Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah Raja England terakhir mangkat di medan perang


Setiap kali tibanya tanggal 12 September, telah dikenang sebagai hari dimana diumumkan bahawa rangka manusia yang ditemukan di sebuah lot parkir di Leicester adalah kemungkinan milik Raja England Richard III.

Dilahirkan pada 2 Oktober 1452, Richard III menjadi Raja England pada 26 Jun 1483. Namun pemerintahannya tidak lama, hanya lebih 2 tahun apabila berdepan tentangan hebat dikepalai oleh Henry Tudor. 

Perang saudara 32 tahun ‘War of the Roses’ mencapai kemuncaknya di Pertempuran Bosworth pada 22 Ogos 1485 yang menyaksikan Richard III terbunuh & Henry Tudor naik takhta sebagai Raja England yang baharu dengan nama Henry VII. 

Menjadi Raja England terakhir yang mati di medan perang, mayat Richard III kemudian dikebumikan di sebuah gereja Franciscan di Leicester. Separuh abad selepas itu, gereja tersebut dimusnahkan dalam kempen Reformasi Inggeris oleh Raja Henry VIII. 

Tanda kubur Richard III akhirnya hilang menjelang kurun ke-17, ramai percaya mayatnya digali & dihumban ke Sungai Soar ketika Reformasi itu. Namun pada kurun ke-20, sejarawan Charles Billson & David Baldwin membangkitkan kesangsian terhadap legenda ini. 

Tertubuhnya badan pengkaji bebas, Richard III Society pada 1924 untuk merungkai misteri kehilangan mayat raja malang itu. Kajian mereka akhirnya menemukan lokasi berpotensi kubur Richard III, iaitu di sebuah lot parkir di Alderman Newton's Boys School. 

Rangka manusia yang dikatakan milik Raja Richard III

Pada 25 Ogos 2012 hari bermulanya kerja ekskavasi, sekujur rangka manusia ditemukan di celahan batuan daripada binaan Zaman Pertengahan. Selepas mendapat kelulusan Kementerian Keadilan Britain, rangka tersebut digali keluar pada 4 September. 

Pada 12 September, Universiti Leicester mengumumkan kemungkinan besar ia adalah milik Richard III. Namun hanya pada 4 Februari 2013 selepas kajian terperinci dengan padanan DNA keturunannya, ia benar-benar disahkan statusnya. 

Rangka Richard III itu kemudian dikebumikan semula pada Mac 2015 di Katedral Leicester & lokasi penemuannya dijadikan King Richard III Visitor Centre, tempat tarikan yang turut mempamerkan sejarah hidup beliau. 

Sumber: Story of Leicester, Historic UK, University of Leicester




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom