukan Elit Komando 69. Kedua-dua nama ini seolah-olah tidak boleh lagi dipisahkan. Beliau dijulang sebagai perwira oleh pegawai dan anggota 69 Komando kerana memiliki contoh semangat warisan darah perwira dan semangat juang yang amat tinggi.
ASP Zabri yang juga merupakan salah seorang pegawai dari batch pertama kumpulan awal penubuhan VAT 69 adalah perwira paling dikenang di dalam pasukan elit berkenaan. Beliau juga dianggap sebagai pakar taktikal dan amat ditakuti oleh pihak musuh dan dianggap pelopor serta sumber inspirasi kepada kejayaan gemilang unit elit Komando VAT 69.
ASP Zabri bin Abdul Hamid telah dilahirkan pada 15 Ogos 1937 di Tapah, Perak. Anak kedua dari sembilan adik beradik dari pasangan Abdul Hamid dan Mahiyah Mohd Shah ini menerima pendidikan awal dari Sekolah Melayu Tapah dan kemudiannya menyambung pelajarannya di English Government School, Tapah sehingga tamat Senior Cambridge.
Selepas lulus peperiksaan Senior Cambridge, beliau telah memulakan kerjaya awalnya sebagai seorang guru di Slim River pada tahun 1958.
Dalam tahun 1959, beliau bertugas sebagai pegawai rendah di Jabatan Penyelidikan Getah, Kuala Lumpur. Selepas lulus kursus di Institut Penyelidikan Getah, Sungai Buloh, beliau kemudiannya telah ditugaskan di Masjid Tanah, Melaka sebelum ditukarkan semula ke Taiping, Perak.
ASP Zabri memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis pada 1 Jun 1963 dengan menjalani latihan sebagai Inspektor Percubaan. Selepas menamatkan latihan di PULAPOL Jalan Gurney, beliau ditukarkan sebagai Pegawai Penyiasat di Balai Polis Sentral, Pulau Pinang. Di sini beliau bertanggungjawab dalam pembanterasan kegiatan judi, pecah rumah, dan kecurian. Beliau kemudiannya ditukarkan sekali lagi ke Balai Polis Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Pada 29 Mac 1965, ASP Zabri kemudiannya ditukarkan ke unit Pasukan Polis Hutan sebagai Komander Platun. Unit pertamanya adalah PPH No. 6 (Batalion 3) di Ulu Kinta, Ipoh, Perak. Pada 1 Jun 1966 beliau telah disahkan ke dalam jawatan Inspektor dan seterusnya meneruskan tugasan sebagai Platun Komander dengan menyertai operasi dan juga sebagai jurulatih di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan di Kroh Perak.
Semasa bertugas di PPH No 6 (Batalion 3) ASP Zabri telah menerima arahan untuk menjalankan satu operasi di Bukit Sungai Kunyit, di sempadan Malaysia - Thailand pada tahun 1968. Dalam operasi tersebut, beliau telah berjaya menawan sebuah khemah komunis selepas berlakunya pertempuran sengit selama lebih kurang 45 minit. Pasukan keselamatan juga telah berjaya menahan salah seorang ketua komunis bernama Mat, yg memiliki senjata sten gun bersama 114 butir peluru yang dililit di pinggangnya.
Pada operasi lain di kawasan sempadan, pihak pasukan keselamatan berjaya menemui sebuah khemah pengganas komunis yang ditinggalkan di sebuah kawasan di puncak sebuah bukit. Namun pemeriksaan awal mendapati khemah tersebut telah dikelilingi oleh jerangkap samar dan ranjau yang dipasang oleh pengganas komunis. Tujuannya untuk mencederakan anggota pasukan keselamatan.
ASP Zabri bersama Platun 2, Kompeni C telah diarahkan untuk membersihkan jerangkap samar dan ranjau-ranjau sebelum pasukan keselamatan menawan sepenuhnya khemah pengganas tersebut. Setelah usaha-usaha pembersihan berjaya akhirnya khemah pengganas komunis itu telah dijadikan sebagai LP iaitu tempat menurunkan bekalan makanan untuk pasukan keselamatan. LP tersebut kemudiannya diberi nama Delta Zulu India.
Pada bulan Julai 1970, ASP Zabri menyertai pasukan Komando 69 yang baru ditubuhkan ketika itu dan beliau berjaya lulus didalam pemilihan dan latihan asas yang telah dijalankan selama lima bulan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jurulatih Komando pada bulan April hingga Ogos 1971 bagi melatih pegawai dan anggota yang baru menyertai pasukan ini yang dikenali sebagai Platun Ketiga Komando 69, bertempat di Kubu Legap, Perak.
Pada bulan Oktober 1971, ASP Zabri telah diarahkan untuk menyertai Ops Jemput Tiga yang dikendalikan bersama Cawangan Khas PDRM dan perisikan khas Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat (TNI-AD) dalam memburu dan menggempur Komunis Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang terletak di sempadan Sarawak-Kalimantan.
Operasi bermula pada Oktober 1971 selama 5 bulan di bawah kawalan Cawangan Khas (SB) Sarawak. Objektifnya adalah untuk merampas dua buah khemah komunis (PARAKU) yang terletak di Kalimantan Barat, sempadan Malaysia - Indonesia.
Pergerakan pasukan keselamatan dimulai dengan trak tentera dari Kuching ke Lubok Antu, sebelum ASP Zabri dan pasukannya menaiki pesawat Nuri ke Lubuk Tempayan dan menyudahkan perjalanan dengan berjalan kaki selama 3 hari 3 malam melalui hutan-hutan tebal. Pada pagi hari keempat, kedudukan dua buah khemah komunis tersebut yang berada di atas sebuah bukit telah dapat dikesan.
Pertempuran sengit telah berlaku di mana pada akhirnya pengganas-pengganas itu melarikan diri kerana tidak lagi mampu bertahan. ASP Zabri dan pasukannya berjaya menawan khemah tersebut bersama-sama pasukannya. Beliau telah memusnahkan khemah-khemah serta kebun-kebun sayur yang terdapat di belakang khemah tersebut. Beberapa orang daripada kumpulan pengganas PARAKU yang menyerah diri kemudiannya telah menunjukkan tempat simpanan senjata yang terletak jauh di dalam hutan. Penggeledahan menemui 2 laras senapang patah, 26 biji bom tangan dan 44 laras rifel Stirling.
Dalam operasi yang menggabungkan pasukan Komando 69 PDRM dengan unit KOSTRAD (Komando Strategis Cadangan Angkatan Darat) TNI-AD yang mengambil masa lima bulan ini, kedua-dua pasukan tersebut telah berjaya menggempur kedua-dua buah kubu kumpulan PARAKU dan memusnahkannya.
Ketangkasan serta keberanian pasukan Komando 69 pimpinan Zabri dalam pertempuran yang tercetus serta berjaya menumbangkan beberapa orang ahli PARAKU ini amat dikagumi serta mendapat kepujian dari Pasukan Keselamatan Indonesia.
Pada bulan April 1972, ASP Zabri telah menjalankan Operasi Gonzales di mana dalam operasi tersebut pasukan yang diketuai beliau telah berjaya menemui khemah-khemah dan tempat simpanan makanan komunis yang dipercayai telah ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.
Kejayaan ASP Zabri dalam membanteras ancaman pengganas komunis berterusan di dalam Operasi Sukat pada bulan April 1972 di Sungai Siput, Perak.
Maklumat yang diperolehi oleh pihak Cawangan Khas daripada pekerja-pekerja buruh yang bekerja di kawasan setempat menunjukkan terdapat kegiatan komunis di kawasan tersebut. Untuk mengesahkan semua maklumat yang telah diterima oleh pihak Cawangan Khas, ASP Zabri telah diberikan tanggung jawab untuk membuat tinjauan dan telah dilantik sebagai Ketua Patrol Bravo 1 bagi memastikan kesahihan maklumat tersebut.
Kesemua anggota patrol menyamar sebagai pekerja survey yang kononnya menjalankan kerja-kerja menyukat tanah bagi pemberian tanah TOL di kawasan itu. Untuk tujuan yang sama, anggota patrol Bravo 1 telah menggunakan sebuah Land Rover Pejabat Ukur yang dipinjam bagi tujuan pergerakan dan penyamaran. Turut dibekalkan kepada setiap anggota patrol adalah sepucuk pistol bagi tujuan mempertahankan diri.
Operasi telah dijadualkan bermula pada 10 April 1972, untuk tempoh masa selama sebulan. Disepanjang tempoh Ops Sukat berlangsung, ASP Zabri bersama-sama 14 orang anggota patrolnya menjalankan rondaan di seluruh pelusuk kampung dan hutan berdekatan. Antara yang terlibat di dalam operasi tersebut adalah lagenda penjejak VAT69, RSM Apot anak Saat yang menceritakan bagaimana mereka terpaksa tidur di kebun ubi pada waktu malam bagi mengaburi mata musuh.
Objektif operasi bukan sekadar untuk memburu kumpulan komunis yang berada di kawasan tersebut tetapi juga untuk melumpuhkan elemen sokongan daripada pihak penduduk tempatan yang diketahui bersimpati dengan perjuangan komunis itu.
Penduduk tempatan inilah yang telah menyalurkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan maklumat kepada pihak komunis dan tindakan mereka ini secara langsung telah membantu pengganas komunis untuk kekal aktif dalam perjuangan mereka dalam kawasan tersebut.
Ada di antara penyokong ini yang melakukannya secara sukarela dan ada juga yang terpaksa berbuat demikian setelah diugut dan diancam oleh pihak pengganas.
Bagi meningkatkan keberkesanan dalam penyamaran mereka, ASP Zabri dan anggota patrolnya turut menyamar sebagai buruh bagi mengesan pergerakan musuh. Mereka turut menyamar sebagai penoreh getah, pekebun ubi dan buruh di sekitar kawasan tersebut. Tugas mereka dipermudahkan apabila penduduk kampung yang dijanjikan tanah TOL turut memberikan kerjasama tanpa mengetahui tentang operasi dan identiti sebenar anggota pasukan Komando 69 tersebut.
Sepuluh hari pertama operasi berlalu tanpa ada sebarang maklumat atau terkesan pergerakan pengganas komunis di situ.
Namun pada hari ke-12 operasi telah menunjukkan perkembangan positif. Seorang anggota patrol telah menemui sebuah motorsikal yang mencurigakan di dalam semak belukar. Bagaimanapun keesokan harinya motorsikal tersebut telah lesap sebelum sempat disemak nombor pendaftarannya.
Pada 25 April 1972, anggota patrol Charlie 3 dari unit Komando VAT 69 yang membuat pemerhatian daripada Pos Pemerhatian (OP) yang terletak di atas bukit, menghadap kawasan jalan tanah merah dan laluan pembalakan telah melihat sebuah lori bersama 3 penumpang melalui kawasan tersebut.
Lori tersebut telah keluar semula pada jam 10.45 malam, dengan penumpang yang sama tetapi tanpa muatan. Rasa curiga membuatkan anggota patrol melepaskan tembakan. Berikutan dari serangan yang tidak diduga oleh anggota patrol Charlie 3 itu menyebabkan pemandu lori tersebut menyerah diri tetapi tiga orang penumpangnya berjaya melarikan diri.
Kedua-dua Patrol Bravo 1 dan Charlie 3 kemudian digabungkan untuk menjejak penumpang yang melarikan diri itu, yang disyaki anggota komunis. Semasa menjejak kesan tayar lori, bau damar yang dicairkan menusuk hidung mereka. Kebiasaannya komunis menggunakan damar itu untuk membungkus makanan sebelum dimasukkan ke dalam tong untuk ditanam di dalam tanah (food dump).
Bah Tradil, Jamil bin Othman dan Bah Tang yang dihantar untuk menyiasat kemudian melaporkan penemuan 3 anggota komunis yang tidak berbaju tetapi memakai topi bercop Bintang 5 sedang membungkus makanan. Mereka ditugaskan untuk mengawal musuh tersebut sementara anggota yang lain mengambil kedudukan untuk menjalankan serang-hendap.
Mereka kemudian diarahkan untuk mengawasi kumpulan komunis itu sementara ASP Zabri dan anggota lain bergerak ke kawasan tersebut untuk melakukan serang hendap. Sewaktu dihampiri, ternyata kumpulan musuh itu sedang membungkus makanan yang dimasukkan ke dalam tong drum besar untuk ditanam.
Semasa bersembunyi di balik salah satu tong drum itu selama 15 minit, kedudukan ketiga-tiga anggota patrol itu hampir terdedah apabila tanpa disedari salah seorang komunis itu menghampiri mereka untuk mengambil tong tersebut. Pertempuran tercetus setelah komunis itu ditembak dan musuh menyedari kehadiran patrol VAT69. Dalam keadaan kelam-kabut berbalas tembakan, musuh hanya sempat mengambil rifel persendirian mereka sebelum bertindak melarikan diri .
Seorang pengganas komunis telah berjaya ditembak mati .Selain daripada seorang komunis yang mati, penemuan lain termasuklah 22 rifle, sepucuk pistol Llama, 2 gulung peluru Thomson SMG, 2 gulung kelopak sten gun, peralatan perubatan dan dokumen penting yang ditinggalkan musuh yang melarikan diri.
Selain daripada itu, turut ditemui adalah beberapa lubang yang digali di tebing bukit. 18 tempat simpanan makanan, dengan 85 buah tong drum yang berisi makanan. Ini merupakan antara penemuan terbesar oleh VAT69 dan mungkin juga yang terpenting kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan jalan raya yang boleh menghubungkan Selangor di selatan, Pahang di sebelah timur, Kedah di utara dan seluruh Perak, melalui hutan Sungai Siput.
Ops Sukat akhirnya ditamatkan. Bagaimanapun pemburuan pasukan keselamatan ke atas pengganas komunis diteruskan lagi melalui Ops lain yang dilancarkan termasuk Ops Setia I, Setia II serta beberapa operasi lain. Manakala kecemerlangan tugas ASP Zabri pula dihargai apabila beliau dihantar untuk menjalani kursus ketenteraan di UK pada 16 Oktober 1972.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: